Friday, December 9, 2011

Dakwah dan kaunter-dakwah

Pada tahun 1970-an dan 1980-an dahulu gerakan dakwah di kalangan orang Melayu di Malaysia begitu aktif. Ada dakwah yang digerakkan oleh badan-badan sukarela seperti ABIM, Tabligh dan Al-arkam (kini telah diharamkan), dan ada dakwah yang digerakkan oleh badan kerajaan, seperti Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM).

Gerakan itu ada yang ditujukan ke dalam, kepada orang Islam sendiri, dan ada yang ditujukan ke luar, kepada orang bukan Islam.

Sebagai kesan daripada gerakan dakwah yang ditujukan kepada orang bukan Islam, banyaklah orang bukan Islam yang masuk Islam atau berjaya diislamkan. Saya tidak ada data tentang hal ini. Akan tetapi, jumlahnya tentulah besar.

Orang Islam tentunya berbangga dengan kejayaan mengislamkan orang-orang bukan Islam ini. Akan tetapi, kejayaan itu tentu ada reaksinya dan ada masalahnya.

Sama ada orang Melayu/Islam mahu mengakuinya atau tidak, orang bukan Islam, khasnya orang Kristian, tentu ingin melakukan kaunter-dakwah, iaitu mendakwahkan agama mereka pula di kalangan orang Melayu/Islam.

Mereka tentu tidak boleh berbuat demikian secara terbuka, kerana Perlembagaan negara ini tidak membolehkan orang yang bukan Islam mendakwahkan agama mereka di kalangan orang Islam.

Jadi apa yang boleh mereka lakukan adalah melakukannya secara tidak langsung, secara tersembunyi dan secara berhati-hati. Agaknya inilah yang dikatakan rancangan atau program orang Kristian untuk memurtadkan orang Melayu/Islam.

Saya tidak pasti sama ada usaha orang Kristian memurtadkan orang Melayu/Islam kini sudah merupakan satu realiti, atau hanya persepsi yang tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Namun demikian, kini sudahlah sampai masanya gerakan dakwah di negara ini diaktifkan semula. Dan tumpuannya yang lebih utama barangkali adalah ke dalam, kepada orang Melayu/Islam sendiri.

Adalah tidak bermakna kita berjaya mengislamkan ramai orang bukan Islam, tapi pada masa yang sama kita bimbang pula orang Islam atau yang sudah Islam dimurtadkan oleh orang Kristian.

No comments:

Post a Comment