Wednesday, October 28, 2009

Bersama Pakatan: PAS mengambil pendirian yang betul

Saya kira pemimpin PAS yang bersidang malam tadi telah mengambil pendirian yang betul apabila mereka memutuskan dua perkara: tetap bersama Pakatan Rakyat, dan menutup isu "kerajaan perpaduan" dengan UMNO.

Nik Aziz saya kira tentu berpuas hati, sama ada tiga orang pemimpin PAS yang pernah disebutnya supaya dipecat daripada PAS (Nasharuddin, Mustapha Ali dan Hassan Ali) dipecat atau tidak, kerana itulah pendirian dan hasrat beliau yang sebenarnya.

Saya kira PAS ada kemungkinan untuk berkembang dan menjadi lebih kuat dengan terus bersama Pakatan dan dengan sokongan orang bukan Melayu, kerana itulah aspirasi majoriti rakyat pada masa ini.

Sebagaimana yang terbukti dalam pilihan raya 2008, PAS dapat memenangi beberapa kerusi yang tidak pernah dimenanginya sebelum itu di Perak dan Selangor, kerana PAS bersama DAP dan PKR, dan kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

Kedudukan PAS seperti ini mungkin dapat dipertahankan dan diperkuatkan pada masa hadapan, sekiranya PAS terus bersama Pakatan dan memainkan peranan yang lebih aktif untuk menguatkan Pakatan.

Sekiranya PAS dapat menarik sokongan yang lebih luas daripada kalangan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu dan bukan Melayu, bukan tidak ada kemungkinan PAS akan mempunyai Ahli Parlimen yang lebih ramai, dan dengan itu menjadi pemimpin dalam Pakatan.

Sebaliknya, apakah yang akan berlaku jika PAS bersama UMNO dan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN?

Berdasarkan pengalaman yang lalu, UMNO sebenarnya tidak akan bersetuju PAS menjadi lebih kuat daripadanya. UMNO tentu mahu PAS menjadi "subordinate" kepadanya selama-lamanya.

UMNO tentu tidak bersetuju dan akan menghalang, jika PAS mahu menubuhkan cawangan baru di mana telah ada cawangan UMNO, misalnya . Ini telah berlaku ketika PAS berada dalam kerajaan campuran dahulu, di mana usaha PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di kawasan FELDA telah dihalang dan merupakan salah satu faktor mengapa UMNO menendang PAS keluar daripada BN.

Yang tidak kurang pentingnya, berdasarkan fakta sejarah yang tidak dapat dimungkiri, UMNO sebenarnya hanya memerlukan PAS ketika ia lemah. Ketika itulah isu untuk merperkuatkan kuasa politik Melayu dan mempertahankan ketuanan Melayu ditimbulkan dan dieksploitasi oleh akhbar-akhbar pengampu UMNO dan kerajaan BN untuk memerangkap PAS.

Akan tetapi, setelah PAS masuk dalam lukah BN, PAS bukan saja dihalang dari berkembang, malah berasaskan pengalaman yang lalu, akan ditendang oleh UMNO seandainya UMNO telah kuat kembali.

PAS telah berpengalaman diperdaya oleh UMNO. Pemimpin lama PAS seperti Nik Aziz tentu tidak akan lupa tentang hal ini. Jadi memang wajarlah jika PAS menutup terus isu kerajaan perpaduan dengan UMNO , supaya tidak dua kali masuk perangkap UMNO.

Thursday, October 22, 2009

Bagan Pinang: Mengapa orang bukan Melayu meninggalkan PAS?

Saya rasa, semua orang, termasuk orang PAS yang berfikiran rasional dan berpijak kepada fakta tahu bahawa PAS memang tidak boleh menang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Dua faktor sudah cukup untuk menyokong hujah ini: pertama, faktor pengundi pos yang ramai dari kalangan tentera, dan kedua, populariti Isa Samad, calon BN yang merupakan anak tempatan dan bekas MB NS selama 22 tahun.

Dua faktor ini, sebagaimana yang dijangka, memang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan BN.

Namun, perkara yang lebih menarik, yang turut menyumbang kepada kekalahan PAS ialah kemerosoton undi orang bukan Melayu yang sebelum ini memberikan sokongan mereka kepada PAS.

Berbanding dengan pilihan raya umum 2008, ketika undi orang bukan Melayu berpihak kepada PAS, dalam pilihan raya kecil kali ini kebanyakan undi orang bukan Melayu sudah meninggalkan PAS dan lari kepada BN.

Mungkin BN menggunakan ugutan, secara langsung atau tidak, dan mungkin juga BN berjaya "memancing" mereka dengan rasuah dan pelbagai taktik yang lain. Itulah yang mendorong orang bukan Melayu menyokong BN.

Akan tetapi, saya rasa mesti ada faktor lain yang merupakan kelemahan dan kekurangan PAS, yang menyebabkan PAS gagal mengekalkan sokongan yang mereka perolehi dalam pilihan raya umum 2008 dahulu.

Apakah faktor kelemahan dan kekurangan PAS itu?

Saya rasa PAS mesti berani bersikap jujur mengkaji dan mengakuinya.

Faktor kelemahan dan kekurangan PAS ini, antara lain , sudah disebut oleh Dr.Ab.Aziz Bari baru-baru ini, dan tidak perlu saya sebut semula di sini.

Terpulanglah kepada PAS sama ada mahu mengakui kelemahan dan kekurangan itu atau tidak.

Friday, October 9, 2009

ABIM: pondan berlagak hero?

Mungkin banyak pihak yang tidak bersetuju dengan sikap dan pendirian Sister's in Islam (SIS) yang tidak mahu undang-undang syariah dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang negara.

Di luar negara, misalnya di Indonesia, hal ini adalah perkara biasa saja. Banyak pihak di sana yang berpendirian demikian. Hanya di negara kita agaknya banyak yang menganggap hal itu sebagai terlalu pelik dan luar biasa.

Pihak yang tidak bersetuju undang-undang syariah itu dijadikan undang-undang negara tentu ada alasan dan hujahnya. Adakah mereka mempunyai alasan dan hujah yang kuat?

Kalau alasan dan hujah mereka tidak kuat, mengapa takut? Mengapa perlu buat berbelas laporan polis seperti yang dilakukan oleh ABIM? Balaslah alasan dan hujah mereka dengan alasan dan hujah yang lebih kuat.

Selama ini kita membayangkan ABIM adalah sebuah pertubuhan intelektual, kerana pemimpinnya banyak terdiri daripada pensyarah universiti. Alangkah bagusnya jika ABIM menentang SIS dengan hujah intelektual juga, bukan membuat laporan polis.

Mungkin dengan membuat laporan polis, malah berbelas laporan polis, ABIM ingin menonjolkan dirinya sebagai hero yang membela undang-undang syariah dan mahu undang-undang syariah terus dijadikan sebahagian daripada undang-undang negara seperti yang ada sekarang.

Akan tetapi, ini menunjukkan ABIM tidak mampu berhujah secara intelektual, dan memilih jalan mudah dengan meminta polis mengambil tindakan.

Ini saya rasa sikap seorang pondan; bukan sikap seorang intelektual.

Dalam hal ini SIS mungkin lebih layak dianggap sebagai hero, kerana mereka berani dan berdiri di atas landasan intelektual.

Monday, October 5, 2009

"Fatwa politik" yang tidak boleh dipakai?

Di Malaysia barangkali belum menjadi kebiasaan orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat Quran dalam ucapan dan tulisan mereka.

Oleh kerana belum menjadi kebiasaan, walaupun perkara itu dibolehkan, maka timbullah bermacam-macam "fatwa politik" yang "tidak membolehkannya".

Kebetulan baru-baru ini, orang bukan Islam yang menggunakan ayat Quran dalam ucapannya itu ialah N. Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Padang Serai, dalam konteks kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Maka dua tiga muka Utusan Malaysia, hari ini (6 Oktober 2009) penuh dengan kenyataan pemimpin kerajaan dan ulama prokerajaan yang mempertikaikan hal tersebut.

Ada kenyataan dari Hishamuddin Tun Hussein, Jamil Khir Baharom, Harussani Zakaria dan Nooh Gadut. Semuanya memberi pelbagai alasan, tapi tidak pula berasaskan Quran dan hadis, mengapa seorang bukan Islam tidak boleh berucap menggunakan ayat-ayat Quran.

Jadi bagi saya semua ini adalah "fatwa politik" yang boleh pula dipertikaikan kebenarannya.

Pada dasarnya mereka semua menggunakan "alasan agama" untuk menghentam parti pembangkang dan mempertahankan kerajaan, dan bukan kerana penggunaan ayat Quran oleh orang bukan Islam itu tidak dibolehkan dari segi agama.

Mereka mempertikaikan penggunaan ayat Quran oleh orang bukan Islam, kerana Gobalakrishnan adalah seorang penyokong pembangkang dan mereka pula memang antipembangkang.

Bagaimana pula jika yang menggunakan ayat Quran itu orang bukan Islam yang merupakan pemimpin kerajaan atau penyokong kerajaan?

Mungkinkah ketika itu "fatwa politik" mereka membolehkannya pula?

Thursday, October 1, 2009

Hassan Ali : Hanya madah berhelah?

Harakah hari ini (2-4 Oktober 2009) menyiarkan kenyataan Hassan Ali tentang kontroversi yang timbul akibat kritikannya secara terbuka terhadap Selcat.

Nampaknya beliau cuba berhelah. Katanya, "Saya bukan mengkritik, tetapi mencadangkan. Saya mencadangkan supaya tatacara siasatan itu dibuat secara lebih berhemah, berakhlak dan lebih mesra. Apa salahnya, itu saja".

Salahnya ialah "cadangan" beliau itu dinyatakan secara terbuka, dan dimanipulasi pula oleh akhbar arus perdana yang memang mempunyai agenda untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Apabila "cadangan" itu dinyatakan secara terbuka, yang lebih terserlah kepada umum ialah beliau sebenarnya telah mengkritik Selcat, di samping cuba menonjolkan dirinya sebagai hero!

Sekiranya beliau ingin mengemukakan "cadangan", tidak bolehkah cadangan itu dikemukakan secara langsung dalam mesyuarat EXCO atau mesyuarat lain, tanpa dihebohkan kepada umum terlebih dahulu?

Hassan Ali kini mungkin sedar, atau saya harap beliau sedar, bahawa tindakannya mengemukakan "cadangan" itu secara terbuka telah menimbulkan kontroversi dan perbalahan antara beliau dengan ahli EXCO yang lain, malah dengan pemimpin PAS yang lain.

Maka yang nampak kepada umum kini ialah di kalangan pemimpin PR di Selangor memang tidak ada perpaduan dan kata sepakat, hanya mementingkan agenda masing-masing , dan "bergaduh" tak habis-habis.

Adakah rakyat akan terus menyokong parti dan kerajaan yang kelihatan selalu berkonflik seperti ini?

Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali Hasan Ali mengeluarkan kenyataan yang membayangkan bahawa beliau berlagak sebagai hero (termasuk dalam isu arak, misalnya), tetapi salah tempat, dan hanya menimbulkan kontroversi.

Sekarang beliau cuba berhelah pula, setelah tindakannya menimbulkan kontroversi. Adakah sesiapa yang mahu percaya dengan madah berhelah beliau itu?