Friday, December 9, 2011

"Setinggan kampung" pun kena halau?

Pada masa yang lalu umumnya hanya setinggan atau peneroka bandar di kota besar, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Selangor yang di halau oleh kerajaan BN dari kawasan setinggan tempat tinggal mereka.

Ketika Khir Toyo menjadi MB Selangor sebelum tahun 2008 misalnya, beliau melaksanakan satu dasar yang keras, yang dinamakan "setingggn sifar". Maka hampir habis kawasan setinggan di Selangor dibersihkan oleh beliau.

Bekas kawasan setinggan itu "diserahkan" kepada pihak swasta, yang umumnya terdiri daripada syarikat kroni beliau, maka tumbuhlah di situ taman perumahan mewah dan kompleks perniagaan yang besar-besar.

Bekas setinggan tadi di tempatkan di rumah panjang atau di flat murah yang umumnya dinamakan perumahan rakyat. Mana-mana yang bernasib baik mendapat sedikit pampasan atau dikecualikan dari membayar sewa di tempat tinggal mereka yang baru untuk satu jangka masa yang tertentu.

Mereka tetap dihalau dan tidak diberi peluang memiliki tanah di kawasan setinggan yang telah lama mereka duduki, walaupun mereka umumnya terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO.

Kini, satu perkembangan terbaru, setinggan di Pekan Matau, Bandar Pusat Jengka, Pahang pula hendak dihalau oleh kerajaan BN tanpa diberi apa-apa pampasan, walaupun mereka sudah tinggal dan berniaga di situ kira-kira 40 tahun.

Mereka bukan setinggan kota besar, malah boleh diistilahkan sebagai "setinggan kampung" saja, tetapi nampaknya hendak dihalau juga

Ini kerana di atas tapak kawasan setinggan itu sudah dirancangkan akan dibina rumah kedai yang berharga kira-kira RM300,000 seunit, yang tidak mampu dibeli oleh para setinggan itu.

Ini pembangunan mengikut jalan kapitalis. Pembangunan untuk orang kaya, bukan untuk orang miskin.

Dalam hal ini, nampak benar kerajaan BN tidak mahu menolong orang Melayu yang miskin, walaupun mereka mampu berbuat demikian.

Tindakan kerajaan BN ini dikatakan berbeza dengan tindakan mereka terhadap penduduk sebuah pekan kecil berhampiran, pekan Tong Kiat, yang terdiri daripada orang Cina. Penduduk pekan Tong Kiat yang terdiri daripada orang Cina itu tidak pula dihalau, malah dibantu memajukan pekan tersebut.

Hal seperti ini pernah juga berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor pada masa yang lalu. Sementara setinggan Melayu dihalau oleh pemimpin Melayu, setinggan Cina pula banyak yang diberi hak milik tanah atas usaha dan bantuan pemimpin Cina dan tidak dihalau dari kawasan setinggan yang mereka duduki. Kini bekas kawasan setinggan Cina itu sudah bertukar menjadi kawasan perumahan yang kekal pula.

Tindakan kerajaan BN di Pahang itu jelas merupakan penindasan terhadap setinggan Melayu, dan pada masa yang sama memberi keistimewaan kepada setinggan Cina.

Di manakah keadilan dalam hal ini?

No comments:

Post a Comment