Friday, December 16, 2011

Sultan Terengganu dukacita kejadian dua solat Jumaat masih berlaku

Hari ini, 17/12/2011, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda menyeru rakyat Terengganu supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian, kerana kata baginda kejadian seumpama itu boleh mencemar kesucian agama Islam, seterusnya menyebabkan umat Islam di hina dan dipermainkan.

Bagaimanapun, yang tidak ada dalam laporan itu ialah mengapa kejadian seperti itu boleh berlaku dan terus berlaku?

Kira-kira 17 tahun yang lalu, pada tahun 1994, seorang pensyarah UKM, Mohamed Salleh Lamry ada membuat tinjauan dan kajian tentang perpecahan dan konflik yang berkaitan dengan politik kepartian dalam masyarakat desa di Terengganu, khasnya di daerah Besut.

Kajian beliau yang bertajuk " Konflik Politik UMNO dan PAS: Kajian Kes di Daerah Besut,Terengganu" diterbitkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM pada tahun 1994.

Hasil kajian beliau antara lain telah merumuskan seperti berikut:

Secara mudah, faktor-faktor yang menyebabkan perpecahan dan konflik di daerah Besut itu boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan luaran.

Tindakan pemimpin PAS Besut menekankan soal "akidah" dalam ceramah politik mereka selepas PAS kalah dalam pilihan raya 1978 telah menimbulkan isu "kafir mengkafir" . Ini merupakan faktor dalaman yang terpenting.

Faktor luaran pula sekurang-kurangnya ada dua. Pertama, peranan yang dimainkan oleh pemimpin atasan PAS daripada golongan ulama (dari luar daerah Besut) yang juga menekankan soal akidah, dan malah ada yang mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang UMNO.

Kedua, tindakan kerajaan negeri yang menekan dan dan mendiskriminasikan penyokong PAS dan memecat imam masjid yang menyokong PAS. Tindakan kerajaan negeri memecat imam masjid yang menyokong PAS khususnya adalah faktor utama yang menyebabkan timbulnya "sembahyang dua imam" dan kemudiannya sembahyang berasingan di beberapa buah kampung di daerah Besut.

Pada masa itu orang UMNO menjalankan sembahyang Jumaat di masjid kampung, manakala orang PAS mengadakan sembahyang Jumaat di markas mereka atau di masjid yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Saya tidak tahu adakah hasil kajian pensyarah UKM itu masih relevan dengan keadaan semasa. Tapi, hasil kajian itu mungkin boleh juga dijadikan asas untuk membuat kajian selanjutnya dan untuk memahami keadaan terkini di Besut dan Terengganu.

No comments:

Post a Comment