Saturday, December 10, 2011

Bagaimana kalau pemimpin UMNO dilarang memberi ceramah di Pulau Pinang atau Kelantan?

Pada masa yang lalu kita tidak pernah mendengar ada golongan tertentu yang membuat laporan polis untuk menghalang seseorang tokoh tertentu berceramah di tempat mereka.

Akan tetapi, akhbar Utusan Malaysia 9/12/2011 melaporkan bahawa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar dan Sungai Balang telah membuat laporan polis membantah program ceramah Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS di Sungai Balang hujung minggu ini.

Tindakan PBTM ini disertai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bakri, Pemuda BN Parlimen Bakri dan Gerakan 4B Parlimen Bakri.

Saya kira apa yang dilakukan oleh orang-orang Johor ini menunjukkan mereka tidak ada toleransi, tidak ada kematangan dan kebudak-budakan. Ini sikap keras dan melampau yang tidak kena pada tempatnya. Dan bukan satu trend yang baik dan menggembirakan.

Apalah yang akan jadi kepada negara dan masyarakat kita jika orang-orang di tempat lain juga bersikap dan bertindak demikian?

Tidak bolehkah kita berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menghadapi orang atau tokoh yang berbeza pendapat dengan kita?

Bagaimana nanti kalau ada orang PAS atau orang DAP pula yang membuat laporan polis supaya tokoh UMNO yang telah memfitnah DAP dan PAS dilarang dari memberi ceramah di Pulau Pinang atau Kelantan, misalnya?

Tidakkah ini semua kerja bodoh? Jadi eloklah tindakan seperti ini diberhentikan.

No comments:

Post a Comment