Saturday, December 17, 2011

Isu murtad: realiti atau hanya ilusi?

Seronok juga membaca laporan ucapan Hasan Ali dalam Perhimpunan Sejuta Umat di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Katanya ada mubaligh Kristian berjubah ikut solat Zuhur berjemaah dengan penduduk Islam.Betulkah? Di mana dan bila? Tapi, kalau betul pun, apa hendak ditakutkan? Kalau itu dikatakan satu penyusupan, identiti mubaligh berkenaan akan diketahui juga nanti, dan orang Islam tidak akan mempercayainya.

Kata Hassan Ali lagi ada satu organisasi yang melatih mubaligh untuk memurtadkan orang Islam. Hanya satu? Bukan sepuluh atau dua puluh? Kalau hanya satu, mengapa takut sangat dan perlu digembar-gemburkan? Bukankah orang Islam ada banyak jabatan dan NGO yang boleh mempertahankan akidah umat Islam? Tak kan umat Islam sebagai golongan majoriti takut kepada mubaligh Kristian yang hanya merupakan golongan minoriti?

Kata Timbalan Mufti Perak pula, sehingga November lalu (sejak bila?) ada 43 kes permohonan murtad yang dibawa ke Mahkamah Syariah Perak. Walaupun ada permohonan daripada orang yang merupakan anak atau keluarga Islam, tapi kebanyakannya adalah daripada individu yang sebelum itu sudah masuk Islam, tetapi memohon kembali kepada agama asal.

Jika benar demikian, jelaslah masalah murtad di kalangan umat Islam di negara ini sebenarnya tidak serius. Tidak seramai mana, kalau ada, anak atau keluarga Islam yang ingin murtad dan masuk agama lain (Kristian khasnya).

Tentang orang mualaf yang ingin kembali kepada agama asal itu saya kira ia satu isu lain. Walaupun ia termasuk isu murtad, tetapi ini berlaku kerana kegagalan kita mendakwahkan dan mertarbiahkan mereka setelah mereka masuk Islam.

Jadi ini hanya menunjukkan kegagalan dakwah kita, yang hanya berjaya separuh jalan, dan bukan isi murtad yang kini nampaknya sangat ditakuti dan sangat dibesar-besarkan dan disensasikan.

No comments:

Post a Comment