Saturday, August 28, 2010

Perlukah wanita bukan Islam menutup aurat?


Nampaknya satu "kesalahan besar" yang dikatakan telah dilakukan oleh Teo Nie Ching, wakil rakyat Serdang yang berkunjung ke surau di Taman Kajang Sentral baru-baru ini ialah dia telah masuk ke surau itu tanpa menutup aurat. Maka dikatakanlah beliau telah melakukan penghinaan besar terhadap tempat ibadat orang Islam!

Selama ini memang telah ada peraturan bahawa wanita bukan Islam (khasnya pelancong) yang ingin memasuki Masjid Negara atau masjid lain mesti menutup aurat. Pihak masjid ada menyediakan pakaian untuk keperluan menutup aurat itu. Alasannnya konon untuk menunjukkan wanita bukan Islam itu menghormati tempat ibadat orang Islam.

Akan tetapi, peraturan yang memerlukan wanita bukan Islam menutup aurat untuk memasuki masjid ini hanyalah peraturan yang diada-adakan saja, dan bukanlah satu keperluan yang dituntut oleh Islam.

Barangkali baik juga dan tidak ada salahnya wanita bukan Islam yang ingin memasuki mana-mana masjid atau surau mematuhi peraturan itu. Dengan begitu, dia kononnya dianggap telah menghormati masjid dan surau tersebut.

Akan tetapi, apakah salahnya jika dia tidak menutup aurat, kerana dia bukan orang Islam? Jika dia menutup aurat pun, dia masih lagi seorang yang bukan Islam.

Dalam hal ini saya tertarik dengan pendapat Nik Aziz ketika memberi komen tentang isu Teo Nie Ching yang dihebohkan sekarang, bahawa " Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa saja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam" (Sinar, 29 Ogos 2010).

Dari komen Nik Aziz adalah jelas bahawa yang perlu menutup aurat ialah orang Islam. Orang bukan Islam sudah cukup jika dia memakai pakaian yang sopan.

Saya kira pendapat Nik Aziz adalah pendapat yang realistik dan rasional, walaupun barangkali sedikit liberal. Akan tetapi dalam konteks semasa dan dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, saya rasa pendapat yang demikianlah yang sesuai diraikan dan dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment