Sunday, December 18, 2011

Alangkah lemahnya kerajaan bila berhadapan dengan golongan minoriti bukan Melayu

Alangkah lemahnya kerajaan yang kononnya diterajui oleh UMNO, parti Melayu yang terulung apabila berhadapan dengan tuntutan orang bukan Melayu, walaupun mereka yang terlibat hanya golongan minoriti.

Agaknya hanya itulah yang dapat dikatakan apabila kerajaan mengambil keputusan menarik balik penggunaan novel Interlok, karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sebagai teks sastera di sekolah-sekolah.

Sebelum ini kerajaan, khasnya Muhyiddin, Menteri Pelajaran kelihatan bertegas hendak mengekalkan penggunaaan novel itu sebagai teks sastera, sehingga melantik panel pakar untuk mengkajinya.

Akan tetapi, di bawah desakan MIC yang disifatkan oleh Perkasa sebagai "besar kepala", akhirnya kerajaan, khasnya kabinet BN yang lemah, terpaksa mengalah juga, agaknya kerana takut kehilangan sedikit undi orang India.

Pengumuman tentang penarikan balik novel itu sebagai teks sastera pun nampaknya diumumkan lebih dahulu oleh Presiden MIC, bukan oleh Menteri Pelajaran. Kasihan!

Bagaimana pula sikap orang Melayu terhadap isu ini? Perkasa menyarankan supaya orang Melayu tidak mengundi calon MIC yang anti-Melayu.

Akan tetapi, mungkin yang lebih bagus ialah kita menolak sebuah parti pemerintah atau kerajaan yang begitu lemah, yang tidak ada tulang belakang, dan tidak mampu mempertahankan perkara yang sepatutnya dipertahankan berasaskan prinsip, fakta dan keadilan.

Bukankah begitu?

No comments:

Post a Comment