Sunday, December 25, 2011

Pujian kepada MB Kedah

Syabas diucapkan kepada Datuk Seri Azizan Abdul Razak, MB Kedah kerana kerajaan PAS Kedah tetap meneruskan keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar bagi pembinaan sebuah kompleks membeli belah.

Sepatah kata Datuk Seri Azizan, beliau ialah graduan Universiti Al-Azhar dan beliau tahu mengenai hukum hakam dan keputusan membenarkan pengambilan tapak serta bangunan madrasah itu dibuat hanya selepas mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri.

Jadi pihak luar termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tidak perlu campur tangan dalam perkara tersebut kerana soal mengubah pelan projek pembinaan kompleks membeli belah berkenaan adalah urusan kerajaan negeri.

Datuk Seri Azizan saya kira benar apabila beliau mendakwa sokongan pemimpin UMNO terhadap usaha mempertahankan kewujudan madrasah itu adalah bermotifkan politik, kerana mereka ketandusan isu untuk dimainkan di negeri itu.

Pemimpin UMNO tidak habis-habis mengkritik kerajaan PAS Kedah kerana kononnya tidak ada projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kedah selama memerintah negeri itu. Akan tetapi, apabila kerajaan PAS hendak melaksanakan projek pembangunan, mereka mencari pelbagai helah dan alasan untuk menghalangnya.

Jadi bagaimana saya hendak menyokong UMNO jika beginilah perangai orang-orang UMNO?

Saturday, December 24, 2011

Hassan Ali memang telah masuk perangkap UMNO




Hassan Ali kata akhbar arus perdana lebih banyak memberi ruang kepadanya daripada Harakah, akhbar partinya sendiri, PAS.

Kalau beliau tidak sedar, itulah buktinya dia telah masuk perangkap UMNO dan diperalatkan oleh UMNO .

Akhbar dan media arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 menyanjung Hassan sebagai pejuang Islam yang tulen sebenarnya untuk mengadu-domba Hassan dengan pemimpin PAS yang lain.

Akhbar dan media arus perdana memang memberi ruang yang luas kepada Hassan kerana Hassan mengkritik dasar PAS dan menyerang PAS.

Bagaimana kalau Hassan mengkritik BN dan kerajaan pula? Adakah beliau akan diberi ruang yang luas seperti itu?

Sayang pemimpin yang bijak seperti Hassan tidak boleh menyedari beliau sebenarnya telah masuk perangkap UMNO dan diperalatkan oleh UMNO untuk menyerang partinya sendiri.



Thursday, December 22, 2011

Hassan Ali lebih sesuai berada dalam Perkasa atau Pekida



Hassan Ali sudah menyatakan secara terbuka bahawa dia tidak bersetuju dengan dasar dan matlamat perjuangan baru PAS untuk mewujudkan negara berkebajikan.

Dasar baru PAS itu sudah diputuskan dalam muktamar PAS yang terakhir dan sudah disetujui pula oleh Majlis Syura PAS.

Walaupun istilah negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS seolah-olah sama dengan istilah negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh UMNO, tetapi dasar PAS itu tentu tidak sama dengan dasar UMNO, kerana dasar PAS masih terikat dengan matlamat utama perjuangannya untuk menegakkan Islam.

Agak aneh sebagai bekas pemimpin besar PAS (bekas Naib Presiden dan bekas bekas Pesuruhjaya PAS Selangor) Hassan Ali seolah-olah tidak memahami dasar parti yang didukungnya.

Hassan Ali kelihatan lebih mementingkan agenda Melayu -- mahu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Dasar yang hendak diperjuangkan oleh Hassan nampaknya lebih dekat dengan dasar UMNO, Perkasa dan Pekida.

Jika demikian, tempat yang sesuai bagi Hassan agaknya bukanlah lagi dalam PAS. Jika tidak memasuki UMNO, dia mungkin lebih sesuai berada dalam Perkasa atau Pekida.

Sunday, December 18, 2011

Alangkah lemahnya kerajaan bila berhadapan dengan golongan minoriti bukan Melayu

Alangkah lemahnya kerajaan yang kononnya diterajui oleh UMNO, parti Melayu yang terulung apabila berhadapan dengan tuntutan orang bukan Melayu, walaupun mereka yang terlibat hanya golongan minoriti.

Agaknya hanya itulah yang dapat dikatakan apabila kerajaan mengambil keputusan menarik balik penggunaan novel Interlok, karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sebagai teks sastera di sekolah-sekolah.

Sebelum ini kerajaan, khasnya Muhyiddin, Menteri Pelajaran kelihatan bertegas hendak mengekalkan penggunaaan novel itu sebagai teks sastera, sehingga melantik panel pakar untuk mengkajinya.

Akan tetapi, di bawah desakan MIC yang disifatkan oleh Perkasa sebagai "besar kepala", akhirnya kerajaan, khasnya kabinet BN yang lemah, terpaksa mengalah juga, agaknya kerana takut kehilangan sedikit undi orang India.

Pengumuman tentang penarikan balik novel itu sebagai teks sastera pun nampaknya diumumkan lebih dahulu oleh Presiden MIC, bukan oleh Menteri Pelajaran. Kasihan!

Bagaimana pula sikap orang Melayu terhadap isu ini? Perkasa menyarankan supaya orang Melayu tidak mengundi calon MIC yang anti-Melayu.

Akan tetapi, mungkin yang lebih bagus ialah kita menolak sebuah parti pemerintah atau kerajaan yang begitu lemah, yang tidak ada tulang belakang, dan tidak mampu mempertahankan perkara yang sepatutnya dipertahankan berasaskan prinsip, fakta dan keadilan.

Bukankah begitu?

Saturday, December 17, 2011

Isu murtad: realiti atau hanya ilusi?

Seronok juga membaca laporan ucapan Hasan Ali dalam Perhimpunan Sejuta Umat di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Katanya ada mubaligh Kristian berjubah ikut solat Zuhur berjemaah dengan penduduk Islam.Betulkah? Di mana dan bila? Tapi, kalau betul pun, apa hendak ditakutkan? Kalau itu dikatakan satu penyusupan, identiti mubaligh berkenaan akan diketahui juga nanti, dan orang Islam tidak akan mempercayainya.

Kata Hassan Ali lagi ada satu organisasi yang melatih mubaligh untuk memurtadkan orang Islam. Hanya satu? Bukan sepuluh atau dua puluh? Kalau hanya satu, mengapa takut sangat dan perlu digembar-gemburkan? Bukankah orang Islam ada banyak jabatan dan NGO yang boleh mempertahankan akidah umat Islam? Tak kan umat Islam sebagai golongan majoriti takut kepada mubaligh Kristian yang hanya merupakan golongan minoriti?

Kata Timbalan Mufti Perak pula, sehingga November lalu (sejak bila?) ada 43 kes permohonan murtad yang dibawa ke Mahkamah Syariah Perak. Walaupun ada permohonan daripada orang yang merupakan anak atau keluarga Islam, tapi kebanyakannya adalah daripada individu yang sebelum itu sudah masuk Islam, tetapi memohon kembali kepada agama asal.

Jika benar demikian, jelaslah masalah murtad di kalangan umat Islam di negara ini sebenarnya tidak serius. Tidak seramai mana, kalau ada, anak atau keluarga Islam yang ingin murtad dan masuk agama lain (Kristian khasnya).

Tentang orang mualaf yang ingin kembali kepada agama asal itu saya kira ia satu isu lain. Walaupun ia termasuk isu murtad, tetapi ini berlaku kerana kegagalan kita mendakwahkan dan mertarbiahkan mereka setelah mereka masuk Islam.

Jadi ini hanya menunjukkan kegagalan dakwah kita, yang hanya berjaya separuh jalan, dan bukan isi murtad yang kini nampaknya sangat ditakuti dan sangat dibesar-besarkan dan disensasikan.

Friday, December 16, 2011

Sultan Terengganu dukacita kejadian dua solat Jumaat masih berlaku

Hari ini, 17/12/2011, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda menyeru rakyat Terengganu supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian, kerana kata baginda kejadian seumpama itu boleh mencemar kesucian agama Islam, seterusnya menyebabkan umat Islam di hina dan dipermainkan.

Bagaimanapun, yang tidak ada dalam laporan itu ialah mengapa kejadian seperti itu boleh berlaku dan terus berlaku?

Kira-kira 17 tahun yang lalu, pada tahun 1994, seorang pensyarah UKM, Mohamed Salleh Lamry ada membuat tinjauan dan kajian tentang perpecahan dan konflik yang berkaitan dengan politik kepartian dalam masyarakat desa di Terengganu, khasnya di daerah Besut.

Kajian beliau yang bertajuk " Konflik Politik UMNO dan PAS: Kajian Kes di Daerah Besut,Terengganu" diterbitkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM pada tahun 1994.

Hasil kajian beliau antara lain telah merumuskan seperti berikut:

Secara mudah, faktor-faktor yang menyebabkan perpecahan dan konflik di daerah Besut itu boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan luaran.

Tindakan pemimpin PAS Besut menekankan soal "akidah" dalam ceramah politik mereka selepas PAS kalah dalam pilihan raya 1978 telah menimbulkan isu "kafir mengkafir" . Ini merupakan faktor dalaman yang terpenting.

Faktor luaran pula sekurang-kurangnya ada dua. Pertama, peranan yang dimainkan oleh pemimpin atasan PAS daripada golongan ulama (dari luar daerah Besut) yang juga menekankan soal akidah, dan malah ada yang mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang UMNO.

Kedua, tindakan kerajaan negeri yang menekan dan dan mendiskriminasikan penyokong PAS dan memecat imam masjid yang menyokong PAS. Tindakan kerajaan negeri memecat imam masjid yang menyokong PAS khususnya adalah faktor utama yang menyebabkan timbulnya "sembahyang dua imam" dan kemudiannya sembahyang berasingan di beberapa buah kampung di daerah Besut.

Pada masa itu orang UMNO menjalankan sembahyang Jumaat di masjid kampung, manakala orang PAS mengadakan sembahyang Jumaat di markas mereka atau di masjid yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Saya tidak tahu adakah hasil kajian pensyarah UKM itu masih relevan dengan keadaan semasa. Tapi, hasil kajian itu mungkin boleh juga dijadikan asas untuk membuat kajian selanjutnya dan untuk memahami keadaan terkini di Besut dan Terengganu.

Monday, December 12, 2011

Nik Aziz tidak mungkin berundur

Nik Aziz, MB Kelantan sudah tua dan sudah agak uzur. Kalau dia orang biasa, dia barangkali sudah patut berehat dan duduk di rumah saja, atau kalau masih mampu cukuplah mengajar dan memberi ceramah agama saja di sekitar tempat tinggalnya .

Akan tetapi, oleh sebab dia orang politik dan tokoh politik pula, dia tidak mungkin berbuat demikian.

Banyak orang PAS percaya bahawa kemampuan PAS bertahan sebagai parti pemerintah di Kelantan sejak tahun 1990-an dahulu terutamanya adalah kerana pengaruh dan karisma Nik Aziz.

Dan banyak juga orang PAS yang percaya bahawa Kelantan mungkin akan terus dapat dipertahankan oleh PAS selagi Nik Aziz menjadi MB negeri itu.

Oleh yang demikian, Nik Aziz merasa dia memang masih diperlukan untuk memimpin kerajaan PAS Kelantan. Dan dia memang tidak patut berundur dari terus memainkan peranan sebagai pemimpin PAS di negeri itu.

Dengan demikian, Nik Aziz tentu akan bertanding lagi dalam pilihan raya yang akan datang. Dia akan mengecewakan orang-orang UMNO yang mengharapkan dia akan meninggalkan pentas politik, dan dengan itu memudahkan UMNO merampas negeri itu.

Nik Aziz terpaksa menongkat langit, walaupun sudah tua dan uzur, kerana demikianlah logik dan kehendak politik.

Sunday, December 11, 2011

Apa salahnya Chua Soi Lek bercakap tentang hudud?

Kini di Malaysia isu hudud sudah jadi public issue atau isu awam; bukan lagi isu orang Islam saja. Oleh itu, kita tidak harus menghalang orang bukan Islam daripada turut membincangkan isu ini.

Mungkin ada orang bukan Islam, seperti Chua Soi Lek yang telah memberi pendapat yang salah. Tapi saya kira beliau juga berhak memberi pendapat, dan tidak harus dianggap telah menghina Islam.

Dalam hal ini orang Islam sepatutnya berfikiran terbuka; bukan berfikiran sempit dan tertutup. Biarlah orang bukan Islam bercakap tentang Islam, seperti kita juga ingin bercakap tentang agama lain.

Sekiranya pendapat mereka salah, sepatutnya kita mampu memberi penjelasan dan berhujah dengan mereka, bukan meminta mereka menutup mulut dan meminta maaf dengan alasan mereka telah menghina Islam.

Sekiranya orang Islam tidak mampu memberi penjelasan dan berhujah dengan mereka, nampak sangat orang Islam yang lemah dan bodoh.

Dalam dalam hal ini, saya teringat isu orang Islam di Malaysia tidak membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah, sedangkan orang Kristian di negara lain, di Indonesia dan di Tengah misalnya, sudah lama menggunakan kalimah itu dan tidak ada apa-apa masalah.

Jadi dalam hal ini nampak benar orang Islam di Malaysia berfikiran sempit dan tertutup; sesuatu yang tidak wajar dan memalukan.

Saturday, December 10, 2011

Bagaimana kalau pemimpin UMNO dilarang memberi ceramah di Pulau Pinang atau Kelantan?

Pada masa yang lalu kita tidak pernah mendengar ada golongan tertentu yang membuat laporan polis untuk menghalang seseorang tokoh tertentu berceramah di tempat mereka.

Akan tetapi, akhbar Utusan Malaysia 9/12/2011 melaporkan bahawa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar dan Sungai Balang telah membuat laporan polis membantah program ceramah Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS di Sungai Balang hujung minggu ini.

Tindakan PBTM ini disertai Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bakri, Pemuda BN Parlimen Bakri dan Gerakan 4B Parlimen Bakri.

Saya kira apa yang dilakukan oleh orang-orang Johor ini menunjukkan mereka tidak ada toleransi, tidak ada kematangan dan kebudak-budakan. Ini sikap keras dan melampau yang tidak kena pada tempatnya. Dan bukan satu trend yang baik dan menggembirakan.

Apalah yang akan jadi kepada negara dan masyarakat kita jika orang-orang di tempat lain juga bersikap dan bertindak demikian?

Tidak bolehkah kita berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menghadapi orang atau tokoh yang berbeza pendapat dengan kita?

Bagaimana nanti kalau ada orang PAS atau orang DAP pula yang membuat laporan polis supaya tokoh UMNO yang telah memfitnah DAP dan PAS dilarang dari memberi ceramah di Pulau Pinang atau Kelantan, misalnya?

Tidakkah ini semua kerja bodoh? Jadi eloklah tindakan seperti ini diberhentikan.

Friday, December 9, 2011

Dakwah dan kaunter-dakwah

Pada tahun 1970-an dan 1980-an dahulu gerakan dakwah di kalangan orang Melayu di Malaysia begitu aktif. Ada dakwah yang digerakkan oleh badan-badan sukarela seperti ABIM, Tabligh dan Al-arkam (kini telah diharamkan), dan ada dakwah yang digerakkan oleh badan kerajaan, seperti Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM).

Gerakan itu ada yang ditujukan ke dalam, kepada orang Islam sendiri, dan ada yang ditujukan ke luar, kepada orang bukan Islam.

Sebagai kesan daripada gerakan dakwah yang ditujukan kepada orang bukan Islam, banyaklah orang bukan Islam yang masuk Islam atau berjaya diislamkan. Saya tidak ada data tentang hal ini. Akan tetapi, jumlahnya tentulah besar.

Orang Islam tentunya berbangga dengan kejayaan mengislamkan orang-orang bukan Islam ini. Akan tetapi, kejayaan itu tentu ada reaksinya dan ada masalahnya.

Sama ada orang Melayu/Islam mahu mengakuinya atau tidak, orang bukan Islam, khasnya orang Kristian, tentu ingin melakukan kaunter-dakwah, iaitu mendakwahkan agama mereka pula di kalangan orang Melayu/Islam.

Mereka tentu tidak boleh berbuat demikian secara terbuka, kerana Perlembagaan negara ini tidak membolehkan orang yang bukan Islam mendakwahkan agama mereka di kalangan orang Islam.

Jadi apa yang boleh mereka lakukan adalah melakukannya secara tidak langsung, secara tersembunyi dan secara berhati-hati. Agaknya inilah yang dikatakan rancangan atau program orang Kristian untuk memurtadkan orang Melayu/Islam.

Saya tidak pasti sama ada usaha orang Kristian memurtadkan orang Melayu/Islam kini sudah merupakan satu realiti, atau hanya persepsi yang tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Namun demikian, kini sudahlah sampai masanya gerakan dakwah di negara ini diaktifkan semula. Dan tumpuannya yang lebih utama barangkali adalah ke dalam, kepada orang Melayu/Islam sendiri.

Adalah tidak bermakna kita berjaya mengislamkan ramai orang bukan Islam, tapi pada masa yang sama kita bimbang pula orang Islam atau yang sudah Islam dimurtadkan oleh orang Kristian.

"Setinggan kampung" pun kena halau?

Pada masa yang lalu umumnya hanya setinggan atau peneroka bandar di kota besar, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Selangor yang di halau oleh kerajaan BN dari kawasan setinggan tempat tinggal mereka.

Ketika Khir Toyo menjadi MB Selangor sebelum tahun 2008 misalnya, beliau melaksanakan satu dasar yang keras, yang dinamakan "setingggn sifar". Maka hampir habis kawasan setinggan di Selangor dibersihkan oleh beliau.

Bekas kawasan setinggan itu "diserahkan" kepada pihak swasta, yang umumnya terdiri daripada syarikat kroni beliau, maka tumbuhlah di situ taman perumahan mewah dan kompleks perniagaan yang besar-besar.

Bekas setinggan tadi di tempatkan di rumah panjang atau di flat murah yang umumnya dinamakan perumahan rakyat. Mana-mana yang bernasib baik mendapat sedikit pampasan atau dikecualikan dari membayar sewa di tempat tinggal mereka yang baru untuk satu jangka masa yang tertentu.

Mereka tetap dihalau dan tidak diberi peluang memiliki tanah di kawasan setinggan yang telah lama mereka duduki, walaupun mereka umumnya terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO.

Kini, satu perkembangan terbaru, setinggan di Pekan Matau, Bandar Pusat Jengka, Pahang pula hendak dihalau oleh kerajaan BN tanpa diberi apa-apa pampasan, walaupun mereka sudah tinggal dan berniaga di situ kira-kira 40 tahun.

Mereka bukan setinggan kota besar, malah boleh diistilahkan sebagai "setinggan kampung" saja, tetapi nampaknya hendak dihalau juga

Ini kerana di atas tapak kawasan setinggan itu sudah dirancangkan akan dibina rumah kedai yang berharga kira-kira RM300,000 seunit, yang tidak mampu dibeli oleh para setinggan itu.

Ini pembangunan mengikut jalan kapitalis. Pembangunan untuk orang kaya, bukan untuk orang miskin.

Dalam hal ini, nampak benar kerajaan BN tidak mahu menolong orang Melayu yang miskin, walaupun mereka mampu berbuat demikian.

Tindakan kerajaan BN ini dikatakan berbeza dengan tindakan mereka terhadap penduduk sebuah pekan kecil berhampiran, pekan Tong Kiat, yang terdiri daripada orang Cina. Penduduk pekan Tong Kiat yang terdiri daripada orang Cina itu tidak pula dihalau, malah dibantu memajukan pekan tersebut.

Hal seperti ini pernah juga berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor pada masa yang lalu. Sementara setinggan Melayu dihalau oleh pemimpin Melayu, setinggan Cina pula banyak yang diberi hak milik tanah atas usaha dan bantuan pemimpin Cina dan tidak dihalau dari kawasan setinggan yang mereka duduki. Kini bekas kawasan setinggan Cina itu sudah bertukar menjadi kawasan perumahan yang kekal pula.

Tindakan kerajaan BN di Pahang itu jelas merupakan penindasan terhadap setinggan Melayu, dan pada masa yang sama memberi keistimewaan kepada setinggan Cina.

Di manakah keadilan dalam hal ini?

Thursday, December 8, 2011

Guna ayat Quran untuk memfitnah





Mungkin ada yang tak kena dengan gadis dalam gambar ini; sudahlah tak pakai tudung, tak menutup aurat, pakai baju tanpa lengan pula.


Tapi tak kisahlah. Dia masih muda; mungkin boleh berubah satu masa nanti.


Apa yang saya lebih musykil adalah tentang ayahnya, Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.


Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini Muhyiddin banyak menggunakan ayat-ayat Quran, seolah-olah dia adalah seorang yang pandai agama, sama atau lebih hebat daripada pemimpin PAS.


Tapi dalam ucapannya itu dia banyak menghentam dan memfitnah parti pembangkang. Misalnya dia menuduh DAP hendak menubuhkan republik, hendak membuang raja dan anti-Islam.


Itu semua tuduhan karut. Malangnya ayat-ayat Quran telah digunakan untuk menuduh dan memfitnah dengan sewenang-wenangnya.






Wednesday, December 7, 2011

Mentaliti feudal di sebalik pembangunan

Arab Saudi barangkali adalah sebuah negara Islam yang membangun mengikut jalan kapitalis.

Dengan menggunakan modal yang besar dan dengan tujuan untuk mencapai keuntungan yang maksimum, di Madinah dan Mekah khasnya, banyak bangunan lama yang telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan pencakar langit, yang umumnya terdiri daripada hotel besar dan mewah dan kompleks perniagaan.

Sewa hotel mewah itu tentu saja tinggi. Maka orang-orang yang datang untuk mengerjakan fardu haji dan perlu menginap di situ kenalah menanggung kos yang tinggi, berbanding tinggal di hotel sederhana atau apartmen murah yang banyak terdapat sebelum itu.

Kenaikan kos yang tinggi untuk mengerjakan fardu haji ini tentu tidak menjadi masalah bagi orang-orang dari golongan kaya atau maha kaya. Pakej mengerjakan haji swasta yang kosnya lebih RM1,000 seorang pun mungkin murah saja bagi mereka.

Akan tetapi, bagaimana bagi orang yang berpendapatan rendah dan sederhana? Mungkin mereka terpaksa membuat simpanan bertahun-tahun baru mampu mengerjakan fardu haji, itupun melalui pakej tabung haji yang disubsidi oleh kerajaan.

Bagaimanapun, di sebalik pembangunan material yang begitu hebat, pemikiran orang-orang Arab Saudi itu nampaknya masih begitu mundur dan terkebelakang.

Misalnya, hanya baru-baru ini kaum wanita di negara itu dibolehkan memandu kereta. Akan tetapi, ada pula ulama yang berpendapat bahawa membenarkan kaum wanita memandu kereta itu akan menggalakkan zina!

Malangnya kemunduran pemikiran ini masih terdapat juga di kalangan orang-orang Melayu di Malaysia, di sebalik pembangunan material yang gah dan hebat.

Misalnya, dalam perhimpunan sebuah parti politik Melayu baru-baru ini, antara perkara yang sangat ditekankan oleh pucuk pimpinannya ialah taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan pucuk pimpinan.

Sebenarnya konsep taat setia yang sangat ditekankan oleh pucuk pimpinannya itu merupakan nilai lama yang berasal dari zaman feudal dan boleh juga dianggap sebagai mentaliti feudal.

Jadi dari segi pemikiran kita pun nampaknya masih lagi mundur dan terkebelakang, seperti orang-orang di Arab Saudi.