Monday, July 26, 2010

Adakah isteri pemimpin yang menyibuk?


Dr.Asri menulis artikel yang menarik tentang isteri Tun Mahahatir, Tun Siti Asmah. Dia menyanjung Tun Siti Asmah yang dianggapnya sebagai isteri PM yang tidak penyibuk. Bagi beliau begitulah sepatutnya perwatakan isteri seorang pemimpin, khasnya isteri seorang PM.


Tulisan Dr.Asri itu dengan serta merta mengingatkan kita kepada perwatakan dan tingkah laku isteri PM sekarang yang nampaknya begitu penyibuk. Perwatakan dan tingkah beliau mungkin boleh menyebabkan suaminya dibenci orang.Adakah isteri pemimpin yang berkenaan menyedarinya?

Saturday, July 24, 2010

Orang Melayu boleh bersatu melalui PAS

Saya rasa orang-orang yang sekarang beria-ia mahu UMNO bekerjasama dengan PAS, seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani dan sesetengah pemimpin GAPENA, seperti Dato' Ab.Latif Bakar ialah orang-orang yang sayangkan UMNO dan tidak mahu UMNO kehilangan kuasa.

Mereka mungkin masih dipengaruhi persepsi lama bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Jadi bagi mereka, kalau UMNO kehilangan kuasa, maka bererti orang Melayu juga kehilangan kuasa.

Orang-orang ini barangkali tidak boleh menerima bahawa PAS juga adalah parti Melayu dan boleh menjadi alternatif kepada UMNO.

Saya berpegang pada pendapat kedua, bahawa PAS boleh menjadi alternatif kepada UMNO. Dan PAS juga boleh menjadi pemerintah, menggantikan tempat UMNO, walaupun tentunya mesti bekerjsama dengan PKR dan DAP.

Oleh yang demikian, jika orang Melayu hendak bersatu dan hendak mengekalkan kuasa politik orang Melayu, saya kira tidak semestinya UMNO mesti bekerjasama dengan PAS.

Orang Melayu sebenarnya boleh juga bersatu kalau majoriti daripada mereka menyokong PAS dan menolak UMNO.

Sekiranya majoriti orang Melayu sudah menyokong PAS dan PAS menjadi parti yang mempunyai suara majoriti dalam Pakatan Rakyat, bererti orang Melayu masih mempunyai kuasa politik, dan kuasa politik orang Melayu tidaklah hilang.

Jadi apa perlunya PAS bekerjasama dengan UMNO?

Biarlah UMO dan PAS berlawan dalam pilihan raya yang akan datang. Parti yang mendapat sokongan majoriti orang Melayu, sama ada UMNO atau PAS, parti itulah yang akan mewakili orang Melayu dan menjadi pemegang kuasa politik orang Melayu.

Friday, July 23, 2010

Muslihat UMNO untuk memecahkan Pakatan Rakyat

Saya tidak bermaksud untuk bersangka buruk terhadap UMNO. Akan tetapi, dalam isu kerjasama antara UMNO dengan PAS, saya masih belum yakin tentang keikhlasan UMNO.

Bagi saya minat yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin UMNO untuk bekerjasama dengan PAS hanyalah satu muslihat untuk merenggangkan dan memutuskan hubungan PAS dengan DAP dan memecahkan Pakatan Rakyat.

Saya tidak fikir yang jadi perhatian pemimpin UMNO ialah kuasa politik orang Melayu yang kononnya akan hilang jika orang Melayu terus berpecah belah dan tidak bersatu.

Sekarang kuasa politik orang Melayu memang telah lemah, tetapi sebahagiannya ialah kerana kelemahan pemimpin UMNO sendiri yang tidak mampu mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, walaupun ada tercatat dalam Perlembagaan.

Sekiranya hubungan PAS dengan DAP dapat diputuskan dan Pakatan Rakyat dapat dipecahkan, bererti PAS akan berada dalam keadaan "keseorangan" dan akan lemah. Pada masa itu tentulah akan mudah untuk UMNO "menendang" PAS, seperti yang pernah dilakukan oleh UMNO/BN pada satu masa dahulu.

Oleh yang demikian, kita mungkin boleh bersimpati dan merasa kasihan terhadap sesetengah tokoh agama yang begitu beria-ia hendak mencari jalan "menyatukan" UMNO dengan PAS.

Mereka mungkin ikhlas hendak mempertahankan kuasa politik orang Melayu dan kepentingan agama Islam, tapi caranya tidaklah semestinya dengan menyarankan supaya PAS bekerjasama dengan UMNO.

Mereka mungkin pandai dalam hal agama, tapi masih agak naif dalam hal politik. Jadi sama ada mereka sedar atau tidak, mereka akhirnya hanya akan menjadi alat UMNO untuk mempertahankan kuasa yang telah pun goyah kerana kesalahan pemimpin UMNO sendiri.

Usaha mereka mungkin sia-sia saja, kerana pemimpin UMNO bukan ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS.

Monday, July 19, 2010

Kerjasama UMNO dan PAS: pemimpin UMNO perlu tunjukkan sikap muhibah

Saya tidak begitu optimis UMNO dan PAS boleh bekerjasama dalam waktu terdekat, walaupun dikatakan kerjasama antara dua parti Melayu itu sangat penting untuk mengekalkan kuasa politik di tangan orang Melayu.

Akan tetapi, kerjasama antara dua parti Melayu itu mungkin boleh diwujudkan dan dipertingkatkan, jika sebagai kerajaan pemimpin UMNO/BN memperlihatkan sikap muhibah yang ikhlas terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS, seperti memberi royalti minyak kepada Kelantan, dan menyalurkan peruntukan pembangunan terus kepada kerajaan negeri dan bukan melalui Jabatan Persekutuan.

Kerajaan UMNO/BN juga boleh memperlihatkan sikap muhibah itu dengan memberi kebebasan kepada PAS untuk menerbitkan lidah rasminya, Harakah, dan bukan selalu mengganggu penerbitan itu seperti yang dilakukan oleh KDN selama ini.

Jika sebagai kerajaan, pemimpin UMNO/BN tidak mempunyai sedikit kebijksanaan untuk mengambil langkah yang demikian, janganlah kita berharap kerjasama antara PAS dan UMNO boleh berlaku.

Pemimpim agama seperti Harussani atau akhbar arus perdana yang kononnya begitu prihatin dan bimbang tentang kehilangan kuasa politik orang Melayu boleh menjerit dan berteriak sekuat-kuatnya. Akan tetapi, jeritan dan teriakan mereka akan sia-sia saja, sekiranya pemimpin UMNO/BN tidak mempunyai sedikit kebijaksanaan dan tidak mampu menunjukkan sikap muhibahnya yang ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS.