Thursday, February 16, 2012

Pendirian Anwar lebih realistik

Walaupun didesak oleh Nik Aziz dan Majlis Syura PAS supaya menarik balik kenyataannya yang tersiar dalam Wall Street Journal (WSJ) Anwar nampaknya tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, dalam kenyataannya yang terbaru, Anwar tidak berganjak, malah menegaskan lagi pendiriannya bahawa dia mengiktiraf kewujudan Israel, dengan syarat tentera Israel perlu berundur dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan menghormati aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin.

Dengan perkataan lain, Anwar menyetujui penyelesaian kewujudan dua negara -- Israel dan Palestin -- sebagaimana pendirian negara Arab, seperti Arab Saudi dan Jordan, Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga Malaysia.

Pendirian Anwar ini memang berbeza daripada pendirian PAS yang tidak mahu mengiktiraf, malah mengharamkan kewujudan negara Israel.

Akan tetapi, dalam konteks semasa, pendirian Anwar sebenarnya lebih realistik, lebih sesuai dengan keadaan yang wujud pada masa ini.

Sama ada kita mahu mengiktiraf atau tidak, kerajaan Israel sebenarnya sudah wujud, dan tidak dapat dinafikan lagi.

Kita boleh mengambil pendirian bahawa Israel negara haram dan tidak mahu mengiktiraf kewujudannya. Tapi apakah maknanya jika Israel terus wujud sebagai kerajaan yang kuat dan berkuasa, dan diiktiraf pula oleh banyak negara, termasuk oleh Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Yang terana aneh ialah, walaupun Malaysia tidak mengiktiraf (?) kewujudan negara Israel, tetapi mengadakan hubungan perdagangan pula dengannya, mungkin kerana mahu mengejar keuntungan. Tidakkah ini hanya menggambarkan sikap orang munafik?

Sunday, February 12, 2012

PAS tidak ikut kehendak DAP

PAS sering dituduh oleh puak-puak UMNO sebagai takut kepada DAP dan sentiasa mengikut kehendak dan telunjuk DAP. Akan tetapi, dalam isu Hari Kekasih PAS nampaknya dapat menunjukkan bahawa ia ada pendirian sendiri, walaupun bertentangan dengan pendirian DAP.

Apabila Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan DAP menggesa PAS supaya menarik balik pendirian parti itu menentang Hari Kekasaih, Haji Hadi, Presiden PAS dengan tegas berkata semua pihak harus memahami pendirian PAS hanyalah untuk menjaga akhlak umat Islam di negara ini.

Menurutnya pendirian itu juga tidak melibatkan orang bukan Islam, malah PAS tidak mencampuri urusan orang bukan Islam dalam hal tersebut.

"Itu pendirian kita (PAS). Itu hak, tanggung jawab agama Islam. Pergaulan bebas di dalam Islam tidak boleh. Itu hak agama lain dan orang bukan Islam, yang kita hendak jaga orang Islam sahaja", kata Haji Hadi (Sinar Harian, 132/2012).

Malah Pemuda PAS menasihatkan Karpal Singh supaya belajar menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat menerima pandangan peribadinya.

Timbalan Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata:

" Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar hormati setiap agama di negara ini dan bukan hanya memaksa pandangan peribadinya ke atas orang lain" (Sinar Harian, 13/2/2012).

Pendirian yang diambil oleh PAS dalam isu Hari Kekasih ini dapat menunjukkan bahawa PAS tidak takut kepada DAP dan tidaklah sentiasa mengikut kehendak DAP sebagaimana yang ditohmahkan oleh puak-puak UMNO.

Thursday, February 9, 2012

Desak Anwar saman: kerja orang kurang kerja?

Biasanya orang yang kena fitnah berhak dan boleh menyaman orang yang memfitnahnya. Akan tetapi, terpulanglah kepada orang yang berkenaan sama ada mahu menyaman orang yang memfitnahnya itu atau tidak.

Bagaimanapun, dalam kes Anwar Ibrahim ada sedikit keanehan. Anwar tidak menyaman orang-orang tertentu yang telah memfitnahnya. Akan tetapi, ada pula orang lain yang mendesak Anwar supaya menyaman orang yang memfitnahnya.

Mereka bukan sekadar mendesak, malah melancarkan kempen mengutip tanda tangan pula untuk mengajak orang lain supaya sama-sama mendesak Anwar mengambil tindakan saman itu.

Saya kira tindakan orang-orang yang berkenaan bukan saja agak aneh, malah mungkin didorong oleh niat yang kurang baik, iaitu untuk melaga-lagakan Anwar dengan orang yang memfitnahnya dan sekaligus untuk "menghancurkan" Anwar.

Tindakan mereka itu sebenarnya bukan sesuatu yang perlu. Anwar sendiri tentu boleh mengambil tindakan yang bijaksana sama ada dia mahu menyaman orang yang memfitnahnya atau tidak.

Jadi saya anggap tindakan orang yang mendesak Anwar supaya mengambil tindakan saman itu hanyalah kerja orang-orang yang mungkin kurang kerja dan bukan didorong oleh niat yang baik.