Thursday, March 22, 2012

Kes murtad rupanya kecil sahaja

Mengikut jawapan Khalid Ibrahim, MB Selangor kepada pertanyaan Mohd.Shamsudin Lias, ADUN Sungai Burung dalam persidangan DUN Selangor semalam, jumlah kes murtad yang dilaporkan kepada MAIS dari tahun 2004 hingga 2011 (dalam tempoh 7 tahun) hanya 130.

Nampaknya sedikit sahaja, taklah berpuluh ribu sebagaimana yang didakwa oleh setengah-setengah pihak.

Daripada 130 kes itu dikatakan hanya 14 kes yang telah dibawa ke mahkamah syariah dan sudah diselesaikan.

Bagaimanapun, yang tidak dijelaskan ialah kes murtad itu lebih banyak melibatkan mualaf atau bukan mualaf?

Sekiranya lebih banyak melibatkan mualaf, kita mungkin tahu sebabnya, tapi tidak nampak jalan untuk mengatasinya. Ini mungkin merupakan kes yang akan terus tergantung dan tidak dapat diselesaikan.

Akan tetapi, dengan itu jelaslah juga kes murtad yang melibatkan orang Melayu yang lahir sebagai orang Islam sebenarnya sangat kecil dan mungkin tidak serius. Jadi tidak ada apa yang perlu dihebohkan dan dirisaukan sangat.

Usaha orang Kristian hendak memuradkan orang Melayu-Islam pun mungkin tidak pernah berjaya!

Thursday, February 16, 2012

Pendirian Anwar lebih realistik

Walaupun didesak oleh Nik Aziz dan Majlis Syura PAS supaya menarik balik kenyataannya yang tersiar dalam Wall Street Journal (WSJ) Anwar nampaknya tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, dalam kenyataannya yang terbaru, Anwar tidak berganjak, malah menegaskan lagi pendiriannya bahawa dia mengiktiraf kewujudan Israel, dengan syarat tentera Israel perlu berundur dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan menghormati aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin.

Dengan perkataan lain, Anwar menyetujui penyelesaian kewujudan dua negara -- Israel dan Palestin -- sebagaimana pendirian negara Arab, seperti Arab Saudi dan Jordan, Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga Malaysia.

Pendirian Anwar ini memang berbeza daripada pendirian PAS yang tidak mahu mengiktiraf, malah mengharamkan kewujudan negara Israel.

Akan tetapi, dalam konteks semasa, pendirian Anwar sebenarnya lebih realistik, lebih sesuai dengan keadaan yang wujud pada masa ini.

Sama ada kita mahu mengiktiraf atau tidak, kerajaan Israel sebenarnya sudah wujud, dan tidak dapat dinafikan lagi.

Kita boleh mengambil pendirian bahawa Israel negara haram dan tidak mahu mengiktiraf kewujudannya. Tapi apakah maknanya jika Israel terus wujud sebagai kerajaan yang kuat dan berkuasa, dan diiktiraf pula oleh banyak negara, termasuk oleh Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Yang terana aneh ialah, walaupun Malaysia tidak mengiktiraf (?) kewujudan negara Israel, tetapi mengadakan hubungan perdagangan pula dengannya, mungkin kerana mahu mengejar keuntungan. Tidakkah ini hanya menggambarkan sikap orang munafik?

Sunday, February 12, 2012

PAS tidak ikut kehendak DAP

PAS sering dituduh oleh puak-puak UMNO sebagai takut kepada DAP dan sentiasa mengikut kehendak dan telunjuk DAP. Akan tetapi, dalam isu Hari Kekasih PAS nampaknya dapat menunjukkan bahawa ia ada pendirian sendiri, walaupun bertentangan dengan pendirian DAP.

Apabila Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan DAP menggesa PAS supaya menarik balik pendirian parti itu menentang Hari Kekasaih, Haji Hadi, Presiden PAS dengan tegas berkata semua pihak harus memahami pendirian PAS hanyalah untuk menjaga akhlak umat Islam di negara ini.

Menurutnya pendirian itu juga tidak melibatkan orang bukan Islam, malah PAS tidak mencampuri urusan orang bukan Islam dalam hal tersebut.

"Itu pendirian kita (PAS). Itu hak, tanggung jawab agama Islam. Pergaulan bebas di dalam Islam tidak boleh. Itu hak agama lain dan orang bukan Islam, yang kita hendak jaga orang Islam sahaja", kata Haji Hadi (Sinar Harian, 132/2012).

Malah Pemuda PAS menasihatkan Karpal Singh supaya belajar menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat menerima pandangan peribadinya.

Timbalan Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata:

" Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar hormati setiap agama di negara ini dan bukan hanya memaksa pandangan peribadinya ke atas orang lain" (Sinar Harian, 13/2/2012).

Pendirian yang diambil oleh PAS dalam isu Hari Kekasih ini dapat menunjukkan bahawa PAS tidak takut kepada DAP dan tidaklah sentiasa mengikut kehendak DAP sebagaimana yang ditohmahkan oleh puak-puak UMNO.

Thursday, February 9, 2012

Desak Anwar saman: kerja orang kurang kerja?

Biasanya orang yang kena fitnah berhak dan boleh menyaman orang yang memfitnahnya. Akan tetapi, terpulanglah kepada orang yang berkenaan sama ada mahu menyaman orang yang memfitnahnya itu atau tidak.

Bagaimanapun, dalam kes Anwar Ibrahim ada sedikit keanehan. Anwar tidak menyaman orang-orang tertentu yang telah memfitnahnya. Akan tetapi, ada pula orang lain yang mendesak Anwar supaya menyaman orang yang memfitnahnya.

Mereka bukan sekadar mendesak, malah melancarkan kempen mengutip tanda tangan pula untuk mengajak orang lain supaya sama-sama mendesak Anwar mengambil tindakan saman itu.

Saya kira tindakan orang-orang yang berkenaan bukan saja agak aneh, malah mungkin didorong oleh niat yang kurang baik, iaitu untuk melaga-lagakan Anwar dengan orang yang memfitnahnya dan sekaligus untuk "menghancurkan" Anwar.

Tindakan mereka itu sebenarnya bukan sesuatu yang perlu. Anwar sendiri tentu boleh mengambil tindakan yang bijaksana sama ada dia mahu menyaman orang yang memfitnahnya atau tidak.

Jadi saya anggap tindakan orang yang mendesak Anwar supaya mengambil tindakan saman itu hanyalah kerja orang-orang yang mungkin kurang kerja dan bukan didorong oleh niat yang baik.

Friday, January 27, 2012

Azizan tidak perlu disalahkan

Agaknya banyak orang yang menyalahkan Azizan, MB Kedah kerana tidak mahu mengubah hukuman yang telah dijatuhkan ke atas lima orang pelajar KUIN.

Pelajar itu didapati bersalah berasaskan AUKU. Ketika hukuman itu dijalankan AUKU masih berkuatkuasa dan hukuman yang dijatuhkan pun saya kira bukanlah berat sangat.

Mereka mungkin boleh dimaafkan kalau mereka merayu dan meminta maaf. Akan tetapi, kalau tidak salah, mereka tidak pun meminta maaf.

Sekarang sudah lebih 7 bulan berlalu.Hukuman ke atas kebanyakan mereka mungkin sudah berakhir atau hampir berakhir. Jadi mereka boleh belajar semula. Dan Azizan memang tidak perlu mengubah hukuman itu.

Tuesday, January 24, 2012

Anwar lebih budiman

Saya tidak tahu berapa ramai kawan dan sahabat yang telah meninggalkan Anwar Ibrahim.

Sebahagian kawan dan sahabatnya itu bukan saja telah meninggalkannya, tetapi juga telah mengkhianatinya. Mereka telah menikam Anwar bukan saja dari belakang, tapi juga dari hadapan!

Baharu-baharu ini apabila Anwar menyaman Utusan Melayu kerana dituduh telah memfitnahnya berhubung isu moral, beberapa orang bekas kawan dan sahabatnya itu secara tiba-tiba menyatakan kehairanan mengapa Anwar tidak menyaman mereka.

Malah mereka mencabar Anwar supaya menyaman mereka dan bukannya pihak lain kerana telah mendedahkan isu moral ketua pembangkang itu.

Mereka dengan bangga menyatakan bahawa merekalah antara yang terawal mendedahkan persoalan moral dan akhlak Anwar secara terang-terangan kepada umum.

Saya tentu tidak tahu mengapa Anwar tidak menyaman mereka. Akan tetapi, saya kira Anwar lebih budiman kerana tidak mengkhianati bekas kawan dan sahabatnya.

Sebaliknya bekas kawan dan sahabatnya itu, yang kini telah masuk UMNO atau berbaik-baik dengan UMNO, dan mungkin telah mendapat manfaat dari penglibatan mereka dengan UMNO, ialah bekas kawan dan sahabat yang tidak setia dan tidak wajar dihormati.

Wednesday, January 18, 2012

EXCO PAS hanya layak jaga arak dan judi?



Nampaknya banyak juga komen negatif daripada orang yang telah meninggalkan PAS, seperti Nakhae Hj.Ahmad, dan orang yang telah terbuang daripada PAS, seperti Zulkifli Nordin, apabila Dr.Ahmad Yunus, EXCO baru Selangor daripada PAS tidak dilantik memegang portfolio agama.


Kononnya hal itu merupakan satu penghinaan kepada PAS.


Betulkah demikian? Adakah mereka menganggap jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam itu merupakan hak mutlak PAS dan tidak boleh dipegang oleh tokoh Islam dari parti lain?Adakah orang PAS hanya layak memegang jawatan itu dan tidak layak memegang jawatan lain?


Saya kira pandangan mereka itu hanyalah merupakan pandangan sempit yang bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS dan kerajaan Selangor.


Oleh kerana sebelum ini Dr.Ahmad Yunus telah berpengalaman memegang jawatan sebagai pembantu EXCO belia dan sukan, saya kira memang wajar sekali jika dia dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, di samping Adat Resam Melayu.


Lagipun Dr.Ahmad Yunus adalah seorang doktor perubatan, bukan doktor dalam bidang pengajian Islam. Dengan itu, dia tidak mempunyai apa-apa keistimewaan untuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam.




















Monday, January 16, 2012

Parasit lebih dahulu berjuang dalam gerakan Islam?

Ketika menyentuh tentang orang yang digelarnya sebagai golongan"parasit", dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, 17/1/2012, Hasan Ali menyatakan bahawa golongan itu mempunyai ciri-ciri demikian:


"Parasit ini mempunyai kumpulan, ada pertemuan-pertemuan, ada
gagasan, ada matlamat, ada misi dan visinya. Sebahagian daripada
mereka telah bergerak cergas semasa menuntut di luar negara.
Sebahagiannya bergerak cergas ketika berada di peringkat awal
pekerjaan mereka dan menyusup di mana-mana. Penyusupan ini
akhirnya berlaku dan bergerak aktif di dalam PAS. Mereka kemudian
memegang jawatan-jawatan penting dan strategik di dalam PAS".


Saya dapat mengagak sekurang-kurangnya sebahagian daripada orang-orang yang dimaksudkan oleh Hasan Ali.

Akan tetapi, jika kenyataan Hasan Ali itu benar, orang yang dianggapnya sebagai parasit itu ialah orang-orang yang telah lama bergerak dan berjuang dalam gerakan Islam; bukan orang yang hanya baru setahun jagung dalam PAS seperti Hasan Ali.

Yang lebih menarik lagi, kata Hasan Ali, golongan parasit itu ada gagasan, ada matlamat, ada misi dan visi.

Wah, kalau begitu, bukankah kumpulan itu merupakan kumpulan yang bagus?
Mereka mungkin merupakan pejuang Islam yang tulen, dan bukan orang-orang oportunis yang memasuki PAS kerana matlamat dan perjuangan peribadi,
atau kerana sebab-sebab lain yang tidak jelas.

Hasan Ali bukan lagi orang penting



Malam ini TV 3 masih lagi menyiarkan kenyataan Hasan Ali. Akan tetapi, bukan lagi sebagai berita utama.


Ini membayangkan Hasan Ali kini bukan lagi orang penting. Dia bukan lagi Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan bukan lagi EXCO kerajaan negeri Selangor. Jawatannya sekarang hanyalah ADUN Gombak.


Saya harap hal ini boleh menyedarkan Hasan Ali di mana kedudukannya sekarang.


Selepas ini dia mungkin boleh menjelajah ke seluruh negara untuk berceramah dan menegakkan kebenaran dirinya, sebagaimana yang dinyatakannya. Tapi saya kira hal itu tidak penting lagi. Ucapannya nanti mungkin hanya akan menjadi berita kaki.

Sunday, January 15, 2012

Datuk Nik Aziz nasihatkan Hasan Ali jaga mulut



Dalam temuramahnya dengan Malaysiakini, Datuk Nik Aziz, MB Kelantan menasihatkan Hasan Ali supaya "jaga mulut". Saya kira nasihat Datuk Nik Aziz ini tepat kali.

Hasan Ali telah dipecat daripada PAS tentunya kerana dia tidak menjaga mulut. Dia dengan angkuhnya telah mengkritik dasar PAS dan pemimpin PAS yang tertentu dalam media UMNO. Ini memang perbuatan orang yang tidak menjaga mulut.

Dalam satu ucapannya yang dipetik oleh Sinar Harian, 15/1/2012, dia menganggap pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengannya sebagai "parasit".

Ini satu lagi contoh ucapan celupar seorang yang tidak menjaga mulut.

Kerana itu orang yang bersetuju dia dipecat daripada PAS bukan saja pemimpin PAS yang dianggapnya sebagai parasit, tetapi juga pemimpin ulama seperti Datuk Nik Aziz.

Friday, January 13, 2012

Hasan Ali tidak bersikap budiman



Khalid Ibrahim, MB Selangor mahu Hasan Ali bersikap budiman, iaitu meletakkan jawatan EXCO yang disandangnya selepas dipecat daripada PAS dengan kesedarannya sendiri, tanpa disuruh atau didesak oleh sesiapa.


Akan tetapi, Hasan Ali tidak bersikap demikian. Dia dikatakan hanya bercuti, bukan meletakkan jawatannya.


Oleh kerana itu terpaksalah Khalid Ibrahim memaklumkan kepada Sultan Selangor bahawa Hasan Ali perlu dipecat dari jawatan EXCO, kerana dia bukan lagi ahli PAS. Pemecatan itu nampaknya diperkenankan oleh Sultan Selangor.


Kita tidak tahu apa reaksi Hasan Ali selepas ini. Dia dikatakan akan mengeluarkan kenyataan pada hari Isnin ini.


Bagaimanapun, daripada menyerang orang lain seperti yang dilakukannya sebelum ini, saya kira baiklah Hasan Ali bermusahabah dan menilai dirinya sendiri. Manalah tahu dengan berbuat demikian, dia akan sedar tentang kelemahan dan kesilapannya.


Dia hanyalah manusia biasa, walaupun seorang yang ada Ph.D!

Monday, January 9, 2012

Pendapat Dr.Juanda yang meleset








Fathi Aris Omar menyatakan pemecatan Hasan Ali daripada PAS telah menyelesaikan dua masalah sekali gus: membuang duri dalam daging parti (PAS) dan membuang nanah dalam barisan kepimpinan kerajaan Selangor.

Saya kira ini adalah antara ulasan terbaik tentang pemecatan Hasan.

Antara ulasan yang mengecewakan pula ialah ulasan Dr.Juanda Jaya, Mufti Perlis yang menyatakan Hasan hanya berbeza pendapat dengan partinya. Dan demi demokrasi dan kebebasan bersuara Hasan tidak patut dipecat.

Betapa terpesongnya ulasan Mufti Perlis pada kali ini.

Hasan sebenarnya telah melanggar disiplin parti dan telah melakukan tindakan yang memudaratkan parti.

Dengan itu, tindakan memecatnya memang suatu tindakan drastik yang perlu dilakukan oleh PAS.

Hasan Ali menunggu dipecat dari jawatan EXCO?

Ada satu perkara yang bagus yang disebut oleh Hasan Ali setelah dia dipecat daripada PAS. Katanya dia akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman -teman ulama mengenai tindakan selanjutnya yang patut diambilnya.

Sebenarnya alangkah baiknya jika Hasan Ali berbuat demikian sebelum dia mengkritik dasar PAS dan menghentam teman-temannya pemimpin PAS sebelum ini.

Akan tetapi, dia tidak berbuat demikian, sehingga saya kira dia telah melakukan kesilapan dan tidak menyedari dia juga mempunyai kelemahan dan boleh melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, kita berharap Hasan Ali akan dapat menemui teman-temannya yang ikhlas, yang mampu menunjukkan kelemahan dan kesilapannya, dan bukan yang menyanjungnya secara berlebihan sehingga Hasan Ali lupa diri dan terus menganggap dirinya adalah pejuang Islam yang hebat.

Sekarang Hasan Ali sudah pun dipecat daripada PAS. Rasanya sudah tidak kena pada tempatnya jika dia terus menjadi ahli EXCO Selangor, kerana dia duduk di situ sebagai wakil PAS.

Adakah Hasan Ali menunggu sehingga dipecat atau dengan segera meletakkan jawatannya?

Sunday, January 8, 2012

Hassan Ali memang wajar berada di luar PAS

Tindakan memecat Hassan Ali daripada PAS saya kira memang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ahli PAS.

Bagaimana mungkin seorang yang telah mengkritik dasar parti melalui media "musuh" dan menghentam pemimpin PAS yang lain boleh terus berada di dalam PAS?

Tindakan Hassan Ali yang terakhir adalah mengkritik Pesuruhjaya PAS Selangor yang mengarahkan ahli-ahli PAS supaya menyertai Perhimpunan 901 untuk menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, sedangkan Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS sendiri sudah menyatakan akan menghadiri perhimpunan itu.

Tindakan Hassan menggambarkan beliau seorang yang tidak berdisiplin atau tidak terikat dengan disiplin parti. Tindakannya jelas telah menyulitkan PAS.

Oleh itu, memang wajar beliau berada di luar PAS dan tidak lagi bersama PAS.

Friday, January 6, 2012

Perhimpunan 901 masih tetap haram?

Sebelum pihak polis membenarkan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan pada 9 Januari 2012 nanti, tokoh-tokoh agama pro-pemerinah, termasuk seorang ulama muda UMNO awal-awal lagi mengeluarkan "fatwa" perhimpunan itu adalah "haram".

Bahkan pihak JAKIM telah mengeluarkan khutbah Jumaat yang bernada demikian, dengan tujuan menghalang orang ramai dari menyertai perhimpunan itu.

Sikap tokoh-tokoh agama ini tidaklah menghairankan. Dalam sejarah Islam yang panjang, memang selalu terdapat ulama pro-pemerintah yang menggunakan agama atau memperalatkan agama sebagai tanda sokongan mereka terhadap pemerintah.

Akan tetapi, mereka agaknya terlupa bahawa pihak pemerintah baru saja meluluskan rang undang-undang yang membolehkan rakyat mengadakan perhimpunan secara aman.

Nah, sekarang apabila pihak pihak polis agaknya terpaksa mematuhi undang-undang tersebut dan membenarkan penyokong Anwar mengadakan perhimpunan secara aman, di mana pulak tokoh-tokoh agama itu hendak meletakkan fatwa mereka?

Wednesday, January 4, 2012

Gardenia vs Massimo = Melayu vs Cina?



Pada masa yang lalu saya sering juga membeli roti Gardenia, walaupun harganya lebih mahal sedikit, kerana rasanya bagi saya memang lebih enak daripada roti lain.






Baru-baru ini di kedai-kedai runcit tempat saya berbelanja muncul satu roti baru: Massimo. Harganya lebih murah sedikit daripada Gardenia, kerana kebetulan ada promosi. Jadi saya tentu membeli roti yang lebih murah ini.


Saya tidak jangka pada mulanya kelahiran roti baru ini adalah untuk menandingi roti Gardenia.


Pertandingan tentu tidak salah. Dengan adanya dua jenis roti ini pengguna boleh memilih roti mana yang lebih murah.


Malangnya di sebalik pertandingan dua jenis roti ini, rupanya terdapat isu perkauman yang tidak sihat. Nampaknya isu perkauman bukan saja ada dalam politik, tapi juga dalam perniagaan roti!


Sebabnya roti Gardenia dikaitkan dengan taukeh dan syarikat Melayu, manakala roti Massimo dikaitkan dengan taukeh dan syarikat Cina.


Di kalangan orang Cina dikatakan sudah lama dilancarkan kempen supaya orang-orang Cina memulaukan roti Gardenia.


Isu perkauman seperti ini tentunya tidak dapat dielakkan, kerana Malaysia memang negara berbilang kaum, dan faham perkauman bukan semakin berkurang, tetapi semakin meningkat.


Dengan itu, Gardenia tentunya hanya akan dapat bertahan jika sanggup berperang dari segi harga dan mutu rotinya.