Friday, November 25, 2011

Pembangunan mengikut kehendak Islam

Memang dijangka Muhyiddin akan menyokong sikap orang UMNO Kedah yang menentang rancangan kerajaan Kedah untuk meruntuhkan Madrasah Salihiah yang juga sebuah surau di Alor Setar untuk membolehkan sebuah kompleks beli belah dibina di atas tapak surau tersebut.

Akan tetapi, asas sokongan Muhyiddin boleh dikatakan agak naif. Katanya PAS lebih pentingkan ekonomi berbanding Islam.

Sebenarnya soal PAS lebih pentingkan ekonomi berbanding Islam tidak berbangkit, kerana di bahagian bawah kompleks beli belah itu nanti akan dibina surau baru yang tentunya lebih besar dan lebih cantik.

Jadi kalau sekadar hendakkan surau sebagai simbol syiar Islam, simbol itu tidak hilang, malah akan terus wujud dengan lebih mantap.

Sebaliknya pembinaan kompleks beli belah itu adalah satu aspek pembangunan ekonomi yang memang dituntut oleh Islam.

Jadi dengan membina semula surau itu bersama-sama dengan pembinaan kompleks beli belah yang berkenaan, kerajaan Kedah sebenarnya memberi tumpuan yang sama penting kepada pembangunan syiar Islam dan pembanguan ekonomi. Dan ini adalah pembangunan yang seimbang, yang selaras dengan kehendak Islam.

Sayang sekali rancangan pembangunan yang baik ini ditentang semata-mata kerana sentimen politik kepartian. Dan yang akan rugi tidak lain daripada orang Islam sendiri.

Monday, November 21, 2011

Kebodohan orang Melayu berpolitik

Rancangan kerajaan Kedah untuk merobohkan sebuah surau di bandar Alor Setar dan mendirikan sebuah pusat perniagaan di atas tapak surau itu mungkin tidak ditentang dan tidak jadi isu jika kerajaan Kedah ialah kerajaan BN.

Rancangan kerajaan Kedah itu tidak membawa apa-apa kerugian, malah keuntungan kerana di bahagian bawah pusat perniagaan itu akan dibina surau baru yang tentunya lebih besar dan lebih cantik.

Jadi apa yang akan dilakukan oleh kerajaan Kedah yang terdiri daripada kerajaan PAS itu adalah membangunkan tapak surau tersebut, di samping menyediakan tempat baru untuk penduduk di situ beribadat.

Tindakan kerajaan Kedah ini tentunya akan mendatangkan keuntungan dan faedah kepada banyak pihak; bukan kepada orang PAS sahaja.

Akan tetapi, orang Melayu yang berkenaan, yang mungkin terdiri daripada penyokong UMNO menentang perobohan surau dan pembinaan pusat perniagaan itu kerana sentimen dan mungkin pertimbangan politik semata-mata.

Ini barangkali satu contoh kebodohan orang Melayu apabila berpolitik.

Tuesday, November 15, 2011

Guru Kristian tidak perlu dihalau



Ibrahim Ali menafikan PERKASA ada mendesak supaya guru Kristian dihalau daripada mengajar di sekolah-sekolah di negara ini.


Akan tetapi, ketika PERKASA mengadakan demonstrasi di Masjid Negara pada 19 Ogos 2011 yang lalu, pesertanya membawa pelbagai kain rentang yang mengutuk guru Kristian. Antaranya berbunyi: "Guru Kristian Melampau! Halau dan jauhkan dia dari murid Melayu."


Adakah peserta demontrasi itu bukan penyokong PERKASA?


Sebenarnya bukan semua guru Kristian mahu memurtadkan murid Melayu. Jadi mengapa pula mereka harus dihalau?

Sunday, November 13, 2011

KJ dan pindaan AUKU



Agak menarik juga ketika ramai pemimpin kanan UMNO, sesetengah Naib Canselor, malah sesetengah pemimpin pelajar tidak bersetuju dengan pindaan AUKU, Khairi Jamaluddin (KJ), Ketua Pemuda UMNO Malaysia bersetuju pula dengan pindaan tersebut.

Antara alasan KJ ialah AUKU itu bukan saja menghalang mahasiswa menyokong parti pembangkang, malah menghalang mereka juga menyokong UMNO.

Ini pandangan dari sudut kepentingan UMNO. Tak apalah, beliau Ketua Pemuda UMNO, dan tentu tidak salah beliau berpendapat begitu.

Bagaimanapun, alasan beliau yang lain juga menarik apabila beliau mengatakan bahawa walaupun AUKU dipinda, mahasiswa tetap akan menumpukan perhatian kepada pelajaran, malah akan menyebabkan mahasiswa berfikiran lebih matang.

Pengalaman beliau sebagai mahasiswa yang aktif dalam politik ketika belajar di luar negeri juga tidak menunjukkan bahawa beliau telah mengabaikan pelajaran dan gagal dalam pelajaran.

Lagipun KJ mengatakan mahasiswa yang berminat dengan politik mungkin tidak ramai. Jadi tidak ada apa-apa yang harus dibimbangkan.

Saya harap pendapat KJ ini boleh membuka mata pelbagai pihak yang tidak yakin dengan kematangan mahasiswa, dan hanya melihat aspek negatif dari pindaan terhadap AUKU.

Tuesday, November 8, 2011

DAP pun tidak bijaksana

Setelah memanipulasi isu seksualiti merdeka, dalam sehari dua ini, Utusan Malaysia mendapat modal baru untuk dimanipulasi: ucapan seorang wakil rakyat DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam.

Saya bukan suka sangat dengan tindakan Utusan Malaysia memanipulasi isu tersebut, sehingga menjadi isu perkauman dan akan merosakkan lagi hubungan kaum di negara ini.

Tapi malangnya orang DAP pun tidak bijaksana juga, kalau pun tidak mahu dikatakan bodoh.

Tak lama dahulu ada seorang wakil rakyat DAP bercakap hendak mengubah bendera Malaysia bila DAP berkuasa. Buat apa hendak mengubah bendera; bukan ada kaitan dengan kehidupan rakyat terbanyak yang sedang tertekan dengan kenaikan harga barang dan pelbagai masalah kehidupan yang lain.

Bercakap tentang pengurangan bilangan penjawat awam pun mungkin satu lagi ketidakbijaksanaan wakil rakyat DAP.

Mengikut pendapat Prof.Aziz Bari kedudukan penjawat awam sebenarnya dilindungi oleh Perlembagaan dan bukan boleh dikurangkan secara sewenang-wenang.

Memang Najib ada bercakap tentang pengurangan penjawat awam, khasnya memberhentikan mereka yang tak cekap.

Tapi wakil rakyat DAP itu bukan PM yang cakapnya dipatuhi oleh para pengampu dalam UMNO.

Kalau Najib kata buruk gagak itu putih, mungkin ada orang UMNO yang mengatakan ucapan Najib itu betul!

Akan tetapi, apabila wakil rakyat DAP mengatakan hendak mengurangkan penjawat awam yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, ucapannya memang mudah sekali dimanipulasikan menjadi isu perkauman.

Jadi, lain kali kalau bercakap tunjukkanlah kebijaksanaan, bukan kebodohan.

Thursday, November 3, 2011

Sindrom bisu di kalangan ahli akademik

Sejak suara ahli akademik kita dibisukan oleh Mahathir selama kira-kira 20 tahun, ketika beliau berkuasa sebagai PM dahulu, sindrom bisu di kalangan mereka saya kira masih berterusan sehingga kini.

Walaupun kini barangkali ada sedikit kebebasan untuk bersuara, tetapi yang berani mengambil peluang untuk bersuara secara kritis sangatlah sedikit. Kebanyakannya barangkali lebih selesa terus mengambil sikap membisu dan tidak mempedulikan masalah rakyat.

Memang dari masa ke masa ada suara beberapa kerat para profesor yang mengulas isu-isu semasa, yang dapat kita baca di akhbar-akhbar arus perdana. Akan tetapi, mereka umumnya adalah orang-orang yang selalu mengambil sikap yang sejalan dengan kerajaan, dan kadang-kadang lebih bersifat pengampu.

Demikianlah, apabila satu forum tentang kebebasan akademik di adakan di Universiti Malaya baru-baru ini, jumlah kehadiran sangatlah kecil -- hanya kira-kira 30 orang, padahal jumlah ahli akademik di universiti itu sahaja lebih 2,000 orang.

Dari laporan beberapa portal berita, saya perhatikan beberapa orang yang tampil berucap dan memberi pendapat yang agak kritis ialah orang-orang tua yang sudah berada dalam umur persaraan. Mungkin ada dari golongan muda, tapi hanya seorang dua.

Satu perkara yang sangat menarik yang didedahkan dalam forum itu ialah apabila dinyatakan bahawa daripada kira-kira 2000 orang ahli akademik di UIAM, yang menandatangani surat protes terhadap penggantungan jawatan Prof. Aziz Bari hanyalah 60 orang!

Ini membayangkan majoriti ahli akademik kita memang masih suka mengambil sikap membisu, tidak berani bersuara dan tidak mempedulikan rakan mereka yang ditindas oleh pihak yang berkuasa!