Wednesday, December 7, 2011

Mentaliti feudal di sebalik pembangunan

Arab Saudi barangkali adalah sebuah negara Islam yang membangun mengikut jalan kapitalis.

Dengan menggunakan modal yang besar dan dengan tujuan untuk mencapai keuntungan yang maksimum, di Madinah dan Mekah khasnya, banyak bangunan lama yang telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan pencakar langit, yang umumnya terdiri daripada hotel besar dan mewah dan kompleks perniagaan.

Sewa hotel mewah itu tentu saja tinggi. Maka orang-orang yang datang untuk mengerjakan fardu haji dan perlu menginap di situ kenalah menanggung kos yang tinggi, berbanding tinggal di hotel sederhana atau apartmen murah yang banyak terdapat sebelum itu.

Kenaikan kos yang tinggi untuk mengerjakan fardu haji ini tentu tidak menjadi masalah bagi orang-orang dari golongan kaya atau maha kaya. Pakej mengerjakan haji swasta yang kosnya lebih RM1,000 seorang pun mungkin murah saja bagi mereka.

Akan tetapi, bagaimana bagi orang yang berpendapatan rendah dan sederhana? Mungkin mereka terpaksa membuat simpanan bertahun-tahun baru mampu mengerjakan fardu haji, itupun melalui pakej tabung haji yang disubsidi oleh kerajaan.

Bagaimanapun, di sebalik pembangunan material yang begitu hebat, pemikiran orang-orang Arab Saudi itu nampaknya masih begitu mundur dan terkebelakang.

Misalnya, hanya baru-baru ini kaum wanita di negara itu dibolehkan memandu kereta. Akan tetapi, ada pula ulama yang berpendapat bahawa membenarkan kaum wanita memandu kereta itu akan menggalakkan zina!

Malangnya kemunduran pemikiran ini masih terdapat juga di kalangan orang-orang Melayu di Malaysia, di sebalik pembangunan material yang gah dan hebat.

Misalnya, dalam perhimpunan sebuah parti politik Melayu baru-baru ini, antara perkara yang sangat ditekankan oleh pucuk pimpinannya ialah taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan pucuk pimpinan.

Sebenarnya konsep taat setia yang sangat ditekankan oleh pucuk pimpinannya itu merupakan nilai lama yang berasal dari zaman feudal dan boleh juga dianggap sebagai mentaliti feudal.

Jadi dari segi pemikiran kita pun nampaknya masih lagi mundur dan terkebelakang, seperti orang-orang di Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment