Saturday, November 28, 2009

Penentang Chin Peng ialah bekas "tentera penjajah"

Dari laporan akhbar Utusan Malaysia yang selalu membesar-besarkan berita tentang Chin Peng, nampak benar bahawa yang menentang kuat kepulangan Chin Peng ke negara ini ialah bekas tentera Melayu dan orang Melayu.

Hal ini barangkali tidak menghairankan, kerana pada zaman darurat dahulu merekalah yang berada di barisan hadapan untuk menentang Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) atau pasukan bersenjata PKM yang dipimpin oleh Chin Peng.

Sebahagian daripada tentera Melayu itu ada yang terkorban dan ada juga yang cacat seumur hidup kerana terpijak perangkap samar dan sebagainya. Sekarang bekas tentera yang masih hidup inilah yang begitu beria-ia mengutuk Chin Peng sebagai pengganas yang tidak boleh dimaafkan.

Akan tetapi, bekas tentera ini agaknya lupa bahawa pada zaman darurat dahulu mereka sebenarnya bekerja sebagai "askar penjajah", dan sama ada secara langsung atau tidak mereka telah memainkan peranan mempertahankan rejim penjajah dan memanjangkan hayat pemerintahan penjajah.

Sepatutnya pada zaman penjajahan, "orang jahat" yang mesti diperangi dan mesti dihalau dari negara ini ialah pihak penjajah, kerana merekalah yang menindas dan menghisap darah rakyat (walaupun secara halus).

Akan tetapi, pihak tentera Melayu itu telah berjuang di pihak penjajah dan agaknya tidak sedar mereka telah menjadi tali barut penjajah. Dan ini adalah pilihan mereka sendiri.

Oleh kerana mereka berpihak dan berjuang di pihak penjajah, maka tentu tidak dapat dielakkan mereka terpaksa berhadapan dengan TPNM yang berjuang untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah.

Jadi kalau dalam pertempuran dengan TPNM ada di antara mereka yang terkorban atau terpijak perangkap samar, mereka sepatutnya tidak menyalahkan TPNM kerana mereka bertempur adalah atas pilihan dan kehendak mereka sendiri.

TPNM ialah pejuang kemerdekaan yang mahu menghalau penjajah dari negara ini. Walaupun mereka berjuang secara bersenjata, itu adalah keperluan dan taktik perjuangan yang memang dijalankan oleh pejuang kemerdekaan di negara- negara terjajah yang lain pada masa itu.

Memang penjajah telah melebalkan mereka sebagai pengganas. Tapi pada asasnya mereka berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah dan ini adalah hakikat tidak boleh dinafikan.

Isu sama ada mereka pengganas atau bukan pengganas sepatutnya tidak berbangkit.

Perjuangan secara bersenjata untuk menentang penjajah sudah pun dilakukan oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan para pahlawan Melayu yang lain. Adakah mereka itu pengganas?

Jadi sekiranya tentera Melayu berjuang untuk mempertahankan rejim penjajah dan gugur dalam pertempuran dengan TPNM yang berjuang untuk menghalau penjajah, maka kita sepatutnya tahu siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Pihak tentera Melayu tidak perlu menyalahkan pihak PKM dan Chin Peng dan menganggap Chin Peng sebagai pengganas, kerana pada hakikatnya mereka telah berjuang dipihak yang salah!

Friday, November 27, 2009

Buat apa Ketua Pemuda PAS membuka pekung di dada?

Apakah tujuan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mendedahkan pelbagai kelemahan dan kepincangan PAS dalam blognya ?

Adakah beliau mahu "mengajar" pemimpin dan ahli PAS yang lain supaya "mematuhi" pendapat dan saranan beliau?

Siapakah beliau yang mahu mengajar pemimpin PAS yang lebih kanan dan lebih berpengalaman daripada beliau?

Kalau itu tujuan beliau, beliau nampaknya sudah melakukan satu kesilapan besar.

Perbuatan beliau sama seperti membuka pekung di dada.

Yang paling gembira dengan pendedahan itu nampaknya ialah akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia yang menyiarkan petikan tulisan beliau sebagai berita atau laporan utama hari ini (28 November 2009).

Nampaknya Utusan Malaysia mendapat bahan percuma yang bagus untuk menyebarluaskan kelemahan dan kepincangan PAS.

Inilah kelemahan orang PAS, khasnya ketua pemudanya yang tidak pandai berpolitik. Kebodohan mereka telah dipergunakan oleh musuh mereka untuk menghentam mereka kembali.Kasihan!

Monday, November 9, 2009

Dr.Asri akan kelihatan "kerdil" jika menyertai politik

Saya kira Dr.Asri kelihatan "besar", terutamanya kerana selama ini beliau merupakan seorang ulama bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Kedudukan beliau sama seperti Dr.Haron Din sebelum menyertai PAS secara aktif dan seperti Dr.Mashitah sebelum menyertai UMNO

Saya teringat pada tahun 1960-an dan 1970-an dahulu imej dan ketokohan Dr.Haron sebagai seorang tokoh agama, sebenarnya jauh lebih besar daripada sekarang, walaupun ketika itu beliau hanya merupakan seorang pensyarah biasa dan belum menjadi profesor di UKM.

Ditambah dengan peranan beliau sebagai seorang "bomoh" atau pengamal perubatan Islam, ketokohan beliau ketika itu memang sangat besar dan menonjol.

Beliau merupakan seorang ulama yang hebat dan mungkin paling dikenali di Malaysia.

Tapi apa sudah jadi selepas beliau bergerak aktif dalam PAS dan menjadi tokoh PAS?

Imej dan ketokohan beliau bukan bertambah besar, malah dengan cepat menjadi kecil, kerana beliau kini hanya merupakan salah seorang ulama PAS.

Yang menyanjung dan mengkagumi beliau, kalau ada, hanya orang PAS yang merupakan sebahagian daripada masyarakat Melayu. Orang UMNO mungkin sudah tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai ulama.

Begitu juga Dr.Mashitah. Saya teringat betapa hebatnya beliau, walaupun ketika itu beliau hanya muncul di TV dan dikenali ramai melalui program TV, seperti Forum Perdana.

Tapi lihatlah apa yang berlaku setelah beliau menjadi orang UMNO dan menjadi Timbalan Menteri? Sebagai tokoh agama, beliau kelihatan begitu kerdil. Saya kira orang UMNO pun mungkin tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai tokoh agama.

Jadi saya kira demikianlah yang akan berlaku jika Dr. Asri menyertai mana-mana parti politik; PAS atau UMNO.

Beliau mungkin akan lebih "bebas" berdakwah. Tapi beliau akan hanya diterima dan diiktiraf oleh "separuh" masyarakat Melayu, yang terdiri daripada penyokong UMNO atau penyokong PAS.

Sebagai ulama partisan beliau akan kelihatan "kerdil", dan tidak lagi besar dan hebat seperti sekarang.

Saya harap itu bukan pilihan Dr.Asri.

Saturday, November 7, 2009

Isu Wahabi hanya isu remeh?

Kira-kira 50 tahun yang lalu, ketika saya masih muda , saya biasa mendengar penduduk Kg. Simpang Tiga, Jeram , Kuala Selangor yang tidak jauh dari kampung saya, Bukit Kuching, tidak membaca usalli ketika sembahyang, tidak mengadakan kenduri aruah dan tidak membacakan talqin kepada mayat yang akan dikebumikan.

Penduduk kampung itu digelar sebagai "kaum muda". Mereka dikatakan membaca quran tulisan rumi (tentunya kitab tafsir quran) yang berasal dari Indonesia, dan ulamak yang jadi rujukan mereka adalah seorang ulama Indonesia juga yang bernama Hasan Bandung.

Bagaimanapun, pada masa itu amalan agama yang agak berbeza dari amalan biasa penduduk kampung saya itu (yang agaknya dianggap sebagai kaum tua) tidaklah begitu menarik perhatian saya.

Amalan agama penduduk Kg. Simpang Tiga yang agak berbeza, yang tidak disetujui oleh penduduk kebanyakan kampung lain itupun agaknya lenyap secara beransur-ansur dengan kematian orang-orang tua di kampung itu. Jadi pada akhirnya amalan kaum tua jugalah yang menang.

Pada masa itu orang kaum muda itu tidak digelar sebagai Wahabi. Mungkin istilah Wahabi kurang popular pada masa itu, khasnya di kawasan itu.

Kini isu sembahyang tanpa usalli, tidak mengadakan kenduri aruah, tidak mentalqinkan mayat dan isu lain yang berkaitan timbul kembali. Istilah yang digunakan kini untuk merujuk orang-orang yang mengamalkan amalan agama yang agak berbeza itu bukan kaum muda, tapi Wahabi.

Maka sebagaimana lima puluh yang lalu, banyaklah orang yang tidak bersetuju dengan amalan Wahabi itu. Mereka mahu meneruskan amalan lama seperti yang jadi amalan bertahun-tahun, dengan alasan tidak mahu masyarakat berpecah belah.

Bagaimanapun, sama ada orang yang mengamalkan amalan agama yang agak berbeza itu dipanggil kaum muda atau Wahabi, pada saya isunya masih sama: kita berbalah atau berkelahi tentang isu furuk atau ranting yang boleh dianggap sebagai isu remeh saja. Kita masih berbalah tentang isu remeh itu setelah kira-kira 50 tahun atau lebih berlalu.

Bagi saya inilah tanda kejumudan dan kebekuan pemikiran umat Islam di negara ini. Kita mahu Islam yang seragam dan tidak boleh menerima pembaharuan dan perubahan, di samping tidak boleh menerima perbezaan pendapat.

Akibatnya pemikiran umat Islam di negeri ini terus jumud dan beku. Tidak ada perbincangan tentang isu-isu baru yang lebih penting. Tidak muncul juga intelektual Islam yang berkalibar. Dan dengan itu, tidak adalah kemajuan dari segi pemikiran Islam.

.

Sunday, November 1, 2009

Pemikiran Dr.Asri sudah tersebar luas

Berbanding dengan Indonesia, Malaysia barangkali adalah negara yang paling sedikit, kalaupun ada, mempunyai apa yang dianggap sebagai intelektual Islam.

Di Malaysia ulama memang ramai, termasuk ulama rasmi seperti mufti, walaupun agaknya bukanlah "ulama besar". Malah persatuan ulama pun ada. Jika ditambah pula dengan ilmuan Islam seperti pensyarah universiti, Malaysia memang tidak kekurangan ulama.

Namun, intelektual Islam, iaitu orang yang mampu berfikir secara kritis tentang pelbagai masalah masyarakat Islam mengikut perspektif Islam, dan berani pula melahirkan pendapat baru dan seterusnya melahirkan pemikiran baru yang canggih dan bermutu, agaknya tidaklah ramai.


Yang ramai barangkali ialah ulama dan ustaz yang hanya mampu mengajar dan berdakwah dengan berpandukan kitab lama, walaupun kitab lama itu dikatakan kitab besar dan muktabar.

Kewujudan dan peranan ulama dan ustaz ini bukan tidak penting. Tapi tanpa berani melahirkan pembaharuan dan pemikiran baru, peranan mereka hanyalah mengekalkan keadaan yang sedia ada, keadaan yang jumud dan beku, dan tidak ada kemajuan dari segi pemikiran.

Antara faktor yang mewujudkan keadaan ini ialah kuatnya cengkaman ulama fikah di negara kita sebagai ulama yang dominan, sama ada ulama rasmi atau apa yang dikatakan ulama bebas.

Dalam keadaan demikian, Malaysia memang merupakan tanah gersang bagi kelahiran pemikiran baru. Pemikiran baru sukar diterima ataupun ditekan dan dicantas sejak awal kelahirannya.

Kemunculan Dr.Asri sebagai pemikir dan intelektual Islam yang berani berfikir di luar kotak saya lihat mempunyai potensi untuk mengisi kegersangan intelektual Islam di negara kita.

Beliau berani mencetuskan pemikiran yang boleh dianggap baru, dan mengkritik pihak establishment politik agama dengan hujah-hujahnya yang kuat dan rasional dan sukar dipatahkan.

Tentu sahaja pendapat beliau tidak disetujui oleh semua pihak, walaupun saya kira ramai juga yang menyokong dan menyetujui pendapat beliau.

Mufti Perak, kalau tidak salah, pernah memperli beliau sebagai seorang yang "terlebih cerdik"!

Yang tidak menyokong pendapat beliau tidak lain daripada orang-orang yang sudah selesa dengan keadaan yang sedia ada, keadaan yang jumud dan beku dan tidak ada kemajuan dari segi pembaharuan pemikiran Islam.

Orang-orang yang berkenaan barangkali mahu kita terus bersatu padu dan tidak berpecah belah, walaupun sebenarnya pemikiran Islam kita terus beku dan tidak berkembang. Mungkin itulah agaknya keadaan yang terbaik bagi mereka.

Oleh itu, ucapan atau tulisan Dr.Asri yang sesekali mengkritik pendapat arus perdana bagi mereka agaknya mesti ditolak dan dimatikan.

Saya kira dalam konteks itulah mengapa ketika beliau menjadi Mufti Perlis lagi beliau tidak diberi "tauliah" untuk berceramah di Selangor.

Dan itulah sebabnya secara tiba-tiba Dr.Asri ditangkap ketika dia memberi ceramah di sebuah rumah di Selangor baru-baru ini. Ini barangkali cara yang boleh mereka lakukan untuk "menutup mulut" Dr.Asri.

Akan tetapi, selama ini pendapat dan pemikiran Dr.Asri sudah tersebar luas melalui TV dan surat khabar, di samping blog beliau. Pendapat dan pemikiran beliau sudah diikuti dan mungkin sudah diterima oleh ratus ribuan penonton TV dan pembaca akhbar.

Jadi apakah gunanya menghalang beliau menyampaikan ceramah kepada 100 orang atau 300 orang? Adakah beliau sebagai bekas Mufti masih perlu mendapatkan tauliah sebelum memberi ceramah dalam sebuah rumah?

Adakah Pengarah JAIS dan orang-orang yang berkuasa di pejabat JAIS lebih bijak dan lebih berilmu daripada Dr.Asri? Sekiranya Pengarah JAIS dan kakitangannya lebih bijak dan lebih berilmu , saya harap mereka akan membuat kerja yang lebih berfaedah daripada menangkap Dr.Asri!

Wednesday, October 28, 2009

Bersama Pakatan: PAS mengambil pendirian yang betul

Saya kira pemimpin PAS yang bersidang malam tadi telah mengambil pendirian yang betul apabila mereka memutuskan dua perkara: tetap bersama Pakatan Rakyat, dan menutup isu "kerajaan perpaduan" dengan UMNO.

Nik Aziz saya kira tentu berpuas hati, sama ada tiga orang pemimpin PAS yang pernah disebutnya supaya dipecat daripada PAS (Nasharuddin, Mustapha Ali dan Hassan Ali) dipecat atau tidak, kerana itulah pendirian dan hasrat beliau yang sebenarnya.

Saya kira PAS ada kemungkinan untuk berkembang dan menjadi lebih kuat dengan terus bersama Pakatan dan dengan sokongan orang bukan Melayu, kerana itulah aspirasi majoriti rakyat pada masa ini.

Sebagaimana yang terbukti dalam pilihan raya 2008, PAS dapat memenangi beberapa kerusi yang tidak pernah dimenanginya sebelum itu di Perak dan Selangor, kerana PAS bersama DAP dan PKR, dan kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

Kedudukan PAS seperti ini mungkin dapat dipertahankan dan diperkuatkan pada masa hadapan, sekiranya PAS terus bersama Pakatan dan memainkan peranan yang lebih aktif untuk menguatkan Pakatan.

Sekiranya PAS dapat menarik sokongan yang lebih luas daripada kalangan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu dan bukan Melayu, bukan tidak ada kemungkinan PAS akan mempunyai Ahli Parlimen yang lebih ramai, dan dengan itu menjadi pemimpin dalam Pakatan.

Sebaliknya, apakah yang akan berlaku jika PAS bersama UMNO dan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN?

Berdasarkan pengalaman yang lalu, UMNO sebenarnya tidak akan bersetuju PAS menjadi lebih kuat daripadanya. UMNO tentu mahu PAS menjadi "subordinate" kepadanya selama-lamanya.

UMNO tentu tidak bersetuju dan akan menghalang, jika PAS mahu menubuhkan cawangan baru di mana telah ada cawangan UMNO, misalnya . Ini telah berlaku ketika PAS berada dalam kerajaan campuran dahulu, di mana usaha PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di kawasan FELDA telah dihalang dan merupakan salah satu faktor mengapa UMNO menendang PAS keluar daripada BN.

Yang tidak kurang pentingnya, berdasarkan fakta sejarah yang tidak dapat dimungkiri, UMNO sebenarnya hanya memerlukan PAS ketika ia lemah. Ketika itulah isu untuk merperkuatkan kuasa politik Melayu dan mempertahankan ketuanan Melayu ditimbulkan dan dieksploitasi oleh akhbar-akhbar pengampu UMNO dan kerajaan BN untuk memerangkap PAS.

Akan tetapi, setelah PAS masuk dalam lukah BN, PAS bukan saja dihalang dari berkembang, malah berasaskan pengalaman yang lalu, akan ditendang oleh UMNO seandainya UMNO telah kuat kembali.

PAS telah berpengalaman diperdaya oleh UMNO. Pemimpin lama PAS seperti Nik Aziz tentu tidak akan lupa tentang hal ini. Jadi memang wajarlah jika PAS menutup terus isu kerajaan perpaduan dengan UMNO , supaya tidak dua kali masuk perangkap UMNO.

Thursday, October 22, 2009

Bagan Pinang: Mengapa orang bukan Melayu meninggalkan PAS?

Saya rasa, semua orang, termasuk orang PAS yang berfikiran rasional dan berpijak kepada fakta tahu bahawa PAS memang tidak boleh menang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Dua faktor sudah cukup untuk menyokong hujah ini: pertama, faktor pengundi pos yang ramai dari kalangan tentera, dan kedua, populariti Isa Samad, calon BN yang merupakan anak tempatan dan bekas MB NS selama 22 tahun.

Dua faktor ini, sebagaimana yang dijangka, memang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan BN.

Namun, perkara yang lebih menarik, yang turut menyumbang kepada kekalahan PAS ialah kemerosoton undi orang bukan Melayu yang sebelum ini memberikan sokongan mereka kepada PAS.

Berbanding dengan pilihan raya umum 2008, ketika undi orang bukan Melayu berpihak kepada PAS, dalam pilihan raya kecil kali ini kebanyakan undi orang bukan Melayu sudah meninggalkan PAS dan lari kepada BN.

Mungkin BN menggunakan ugutan, secara langsung atau tidak, dan mungkin juga BN berjaya "memancing" mereka dengan rasuah dan pelbagai taktik yang lain. Itulah yang mendorong orang bukan Melayu menyokong BN.

Akan tetapi, saya rasa mesti ada faktor lain yang merupakan kelemahan dan kekurangan PAS, yang menyebabkan PAS gagal mengekalkan sokongan yang mereka perolehi dalam pilihan raya umum 2008 dahulu.

Apakah faktor kelemahan dan kekurangan PAS itu?

Saya rasa PAS mesti berani bersikap jujur mengkaji dan mengakuinya.

Faktor kelemahan dan kekurangan PAS ini, antara lain , sudah disebut oleh Dr.Ab.Aziz Bari baru-baru ini, dan tidak perlu saya sebut semula di sini.

Terpulanglah kepada PAS sama ada mahu mengakui kelemahan dan kekurangan itu atau tidak.

Friday, October 9, 2009

ABIM: pondan berlagak hero?

Mungkin banyak pihak yang tidak bersetuju dengan sikap dan pendirian Sister's in Islam (SIS) yang tidak mahu undang-undang syariah dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang negara.

Di luar negara, misalnya di Indonesia, hal ini adalah perkara biasa saja. Banyak pihak di sana yang berpendirian demikian. Hanya di negara kita agaknya banyak yang menganggap hal itu sebagai terlalu pelik dan luar biasa.

Pihak yang tidak bersetuju undang-undang syariah itu dijadikan undang-undang negara tentu ada alasan dan hujahnya. Adakah mereka mempunyai alasan dan hujah yang kuat?

Kalau alasan dan hujah mereka tidak kuat, mengapa takut? Mengapa perlu buat berbelas laporan polis seperti yang dilakukan oleh ABIM? Balaslah alasan dan hujah mereka dengan alasan dan hujah yang lebih kuat.

Selama ini kita membayangkan ABIM adalah sebuah pertubuhan intelektual, kerana pemimpinnya banyak terdiri daripada pensyarah universiti. Alangkah bagusnya jika ABIM menentang SIS dengan hujah intelektual juga, bukan membuat laporan polis.

Mungkin dengan membuat laporan polis, malah berbelas laporan polis, ABIM ingin menonjolkan dirinya sebagai hero yang membela undang-undang syariah dan mahu undang-undang syariah terus dijadikan sebahagian daripada undang-undang negara seperti yang ada sekarang.

Akan tetapi, ini menunjukkan ABIM tidak mampu berhujah secara intelektual, dan memilih jalan mudah dengan meminta polis mengambil tindakan.

Ini saya rasa sikap seorang pondan; bukan sikap seorang intelektual.

Dalam hal ini SIS mungkin lebih layak dianggap sebagai hero, kerana mereka berani dan berdiri di atas landasan intelektual.

Monday, October 5, 2009

"Fatwa politik" yang tidak boleh dipakai?

Di Malaysia barangkali belum menjadi kebiasaan orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat Quran dalam ucapan dan tulisan mereka.

Oleh kerana belum menjadi kebiasaan, walaupun perkara itu dibolehkan, maka timbullah bermacam-macam "fatwa politik" yang "tidak membolehkannya".

Kebetulan baru-baru ini, orang bukan Islam yang menggunakan ayat Quran dalam ucapannya itu ialah N. Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Padang Serai, dalam konteks kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Maka dua tiga muka Utusan Malaysia, hari ini (6 Oktober 2009) penuh dengan kenyataan pemimpin kerajaan dan ulama prokerajaan yang mempertikaikan hal tersebut.

Ada kenyataan dari Hishamuddin Tun Hussein, Jamil Khir Baharom, Harussani Zakaria dan Nooh Gadut. Semuanya memberi pelbagai alasan, tapi tidak pula berasaskan Quran dan hadis, mengapa seorang bukan Islam tidak boleh berucap menggunakan ayat-ayat Quran.

Jadi bagi saya semua ini adalah "fatwa politik" yang boleh pula dipertikaikan kebenarannya.

Pada dasarnya mereka semua menggunakan "alasan agama" untuk menghentam parti pembangkang dan mempertahankan kerajaan, dan bukan kerana penggunaan ayat Quran oleh orang bukan Islam itu tidak dibolehkan dari segi agama.

Mereka mempertikaikan penggunaan ayat Quran oleh orang bukan Islam, kerana Gobalakrishnan adalah seorang penyokong pembangkang dan mereka pula memang antipembangkang.

Bagaimana pula jika yang menggunakan ayat Quran itu orang bukan Islam yang merupakan pemimpin kerajaan atau penyokong kerajaan?

Mungkinkah ketika itu "fatwa politik" mereka membolehkannya pula?

Thursday, October 1, 2009

Hassan Ali : Hanya madah berhelah?

Harakah hari ini (2-4 Oktober 2009) menyiarkan kenyataan Hassan Ali tentang kontroversi yang timbul akibat kritikannya secara terbuka terhadap Selcat.

Nampaknya beliau cuba berhelah. Katanya, "Saya bukan mengkritik, tetapi mencadangkan. Saya mencadangkan supaya tatacara siasatan itu dibuat secara lebih berhemah, berakhlak dan lebih mesra. Apa salahnya, itu saja".

Salahnya ialah "cadangan" beliau itu dinyatakan secara terbuka, dan dimanipulasi pula oleh akhbar arus perdana yang memang mempunyai agenda untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Apabila "cadangan" itu dinyatakan secara terbuka, yang lebih terserlah kepada umum ialah beliau sebenarnya telah mengkritik Selcat, di samping cuba menonjolkan dirinya sebagai hero!

Sekiranya beliau ingin mengemukakan "cadangan", tidak bolehkah cadangan itu dikemukakan secara langsung dalam mesyuarat EXCO atau mesyuarat lain, tanpa dihebohkan kepada umum terlebih dahulu?

Hassan Ali kini mungkin sedar, atau saya harap beliau sedar, bahawa tindakannya mengemukakan "cadangan" itu secara terbuka telah menimbulkan kontroversi dan perbalahan antara beliau dengan ahli EXCO yang lain, malah dengan pemimpin PAS yang lain.

Maka yang nampak kepada umum kini ialah di kalangan pemimpin PR di Selangor memang tidak ada perpaduan dan kata sepakat, hanya mementingkan agenda masing-masing , dan "bergaduh" tak habis-habis.

Adakah rakyat akan terus menyokong parti dan kerajaan yang kelihatan selalu berkonflik seperti ini?

Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali Hasan Ali mengeluarkan kenyataan yang membayangkan bahawa beliau berlagak sebagai hero (termasuk dalam isu arak, misalnya), tetapi salah tempat, dan hanya menimbulkan kontroversi.

Sekarang beliau cuba berhelah pula, setelah tindakannya menimbulkan kontroversi. Adakah sesiapa yang mahu percaya dengan madah berhelah beliau itu?

Thursday, September 10, 2009

UMNO parti Islam?

Satu masa dulu, beberapa tahun yang lalu, ketika Sanusi Joned menjadi Setiausaha Agung UMNO, UMNO pernah mendakwa sebagai parti Islam yang terbesar di dunia.

Akan tetapi, dakwaan itu hilang begitu saja, kerana tidak ada sesiapa yang percaya, termasuklah agaknya ahli-ahli UMNO sendiri. Tidak ada sesiapa yang mengiktiraf UMNO sebagai parti Islam.

UMNO dilahirkan sebagai parti kebangsaan, bukan parti Islam, dan saya rasa itulah imej yang terpaksa dipikulnya sejak dulu hingga sekarang.

Baru-baru ini, entah bermimpi agaknya, Najib pula mendakwa UMNO ialah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Ini kerana katanya, perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan...(Utusan Malaysia, 11 September 2009).

Dakwaan Najib ini pun saya rasa tidak akan meyakinkan sesiapa, kecuali agaknya para pengampu beliau, jika ada.

Sebenarnya untuk layak dianggap sebagai parti Islam, sesebuah parti itu perlu memenuhi beberapa syarat yang fundamental, dan tidak cukup jika sekadar perjuangannya dikatakan untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam, termasuk membasmi kemiskinan.

Parti Golkar di Indonesia, yang ideologinya agak mirip dengan ideologi UMNO pun dahulu berjuang untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam di Indonesia, tapi ia tidak pernah dianggap sebagai parti Islam.

Golkar dilabelkan sebagai parti nasionalis-sekular, bukan parti Islam.

Untuk diterima dan dianggap sebagai parti Islam tidak cukup juga jika semata-mata pemimpinnya dan anggotanya terdiri daripada orang Islam.

Biasanya yang jadi faktor penentu ialah sama ada ia berpegang kepada "ideologi Islam" atau tidak, dan sama ada ia memperjuangkan "ideologi Islam" atau tidak.

Secara mudah, sebuah parti politik biasanya dianggap sebagai parti Islam, jika asas perjuangannya adalah untuk mendaulatkan undang-undang syariah (Islam), dan malah undang-udang syariahlah yang memandu atau memimpin parti itu.

Pada masa yang sama, sebuah parti Islam juga berjuang untuk menegakkan negara Islam, kerana banyak pihak yang mempercayai bahawa undang-undang syariah itu hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam konteks sebuah negara Islam.

Di negara ini masyarakat kita secara umumnya sudah mengiktiraf PAS adalah sebuah parti Islam, kerana PAS mendakwa perjuangannya adalah berlandaskan Islam, dan PAS mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam.

Walaupun saya pernah menyatakan perjuangan PAS mungkin boleh dianggap tidak realistik dalam konteks sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, dan mungkin tidak akan sampai ke mana-mana, tapi ideologi PAS agak mantap dan arah perjuangannya pun agak jelas.

Yang tidak kurang pentingnya, sebagaimana yang dapat dilihat di mana-mana, sebuah parti Islam juga tentulah memerlukan seorang atau beberapa orang "tokoh Islam" sebagai pemimpinnya. Ini hampir merupakan satu syarat dan kemestian.

Adalah sesuatu yang tidak terfikirkan, jika Najib, yang pengetahuan Islamnya mungkin tidak setinggi mana, hendak diberi pengiktirafan sebagai pemimpin parti Islam.

Kadang-kadang, malah selalu juga, pada masa yang akhir-akhir ini, Najib cuba memasukkan beberapa ayat Quran yang dihafalnya dalam ucapannya. Akan tetapi, itu tentunya sekadar hiasan saja, dan tentunya tidak akan mengubah imej beliau menjadi seorang pemimpin Islam.

Kepakaran dan imej beliau tentu tidak sebanding dengan kepakaran dan imej Haji Hadi, Nik Aziz, Haron Din dan pemimpin PAS yang lain.

Dengan itu, saya tidak tahu jika ada orang yang mahu percaya bahawa UMNO ialah sebuah parti Islam, jika pemimpin utamanya ialah Najib, yang barangkali hanya satu kesilapan, jika ia secara tiba-tiba dianggap seorang "pemimpin Islam".

Wednesday, September 9, 2009

Perundingan PAS-UMNO: Hanya untuk memerangkap PAS?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, satu perundingan sulit telah berlaku antara pemimpin UMNO dengan pemimpin PAS yang tertentu selepas PRU 12, iaitu setelah kerajaan BN tumbang di Perak dan Selangor.


Perundingan sulit itu diprakasai oleh pemimpin UMNO dan tujuan utamanya tidak lain untuk mengelakkan pemerintahan kedua-dua negeri itu diambil-alih oleh Pakatan Rakyat (PR).


Dalam perundingan sulit itu dikatakan pemimpin UMNO telah menawarkan jawatan MB kepada pemimpin PAS, sekiranya PAS bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan UMNO (dan tentunya dengan BN).


Bagaimanapun, di bawah pengaruh Anwar Ibrahim, PAS yang sudah membuat pakatan dengan PKR dan DAP dalam PRU 12 menolak tawaran UMNO.


Jadi setelah BN tumbang, PR-lah yang mengambil-alih pemerintahan di Perak dan Selangor. Di Selangor jawapan MB dipegang oleh PKR, sementara di Perak pula jawatan MB dipegang oleh PAS.


Walaupun tidak berjaya memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan UMNO/BN, UMNO terus memujuk PAS supaya mengadakan perundingan. Tujuannya konon untuk kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam.


Dengan disokong oleh akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia, isu perundingan itu (yang pada mulanya diistilahkan sebagai "muzakarah UMNO-PAS") hampir tiap-tiap hari digembar-gemburkan oleh akhbar tersebut. Pendapat pelbagai tokoh diminta dan disiarkan untuk menyokong perundingan itu.


Isu perundingan itu (yang kemudiannya diistilahkan oleh Nik Aziz sebagai "mukabalah" - bukan "muzakarah") tenggelam begitu saja, kerana tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan pemimpin dan ahli PAS.

Kemudian, entah bagaimana, tidak lama dahulu, ketika ditemuramah oleh sebuah akhbar tempatan, Haji Hadi, Presiden PAS telah menyebut tentag konsep "kerajaan perpaduan"

Sebenarnya Haji Hadi tidak menerangkan atau menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan konsep tersebut. Dan kita pun tidak pasti sama ada Haji memang serius dengan konsep tersebut ataupun beliau telah tersalah cakap!

Akan tetapi, akhbar Utusan Malaysia yang mempunyai agenda tertentu telah membesar-besarkan dan mensensasikan konsep kerajaan perpaduan itu dengan mendapatkan komen daripada tokoh-tokoh UMNO, termasuk Najib, serta tokoh-tokoh NGO dan ahli akademik pro-UMNO dan pengampu UMNO.

Maka lahirlah pelbagai komen dan pelbagai rencana dalam akhbar tersebut yang cuba mempengaruhi dan meyakinkan pembaca dan orang Melayu bahawa konsep kerajaan perpaduan itu kononnya ialah perpaduan antara UMNO dengan PAS.

Tokoh-tokoh UMNO yang agaknya mengharapkan PAS akan meninggalkan PR apabila menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO begitu bergembira dan bersemangat menyokong konsep tersebut.

Akan tetapi, kegembiraan tokoh-tokoh UMNO tidak lama, apabila tokoh karismatik PAS, Nik Aziz membuat beberapa kenyataan yang menolak konsep perpaduan antara UMNO dan PAS, dan apabila Haji Hadi juga mengeluarkan kenyataan bahawa yang beliau maksudkan dengan konsep kerajaan perpaduan itu bukanlah perpaduan antara UMNO dengan PAS.

Dan isu kerajaan perpaduan ini tenggelam atau hilang begitu saja.

Bagaimanapun, UMNO agaknya belum berputus asa untuk menarik PAS daripada PR dan memecahkan PR.

Oleh itu, dalam lawatannya ke Kelantan baru-baru ini Najib menimbulkan semula isu perundingan antara UMNO dengan PAS "untuk kepentingan Islam".

Akan tetapi, PAS yang sudah pernah dipermainkan oleh UMNO pada masa yang lalu tentu masih melihat ucapan Najib itu sebagai perangkap yang perlu dielakkan.

Oleh itu, tidaklah menghairankan jika Nik Aziz tampil dengan kenyataannya yang tegas, bahawa pintu perundingan antara UMNO dengan PAS sudah tertutup rapat, kerana tidak ada apa-apa perkara yang hendak dirundingkan.

Kecuali mengikut kata Nik Aziz ," Kalau runding beri royalti, saya setujulah".

Sehari kemudian, Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS pula membuat kenyataan (Utusan Malaysia 10 September 2009, bahawa PAS tidak akan berunding dengan UMNO dalam soal kerjasama politik, kerana PAS mahu terus bersama Pakatan Rakyat. Akan tetapi, PAS terbuka untuk berbincang dalam mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri serta yang melibatkan kepentingan negara dan ummah.

Saya kira kenyataan Nik AZiz dan Mustafa Ali wajar sekali.

Sunday, September 6, 2009

Anwar takut?

Saya tidak tahu sebab sebenar Anwar mengambil pelbagai langkah untuk menangguhkan perbicaraan ke atasnya, sama ada kerana takut (sebagaimana yang dibayangkan oleh Chandra Muzaffar, Utusan Malaysia 7 September 2009) atau kerana sebab-sebab lain.

Akan tetapi, banyak juga orang yang berpendapat bahawa tuduhan liwat yang dihadapkan ke atas Anwar adalah sesuatu yang diada-adakan, dan mungkin merupakan konspirasi politik kedua untuk mematikan hayat politik beliau.

Golongan ini berpendapat tuduhan liwat ke atas Anwar adalah tidak munasabah, kerana Saiful yang berusia 23 tahun adalah seorang muda yang kuat dan gagah. Bagaimana mungkin seorang muda yang masih kuat dan gagah seperti itu boleh membiarkan dirinya diliwat oleh orang tua seperti Anwar?

Tuduhan liwat ke atas Anwar mungkin tidak dipercayai oleh banyak orang Melayu dan bukan Melayu. Sebab itulah Anwar masih disanjung sebagai pemimpin yang berwibawa.

Dan sebab itulah dalam pilihan kecil Permatang Pasir baru-baru ini, calon PR (dari PAS) terus menang, walaupun tidak lama sebelum itu Muhyiddin mengecap Anwar sebagai "pengkhianat bangsa Melayu."

Tuduhan Muhyiddin agaknya hanya "diaminkan" oleh para pengampu UMNO, tapi tidak oleh kebanyakan orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu di negara ini.

Oleh itu sebagai orang yang teraniaya, tidak ada salahnya Anwar mencari jalan untuk melepaskan diri dari penganiayaan itu.

Wednesday, September 2, 2009

Isu kuil: hormatilah hak minoriti

Nampaknya di kalangan orang yang tidak bersetuju kuil Hindu dibina di Seksyen 23, Shah Alam, dari orang biasa hingga menteri, alasan mereka tidak bersetuju hanya satu: majoriti penduduk kawasan itu terdiri daripada orang Melayu/Islam.

Implikasi dari pendirian mereka ini ialah orang India/Hindu sebagai golongan minoriti tidaklah berhak mendirikan dan mempunyai rumah ibadat mereka sendiri di kawasan itu.

Kalau hanya itu alasan mereka, saya tidak melihat kewajarannya orang-orang Melayu/Islam yang berkenaan bermati-matian mempertahankan pendirian mereka.

Dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, saya kira tidaklah wajar golongan majoriti menafikan hak golongan minoriti.

Pendirian mereka jelas tidak selaras dengan semangat perlembagaan yang melindungi hak dan kepentingan golongan minoriti, dan yang lebih penting lagi tidak selaras dengan ajaran Islam yang mengajar kita supaya bertolerensi kepada orang bukan Islam.

Sekiranya anggapan bahawa golongan minoriti tidak berhak mempunyai rumah ibadat sendiri di kawasan majoriti itu menjadi satu prinsip dan amalan, apa yang akan berlaku pada masa hadapan jika orang Melayu pula menjadi golongan minoriti di sesuatu kawasan perumahan?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kebanyakan kawasan perumahan di kawasan bandar adalah kawasan campuran Melayu dan bukan Melayu, dan di kebanyakan kawasan orang Melayu bukanlah golongan majoriti.

Akan tetapi, oleh kerana sebelum ini soal majoriti-minoriti ini tidak dipermasalahkan, banyak juga kawasan perumahan yang mempunyai rumah ibadat untuk orang Islam (surau atau masjid), walaupn orang Islam di kawasan itu merupakan golongan minoriti.

Pembinaan rumah ibadat Islam di kawasan majoriti bukan Islam itu mungkin dapat dipertahankan kerana agama Islam ialah agama rasmi negara ini.

Akan tetapi, berdasarkan prinsip keadilan, orang bukan Islam pula sepatutnya dibenarkan mendirikan rumah ibadat mereka sendiri di kawasan yang mereka bukan golongan majoriti.

Kewujudan rumah ibadat bukan Islam (kuil dalam konteks ini) di kawasan majoriti Islam tentu tidak menghalang orang Islam di kawasan itu mengamalkan agama mereka. Jadi mengapakah ada orang Islam yang anti sangat golongan minoriti bukan Islam mendirikan rumah ibadat di tempat itu?

Dalam hal ini saya tidak melihat kewajarannya orang Melayu/Islam dan orang-orang yang mendalangi tindakan mereka itu menyeret Sultan supaya campur tangan dalam isu pembinaan kuil ini.

Sekiranya campur tangan Sultan itu akan menyebabkan kuil itu tidak jadi didirikan di kawasan yang telah dirancangkan, tidaklah nanti Sultan di lihat sebagai berpihak dan tidak lagi menjadi payung bagi semua rakyat?

Jika hal yang demikian berlaku, tidakkah nanti peranan raja dan institusi raja akan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, khasnya oleh golongan minoriti yang tidak berpuas hati?

Dalam keadaan yang demikian, jika hal itu berlaku, adalah jelas bahawa institusi raja tidak lagi dihormati, kerana tindak tanduk orang Melayu/Islam sendiri, yang kononnya mahu mempertahankan kewujudan institusi raja!

Friday, August 28, 2009

Anda telah diperalatkan

Saya rasa kerajaan Selangor telah mengambil tindakan yang wajar, adil dan munasabah apabila mengambil keputusan untuk memindahkan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Walaupun penduduk Seksyen 23 mungkin ada yang merasa tidak selesa, tetapi sekiranya diberi penjelasan yang sepatutnya dan tidak dihasut oleh mana-mana pihak supaya menentang pemindahan kuil itu, saya agak yakin mereka boleh menerimanya.

Akan tetapi, malangnya pemindahan kuil ini telah digunakan pihak tertentu (khasnya UMNO dan NGO pro-UMNO di Selangor) untuk menimbulkan kontroversi dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, dan perbuatan mereka telah diapi-apikan pula oleh akhbar tertentu yang kita tahu memang bersekongkol dalam hal-hal seperti ini.

Maka dari masa ke masa akhbar itu menyiarkan kenyataan penduduk Seksyen 23 yang antara lain mengatakan :
a) Mereka tidak bersetuju kuil itu dipindahkan ke Seksyen 23 kerana seksyen itu ialah kawasan majoriti Melayu.
b) Mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan tidak dirundingi tentang pemindahan kuil itu.
c) Mereka kecewa dan merasa tertipu menyokong PR selama ini, kerana dikatakan PR telah menghina Islam.

Dan seorang pemimpin besar Badan Bertindak Perpaduan Melayu dengan bebalnya mengatakan pembinaan kuil di Seksyen 23 yang merupakan kawasan majoriti Melayu itu bukan saja merupakan penghinaan terhadap Islam, tetapi juga terhadap Yang di-Pertuan Agung!

Pendapat beliau ini memang agak lucu. Apa kaitannya dengan Yang di-Pertuan Agung? Adakah golongan minoriti India tidak mempunyai hak untuk mempunyai rumah ibadat sendiri, walaupun mereka tinggal di kawasan majoriti Melayu?

Maka sebagai kemuncak penentangan mereka, semalam (Jumaat 28 Ogos 2009) kira-kira 50 orang (atau 200 orang mengikut Laporan Utusan Malaysia) penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang disertai oleh beberapa NGO pro-UMNO telah mengadakan perarakan dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK di Shah Alam.

Adalah di luar dugaan dalam perarakan itu mereka turut membawa kepala lembu, yang merupakan binatang suci bagi penganut agama Hindu. (Perihal para demonstran membawa kepala lembu ini tidak dilaporkan oleh Utusan Malaysia, tetapi gambarnya boleh dilihat dalam Malaysiakini).

Kita tidak tahu mengapa mereka merasa perlu membawa kepala lembu dalam perarakan itu. Ini hanya menunjukkan kebebalan mereka yang mungkin tidak memikirkan apakah akibatnya jika orang Hindu pula bertindak balas dengan melakukan sesuatu yang menyentuh kesucian agama Islam.

Oleh kerana didalangi dan dihasut oleh UMNO dan NGO pr0-UMNO, mereka mungkin merasa perbuatan mereka wajar, dan mereka mungkin merasa dilindungi, walaupun perbuatan mereka adalah sesuatu yang salah dan tidak wajar sama sekali.

Atau adakah mereka memang mahu menimbulkan huru hara supaya UMNO/BN mendapat peluang untuk merampas Selangor dari tangan PR seperti yang telah mereka lakukan di Perak?

Setakat ini pihak polis agaknya belum mengambil apa-apa tindakan, dan hanya melihat tanpa tindakan ketika perarakan itu berlangsung.

Akan tetapi, mujurlah Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairi Jamaluddin dilaporkan oleh Malaysiakini cepat mengutuk tindakan para demonstran dari Seksyen 23 Shah Alam itu. Kenyataan Khairi yang agaknya merupakan kenyataan terpencil agak rasional, dan wajarlah dihargai, walaupun agaknya merupakan kenyataan spontan dalam keadaan panik dan terdesak.

Pemimpin UMNO Selangor yang lain, seperti Khir Toyo dan Noh Omar setakat ini masih belum berbunyi. Apakah alasan mereka jika mereka mahu terus menyokong tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang tidak wajar itu?

Setakat ini kita tidak tahu apakah tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam selepas ini. Adakah mereka mahu mengadakan perarakan dengan membawa kepala lembu sekali lagi? Tidakkah anda sedar bahawa anda sebenarnya telah diperalatkan oleh orang-orang politik yang berkepentingan?

Thursday, August 27, 2009

Isu Kartika: golongan fundamentalis vs golongan modenis

Kita sedia maklum di negara ini ada orang-orang yang mahu negara ini menjadi negara Islam dengan sistem syariah sepenuhnya, walaupun konsep negara Islam mereka agaknya tidak pernah diperincikan sama ada negara Islam itu negara Islam beraja, memakai khalifah ( seperti yang dicita-citakan oleh kumpulan Hitbut Tahrir) atau bagaimana. Kita katakanlah golongan ini sebagai golongan fundamentalis.

Pada masa yang sama ada juga orang-orang yang mahu sistem politik dan pemerintahan yang ada sekarang dengan sistem perlembagaan dan perundangannya yang sedia ada dikekalkan, sama ada kerana mereka tidak berminat dengan konsep negara Islam atau tidak mampu mengubah negara ini menjadi negara Islam. Golongan ini mungkin boleh disebut sebagai golongan modenis.

Sebagaimana di kebanyakan negara umat Islam yang lain, kewujudan dua golongan yang mempunyai sikap dan orientasi politik yang berbeza ini bukanlah perkara baru. Dan dalam konteks Malaysia saya kira fenomena ni akan terus wujud dalam jangka masa yang panjang, kalaupun tidak berkekalan.

Kewujudan dua kumpulan ini saya kira, sama ada secara langsung atau tidak, dapat dilihat dalam konteks kontroversi isu Kartika yang dijatuhkan hukuman sebat kerana kesalahan meminum arak baru-baru ini. Kumpulan pertama, sama ada pemimpin politik, mufti dan bekas mufti atau peguam Muslim berlumba-lumba memberi pendapat supaya hukuman sebat itu dijalankan tanpa bertangguh lagi, kerana dikatakan itulah tuntutan Islam.

Sebaliknya kumpulan kedua, yang diwakili oleh elit negara, sama ada PM, menteri, peguam negara dan sebagainya, mahu hukuman itu ditangguhkan, atau kalau boleh dibatalkan. Itulah sebabnya PM dan Shahrizat menyuruh Kartika membuat rayuan supaya hukuman sebat itu dibatalkan, dan Hishamudin pula memberi alasan hukuman itu tidak dapat dijalankan di penjara Kajang kerana tidak ada tukang sebat.

Kumpulan fundamentalis sebagai kumpulan yang berorientasi fikah agaknya memang tidak ada pertimbangan lain selain daripada mahu memenuhi kehendak mahkamah syariah yang mereka persepsikan sebagai selaras dengan kehendak undang-undang Islam. Itulah sebabnya mereka mahu hukuman sebat itu dijalankan segera, dengan alasan pesalah pun sudah rela dan hukuman 6 sebatan jauh lebih ringan daripada 80 sebatan mengikut hukuman syariah pada zaman Nabi.

Akan tetapi, kumpulan modenis pula tentu mempunyai pertimbangan lain yang mereka anggap lebih penting selain daripada pelaksanaan hukuman yang dikatakan selaras dengan tuntutan Islam itu. Antaranya, bagaimana imej negara ini di mata dunia jika hukuman sebat itu dilaksanakan di sebuah negara moden yang selama ini dianggap oleh "dunia" sebagai negara Islam moderat dan negara Islam contoh? Tidakkah negara ini akan terpalit dengan imej "buruk" sebagai negara yang mendiskriminasikan perempuan dan yang menjatuhkan hukuman
keras ala-Taliban?

Barangkali untuk mempertahankan imej Malaysia sebagai negara Islam yang moderat dan moden inilah pihak elit negara lebih suka hukuman sebat itu tidak jadi dilaksanakan.

Saya tidak tahu bagaimana kesudahan isu Kartika ini. Mungkin ia akan dijalankan juga, kerana si pesalah beria-ia mahu hukuman itu dijalankan. Atau ia akan dibatalkan, apabila mahkamah syariah Pahang sendiri yang akan meminda dan membatalkan hukuman sebat itu.

Akan tetapi, pemisahan yang wujud di negara kita antara golongan fundamentalis dengan golongan modenis ini saya kira akan terus berlanjutan. Apatah lagi golongan fundamentalis memang belum mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mewujudkan cita-cita mereka dalam menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam. Jadi cita-cita mereka untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam itu tentu merupakan cita-cita yang masih jauh , dan mungkin semakin jauh apabila PAS sebagai parti teras dalam kumpulan itu telah membuat pakatan dengan PKR dan DAP yang tidak berminat dengan konsep negara Islam

Monday, August 24, 2009

Hukuman keras hanya untuk orang kecil?

Dalam sebuah "negara sekular" seperti Malaysia, di mana yang terpakai bukan undang-undang syariah (Islam), hukuman sebat yang dijatuhkan ke atas seorang wanita yang meminum arak tentu saja mengejutkan banyak pihak.

Kalau tidak salah, hukuman itu dijatuhkan berasaskan enakmen syariah negeri Pahang dan hukuman yang dijatuhkan ialah hukuman yang maksimum. Itulah sebabnya hukuman sebat disertakan dengan denda.

Namun, hukuman seperti ini biasanya hanya dijatuhkan kepada orang kecil atau orang biasa seperti wanita berkenaan. Sementara begitu ramai orang besar dan orang atasan di luar sana tidak pernah terdengar dikenakan hukuman yang demikian. Sebabnya barangkali mereka mampu minum arak di tempat-tempat yang eksklusif, yang tidak terjangkau oleh pegawai-pegawai jabatan agama.

Dengan itu, keadilan kadang-kadang tidak mampu dilaksanakan kepada semua golongan. Dan dengan itu, orang kecil dan orang biasa jugalah yang terpaksa menanggung hukuman yang keras seperti itu.

Tuesday, August 18, 2009

Orang Melayu wajar bertimbang rasa

Syabas diucapkan kepada kerajaan Selangor yang telah mengambil keputusan untuk terus membina sebuah kuil Hindu yang baru di Seksyen 23 Shah Alam.

Saya kira ini adalah dasar yang adil dan munasabah untuk golongan minoriti (India) yang wajar diberi hak untuk mempunyai rumah ibadat mereka sendiri, dan kepada golongan majoriti (Melayu) yang sudah lama mempunyai tempat ibadat mereka sendiri di tempat itu.

Pembinaan kuil itu sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepada orang Melayu di kawasan itu, sekiranya mereka bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri sendiri.

Memang orang Melayu di tempat itu merupakan golongan majoriti Akan tetapi, adakah kerana itu mereka berhak menafikan hak golongan minoriti?

Orang Melayu yang merupakan golongsn majoriti di tempat itu sebenarnya menentang pembinaan kuil itu kerana sentimen saja, di samping barangkali kerana telah diperalatkan oleh pemimpin dan orang-orang UMNO yang sekarang ingin merampas Selangor dari tangan Pakatan Rakyat (PR).

Jadi isu utama sekarang ialah isu politik; bukan lagi isu agama.

Jika orang Melayu di kawasan itu mahu terus menentang pembinaan kuil itu, maka merekalah nampaknya yang merupakan golongan pelampau yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa, di samping barangkali diperalatkan oleh UMNO.

Monday, August 17, 2009

Nik Aziz pun belum tentu masuk syurga

Walaupun kadang-kadang saya bersetuju dengan pendapat Nik Aziz, tentu saya tidak bersetuju jika betul beliau ada berkata bahawa ahli UMNO tidak akan masuk syurga.

Saya pun tidak menyokong semua dasar dan tindakan UMNO. Akan tetapi, sama ada seseorang itu masuk syurga atau tidak, tentu tidak bergantung kepada keahliannya dalam UMNO atau mana-mana parti politik.

Bagi saya seorang ahli PAS pun belum tentu masuk syurga, malah Nik Aziz sendiri belum tentu masuk syurga.

Kalau mahu masuk syurga, caranya ialah kuatkan iman kita dan tingkatkan amalan kita, mudah-mudahan ibadat kita yang ikhlas akan diterima oleh Allah dan diberi ganjaran yang sewajarnya.

Islam yang dipraktikkan oleh UMNO mungkin boleh dibezakan daripada Islam yang ingin dipraktikkan oleh PAS, maklumlah kononnya PAS mahu menegakkan negara Islam dan mengamalkan hukum Islam.

Akan tetapi, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, yang penduduk Islamnya hanya lebih sedikit 50%, apa yang dihasratkan oleh PAS itu mungkin merupakan ilusi dan angan-angan saja.

Apatah lagi sekarang, PAS sedang berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR yang memang tidak bersetuju undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini.

Jadi PAS tidak perlulah menipu orang ramai dengan mengatakan ia mampu menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam di negara ini.

Saturday, May 30, 2009

Betulkah Chin Peng mahu kembali ke Malaysia?

Begitu banyak perbincangan tentang Chin Peng dan begitu banyak kutukan dilemparkan terhadap kekejaman Chin Peng dan PKM, berikutan dengan berita keinginan Chin Peng untuk pulang ke Malaysia, yang mendapat sokongan daripada Pengerusi Gerakan Pulau Pinang.

Sampai kini masih ada akhbar arus perdana yang tidak habis-habis menyiarkan pendapat orang-orang yang mengutuk Chin Peng dan menyatakan sangat tidak bersetuju dengan kepulangan Chin Peng, walaupun Najib sudah menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan tidak membenarkan Chin Peng balik ke Malaysia.

Akan tetapi, jika kita berhenti sejenak daripada mengutuk Chin Peng, tidakkah mungkin kita terfikir bahawa Chin Peng sebenarnya bukanlah betul-betul mahu balik ke Malaysia?

Saya tidak pernah bertemu dengan Chin Peng, tetapi pernah bertemu dengan pemimpin PKM yang lain, seperti Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah Mohamad Kassim dan Suriani Abdullah yang memilih menetap di Thailand dan tidak kembali ke Malaysia, kecuali untuk kunjungan singkat saja.

Saya pernah bertanya kepada mereka mengapa tidak mahu pulang dan menetap di Malaysia, walaupun mengikut Perjanjian Perdamaian antara PKM dan Kerajaan Malaysia, mereka sebenarnya memang dibenarkan balik ke Malaysia.

Mereka memberi jawapan bahawa pada mulanya sebab utama mereka menetap di Thailand adalah kerana mahu menjaga kebajikan dan memberi pimpinan kepada bekas anggota PKM, khasnya dari Rejimen 10 yang kebanyakannya juga memilih untuk tidak kembali ke Malaysia.

Bagaimanapun, secara tidak langsung mereka membayangkan juga keraguan mereka untuk balik ke Malaysia, kerana mereka tidak yakin bahawa pihak yang berkuasa tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka, kerana maklumlah stigma sebagai bekas komunis itu masih tetap melekat pada pandangan umum.

Lagipun kepulangan kumpulan awal bekas anggota PKM ke Malaysia pada awal tahun 1990-an dahulu tidaklah berjalan lancar sebagaimana semestinya, kerana banyak juga karinah birokrasi (termasuk soal siasat(?) yang perlu mereka lalui.

Ini menimbulkan keraguan di kalangan mereka, sekiranya kepulangan mereka untuk menetap di Malaysia juga akan menghadapi pelbagai halangan, walaupun mengikut Perjanjian Perdamaian itu seolah-olah tidak ada halangan apa-apa.

Dan setelah beberapa tahun berlalu, mereka sudah merasa selesa untuk tinggal di Thailand dan tidak berhasrat lagi untuk pulang menetap di Malaysia.Kini mereka sudah pun diterima menjadi warga negara Thailand.

Oleh itu, sebagai Orang Nombor satu PKM, saya rasa Chin Peng tentu tahu bahawa kepulangannya ke Malaysia bukanlah kepulangan yang dialu-alukan dan beliau tentu tahu juga begitu banyaknya orang yang membenci dan masih memusuhi beliau. Dan bukanlah tidak mungkin dia akan di ISA-kan jika dia balik ke Malaysia.

Dengan itu, saya tidak yakin Chin Peng sebenarnya betul-betul mahu kembali ke Malaysia.Dia saya kira sudah selesa tinggal di Bangkok, Thailand dan tidak ada keperluan sebenarnya untuk kembali ke Malaysia, walaupun dikatakan untuk menghabiskan sisa umurnya di Sitiawan, tempat kelahirannya.

Oleh itu, permohonannya untuk kembali ke Malaysia saya kira hanyalah sebagai acah-acah atau sebagai permainan politik saja, kalaupun bukan untuk menduga dalam atau tidaknya lautan politik Malaysia.

Sekarang Chin Peng sudah tahu kepulangannya memang tidak dikehendaki, khasnya oleh orang-orang yang dahulu diperanginya dan menganggap beliau sebagai musuh mereka. Saya tidak fikir dia akan merasa kecewa, kerana dia bukanlah sungguh-sungguh untuk kembali ke Malaysia.

Friday, May 29, 2009

Chin Peng mahu balik pada waktu yang salah?

Sebagaimana yang kita tahu, atau mungkin ada juga yang tidak tahu, Rashid Maidin dan Abdullah C.D, dua orang tokoh komunis Melayu, pernah "pulang" ke Malaysia, walaupun akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menetap di Selatan Thailand.'

Mengapakah kepulangan mereka tidak mendapat bantahan secara terbuka daripada mana-mana pihak pada waktu itu, walaupun mereka termasuk juga dalam golongan "pengganas komunis" ?

Saya kira, antara sebabnya ialah:

a) Mereka pulang ke Malaysia sebaik saja, atau tidak lama selepas, Perjanjian Perdamaian antara PKM dan Kerajaan Malaysia ditandatangi. Jadi ketika itu pihak kerajaan agaknya memang menghormati "semangat perdamaian" dari perjanjian itu.

b) Pemimpin kerajaan seperti Megat Joned agaknya memang memainkan peranan untuk memudahkan mereka pulang ke Malaysia.

c) Ketika itu Tun Mahathir yang merestui Perjanjian Perdamaian itu masih menjadi PM, dan beliau menerima Rashid Maidin datang bersilaturahim dengannya. Jadi kepulangan mereka jelas direstui oleh PM sendiri.

Dengan itu, pada masa itu, semangat perdamaian antara PKM dengan Kerajaan Malaysia memang wujud, dan apa yang dikatakan "kekejaman" yang dilakukan oleh PKM terhadap tentera dan orang awam pada zaman darurat dahulu agaknya telah "dilupakan".

Adakah Chin Peng juga ada memohon untuk balik ke Malaysia, sekurang-kurangnya untuk menemui keluargannya dalam waktu yang pendek pada masa itu? Saya tidak tahu.

Tapi saya kira itulah masa yang betul, jika Chin Peng hendak balik atau berkunjung ke Malaysia, iaitu ketika semangat dan aura perdamaian itu masih ada.

Sekarang kira-kira 20 tahun sudah berlalu. Semangat perdamaian agaknya sudah sirna ataupun sudah dilupakan. Maka kekejaman Chin Peng dan PKM diungkit kembali.

Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan baru sudah membuat keputusan untuk menolak permintaan Chin Peng untuk balik ke Malaysia.

Saya hanya menduga bahawa Chin Peng mahu balik ke Malaysia pada waktu yang salah!

Thursday, May 28, 2009

Salam Perkenalan

Ini blog baru saya untuk menulis sekali sekala. Selamat membaca dan sudilah memberikan komen.