Saturday, November 28, 2009

Penentang Chin Peng ialah bekas "tentera penjajah"

Dari laporan akhbar Utusan Malaysia yang selalu membesar-besarkan berita tentang Chin Peng, nampak benar bahawa yang menentang kuat kepulangan Chin Peng ke negara ini ialah bekas tentera Melayu dan orang Melayu.

Hal ini barangkali tidak menghairankan, kerana pada zaman darurat dahulu merekalah yang berada di barisan hadapan untuk menentang Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) atau pasukan bersenjata PKM yang dipimpin oleh Chin Peng.

Sebahagian daripada tentera Melayu itu ada yang terkorban dan ada juga yang cacat seumur hidup kerana terpijak perangkap samar dan sebagainya. Sekarang bekas tentera yang masih hidup inilah yang begitu beria-ia mengutuk Chin Peng sebagai pengganas yang tidak boleh dimaafkan.

Akan tetapi, bekas tentera ini agaknya lupa bahawa pada zaman darurat dahulu mereka sebenarnya bekerja sebagai "askar penjajah", dan sama ada secara langsung atau tidak mereka telah memainkan peranan mempertahankan rejim penjajah dan memanjangkan hayat pemerintahan penjajah.

Sepatutnya pada zaman penjajahan, "orang jahat" yang mesti diperangi dan mesti dihalau dari negara ini ialah pihak penjajah, kerana merekalah yang menindas dan menghisap darah rakyat (walaupun secara halus).

Akan tetapi, pihak tentera Melayu itu telah berjuang di pihak penjajah dan agaknya tidak sedar mereka telah menjadi tali barut penjajah. Dan ini adalah pilihan mereka sendiri.

Oleh kerana mereka berpihak dan berjuang di pihak penjajah, maka tentu tidak dapat dielakkan mereka terpaksa berhadapan dengan TPNM yang berjuang untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah.

Jadi kalau dalam pertempuran dengan TPNM ada di antara mereka yang terkorban atau terpijak perangkap samar, mereka sepatutnya tidak menyalahkan TPNM kerana mereka bertempur adalah atas pilihan dan kehendak mereka sendiri.

TPNM ialah pejuang kemerdekaan yang mahu menghalau penjajah dari negara ini. Walaupun mereka berjuang secara bersenjata, itu adalah keperluan dan taktik perjuangan yang memang dijalankan oleh pejuang kemerdekaan di negara- negara terjajah yang lain pada masa itu.

Memang penjajah telah melebalkan mereka sebagai pengganas. Tapi pada asasnya mereka berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah dan ini adalah hakikat tidak boleh dinafikan.

Isu sama ada mereka pengganas atau bukan pengganas sepatutnya tidak berbangkit.

Perjuangan secara bersenjata untuk menentang penjajah sudah pun dilakukan oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan para pahlawan Melayu yang lain. Adakah mereka itu pengganas?

Jadi sekiranya tentera Melayu berjuang untuk mempertahankan rejim penjajah dan gugur dalam pertempuran dengan TPNM yang berjuang untuk menghalau penjajah, maka kita sepatutnya tahu siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Pihak tentera Melayu tidak perlu menyalahkan pihak PKM dan Chin Peng dan menganggap Chin Peng sebagai pengganas, kerana pada hakikatnya mereka telah berjuang dipihak yang salah!

Friday, November 27, 2009

Buat apa Ketua Pemuda PAS membuka pekung di dada?

Apakah tujuan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mendedahkan pelbagai kelemahan dan kepincangan PAS dalam blognya ?

Adakah beliau mahu "mengajar" pemimpin dan ahli PAS yang lain supaya "mematuhi" pendapat dan saranan beliau?

Siapakah beliau yang mahu mengajar pemimpin PAS yang lebih kanan dan lebih berpengalaman daripada beliau?

Kalau itu tujuan beliau, beliau nampaknya sudah melakukan satu kesilapan besar.

Perbuatan beliau sama seperti membuka pekung di dada.

Yang paling gembira dengan pendedahan itu nampaknya ialah akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia yang menyiarkan petikan tulisan beliau sebagai berita atau laporan utama hari ini (28 November 2009).

Nampaknya Utusan Malaysia mendapat bahan percuma yang bagus untuk menyebarluaskan kelemahan dan kepincangan PAS.

Inilah kelemahan orang PAS, khasnya ketua pemudanya yang tidak pandai berpolitik. Kebodohan mereka telah dipergunakan oleh musuh mereka untuk menghentam mereka kembali.Kasihan!

Monday, November 9, 2009

Dr.Asri akan kelihatan "kerdil" jika menyertai politik

Saya kira Dr.Asri kelihatan "besar", terutamanya kerana selama ini beliau merupakan seorang ulama bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Kedudukan beliau sama seperti Dr.Haron Din sebelum menyertai PAS secara aktif dan seperti Dr.Mashitah sebelum menyertai UMNO

Saya teringat pada tahun 1960-an dan 1970-an dahulu imej dan ketokohan Dr.Haron sebagai seorang tokoh agama, sebenarnya jauh lebih besar daripada sekarang, walaupun ketika itu beliau hanya merupakan seorang pensyarah biasa dan belum menjadi profesor di UKM.

Ditambah dengan peranan beliau sebagai seorang "bomoh" atau pengamal perubatan Islam, ketokohan beliau ketika itu memang sangat besar dan menonjol.

Beliau merupakan seorang ulama yang hebat dan mungkin paling dikenali di Malaysia.

Tapi apa sudah jadi selepas beliau bergerak aktif dalam PAS dan menjadi tokoh PAS?

Imej dan ketokohan beliau bukan bertambah besar, malah dengan cepat menjadi kecil, kerana beliau kini hanya merupakan salah seorang ulama PAS.

Yang menyanjung dan mengkagumi beliau, kalau ada, hanya orang PAS yang merupakan sebahagian daripada masyarakat Melayu. Orang UMNO mungkin sudah tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai ulama.

Begitu juga Dr.Mashitah. Saya teringat betapa hebatnya beliau, walaupun ketika itu beliau hanya muncul di TV dan dikenali ramai melalui program TV, seperti Forum Perdana.

Tapi lihatlah apa yang berlaku setelah beliau menjadi orang UMNO dan menjadi Timbalan Menteri? Sebagai tokoh agama, beliau kelihatan begitu kerdil. Saya kira orang UMNO pun mungkin tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai tokoh agama.

Jadi saya kira demikianlah yang akan berlaku jika Dr. Asri menyertai mana-mana parti politik; PAS atau UMNO.

Beliau mungkin akan lebih "bebas" berdakwah. Tapi beliau akan hanya diterima dan diiktiraf oleh "separuh" masyarakat Melayu, yang terdiri daripada penyokong UMNO atau penyokong PAS.

Sebagai ulama partisan beliau akan kelihatan "kerdil", dan tidak lagi besar dan hebat seperti sekarang.

Saya harap itu bukan pilihan Dr.Asri.

Saturday, November 7, 2009

Isu Wahabi hanya isu remeh?

Kira-kira 50 tahun yang lalu, ketika saya masih muda , saya biasa mendengar penduduk Kg. Simpang Tiga, Jeram , Kuala Selangor yang tidak jauh dari kampung saya, Bukit Kuching, tidak membaca usalli ketika sembahyang, tidak mengadakan kenduri aruah dan tidak membacakan talqin kepada mayat yang akan dikebumikan.

Penduduk kampung itu digelar sebagai "kaum muda". Mereka dikatakan membaca quran tulisan rumi (tentunya kitab tafsir quran) yang berasal dari Indonesia, dan ulamak yang jadi rujukan mereka adalah seorang ulama Indonesia juga yang bernama Hasan Bandung.

Bagaimanapun, pada masa itu amalan agama yang agak berbeza dari amalan biasa penduduk kampung saya itu (yang agaknya dianggap sebagai kaum tua) tidaklah begitu menarik perhatian saya.

Amalan agama penduduk Kg. Simpang Tiga yang agak berbeza, yang tidak disetujui oleh penduduk kebanyakan kampung lain itupun agaknya lenyap secara beransur-ansur dengan kematian orang-orang tua di kampung itu. Jadi pada akhirnya amalan kaum tua jugalah yang menang.

Pada masa itu orang kaum muda itu tidak digelar sebagai Wahabi. Mungkin istilah Wahabi kurang popular pada masa itu, khasnya di kawasan itu.

Kini isu sembahyang tanpa usalli, tidak mengadakan kenduri aruah, tidak mentalqinkan mayat dan isu lain yang berkaitan timbul kembali. Istilah yang digunakan kini untuk merujuk orang-orang yang mengamalkan amalan agama yang agak berbeza itu bukan kaum muda, tapi Wahabi.

Maka sebagaimana lima puluh yang lalu, banyaklah orang yang tidak bersetuju dengan amalan Wahabi itu. Mereka mahu meneruskan amalan lama seperti yang jadi amalan bertahun-tahun, dengan alasan tidak mahu masyarakat berpecah belah.

Bagaimanapun, sama ada orang yang mengamalkan amalan agama yang agak berbeza itu dipanggil kaum muda atau Wahabi, pada saya isunya masih sama: kita berbalah atau berkelahi tentang isu furuk atau ranting yang boleh dianggap sebagai isu remeh saja. Kita masih berbalah tentang isu remeh itu setelah kira-kira 50 tahun atau lebih berlalu.

Bagi saya inilah tanda kejumudan dan kebekuan pemikiran umat Islam di negara ini. Kita mahu Islam yang seragam dan tidak boleh menerima pembaharuan dan perubahan, di samping tidak boleh menerima perbezaan pendapat.

Akibatnya pemikiran umat Islam di negeri ini terus jumud dan beku. Tidak ada perbincangan tentang isu-isu baru yang lebih penting. Tidak muncul juga intelektual Islam yang berkalibar. Dan dengan itu, tidak adalah kemajuan dari segi pemikiran Islam.

.

Sunday, November 1, 2009

Pemikiran Dr.Asri sudah tersebar luas

Berbanding dengan Indonesia, Malaysia barangkali adalah negara yang paling sedikit, kalaupun ada, mempunyai apa yang dianggap sebagai intelektual Islam.

Di Malaysia ulama memang ramai, termasuk ulama rasmi seperti mufti, walaupun agaknya bukanlah "ulama besar". Malah persatuan ulama pun ada. Jika ditambah pula dengan ilmuan Islam seperti pensyarah universiti, Malaysia memang tidak kekurangan ulama.

Namun, intelektual Islam, iaitu orang yang mampu berfikir secara kritis tentang pelbagai masalah masyarakat Islam mengikut perspektif Islam, dan berani pula melahirkan pendapat baru dan seterusnya melahirkan pemikiran baru yang canggih dan bermutu, agaknya tidaklah ramai.


Yang ramai barangkali ialah ulama dan ustaz yang hanya mampu mengajar dan berdakwah dengan berpandukan kitab lama, walaupun kitab lama itu dikatakan kitab besar dan muktabar.

Kewujudan dan peranan ulama dan ustaz ini bukan tidak penting. Tapi tanpa berani melahirkan pembaharuan dan pemikiran baru, peranan mereka hanyalah mengekalkan keadaan yang sedia ada, keadaan yang jumud dan beku, dan tidak ada kemajuan dari segi pemikiran.

Antara faktor yang mewujudkan keadaan ini ialah kuatnya cengkaman ulama fikah di negara kita sebagai ulama yang dominan, sama ada ulama rasmi atau apa yang dikatakan ulama bebas.

Dalam keadaan demikian, Malaysia memang merupakan tanah gersang bagi kelahiran pemikiran baru. Pemikiran baru sukar diterima ataupun ditekan dan dicantas sejak awal kelahirannya.

Kemunculan Dr.Asri sebagai pemikir dan intelektual Islam yang berani berfikir di luar kotak saya lihat mempunyai potensi untuk mengisi kegersangan intelektual Islam di negara kita.

Beliau berani mencetuskan pemikiran yang boleh dianggap baru, dan mengkritik pihak establishment politik agama dengan hujah-hujahnya yang kuat dan rasional dan sukar dipatahkan.

Tentu sahaja pendapat beliau tidak disetujui oleh semua pihak, walaupun saya kira ramai juga yang menyokong dan menyetujui pendapat beliau.

Mufti Perak, kalau tidak salah, pernah memperli beliau sebagai seorang yang "terlebih cerdik"!

Yang tidak menyokong pendapat beliau tidak lain daripada orang-orang yang sudah selesa dengan keadaan yang sedia ada, keadaan yang jumud dan beku dan tidak ada kemajuan dari segi pembaharuan pemikiran Islam.

Orang-orang yang berkenaan barangkali mahu kita terus bersatu padu dan tidak berpecah belah, walaupun sebenarnya pemikiran Islam kita terus beku dan tidak berkembang. Mungkin itulah agaknya keadaan yang terbaik bagi mereka.

Oleh itu, ucapan atau tulisan Dr.Asri yang sesekali mengkritik pendapat arus perdana bagi mereka agaknya mesti ditolak dan dimatikan.

Saya kira dalam konteks itulah mengapa ketika beliau menjadi Mufti Perlis lagi beliau tidak diberi "tauliah" untuk berceramah di Selangor.

Dan itulah sebabnya secara tiba-tiba Dr.Asri ditangkap ketika dia memberi ceramah di sebuah rumah di Selangor baru-baru ini. Ini barangkali cara yang boleh mereka lakukan untuk "menutup mulut" Dr.Asri.

Akan tetapi, selama ini pendapat dan pemikiran Dr.Asri sudah tersebar luas melalui TV dan surat khabar, di samping blog beliau. Pendapat dan pemikiran beliau sudah diikuti dan mungkin sudah diterima oleh ratus ribuan penonton TV dan pembaca akhbar.

Jadi apakah gunanya menghalang beliau menyampaikan ceramah kepada 100 orang atau 300 orang? Adakah beliau sebagai bekas Mufti masih perlu mendapatkan tauliah sebelum memberi ceramah dalam sebuah rumah?

Adakah Pengarah JAIS dan orang-orang yang berkuasa di pejabat JAIS lebih bijak dan lebih berilmu daripada Dr.Asri? Sekiranya Pengarah JAIS dan kakitangannya lebih bijak dan lebih berilmu , saya harap mereka akan membuat kerja yang lebih berfaedah daripada menangkap Dr.Asri!