Thursday, September 10, 2009

UMNO parti Islam?

Satu masa dulu, beberapa tahun yang lalu, ketika Sanusi Joned menjadi Setiausaha Agung UMNO, UMNO pernah mendakwa sebagai parti Islam yang terbesar di dunia.

Akan tetapi, dakwaan itu hilang begitu saja, kerana tidak ada sesiapa yang percaya, termasuklah agaknya ahli-ahli UMNO sendiri. Tidak ada sesiapa yang mengiktiraf UMNO sebagai parti Islam.

UMNO dilahirkan sebagai parti kebangsaan, bukan parti Islam, dan saya rasa itulah imej yang terpaksa dipikulnya sejak dulu hingga sekarang.

Baru-baru ini, entah bermimpi agaknya, Najib pula mendakwa UMNO ialah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Ini kerana katanya, perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan...(Utusan Malaysia, 11 September 2009).

Dakwaan Najib ini pun saya rasa tidak akan meyakinkan sesiapa, kecuali agaknya para pengampu beliau, jika ada.

Sebenarnya untuk layak dianggap sebagai parti Islam, sesebuah parti itu perlu memenuhi beberapa syarat yang fundamental, dan tidak cukup jika sekadar perjuangannya dikatakan untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam, termasuk membasmi kemiskinan.

Parti Golkar di Indonesia, yang ideologinya agak mirip dengan ideologi UMNO pun dahulu berjuang untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam di Indonesia, tapi ia tidak pernah dianggap sebagai parti Islam.

Golkar dilabelkan sebagai parti nasionalis-sekular, bukan parti Islam.

Untuk diterima dan dianggap sebagai parti Islam tidak cukup juga jika semata-mata pemimpinnya dan anggotanya terdiri daripada orang Islam.

Biasanya yang jadi faktor penentu ialah sama ada ia berpegang kepada "ideologi Islam" atau tidak, dan sama ada ia memperjuangkan "ideologi Islam" atau tidak.

Secara mudah, sebuah parti politik biasanya dianggap sebagai parti Islam, jika asas perjuangannya adalah untuk mendaulatkan undang-undang syariah (Islam), dan malah undang-udang syariahlah yang memandu atau memimpin parti itu.

Pada masa yang sama, sebuah parti Islam juga berjuang untuk menegakkan negara Islam, kerana banyak pihak yang mempercayai bahawa undang-undang syariah itu hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam konteks sebuah negara Islam.

Di negara ini masyarakat kita secara umumnya sudah mengiktiraf PAS adalah sebuah parti Islam, kerana PAS mendakwa perjuangannya adalah berlandaskan Islam, dan PAS mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam.

Walaupun saya pernah menyatakan perjuangan PAS mungkin boleh dianggap tidak realistik dalam konteks sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, dan mungkin tidak akan sampai ke mana-mana, tapi ideologi PAS agak mantap dan arah perjuangannya pun agak jelas.

Yang tidak kurang pentingnya, sebagaimana yang dapat dilihat di mana-mana, sebuah parti Islam juga tentulah memerlukan seorang atau beberapa orang "tokoh Islam" sebagai pemimpinnya. Ini hampir merupakan satu syarat dan kemestian.

Adalah sesuatu yang tidak terfikirkan, jika Najib, yang pengetahuan Islamnya mungkin tidak setinggi mana, hendak diberi pengiktirafan sebagai pemimpin parti Islam.

Kadang-kadang, malah selalu juga, pada masa yang akhir-akhir ini, Najib cuba memasukkan beberapa ayat Quran yang dihafalnya dalam ucapannya. Akan tetapi, itu tentunya sekadar hiasan saja, dan tentunya tidak akan mengubah imej beliau menjadi seorang pemimpin Islam.

Kepakaran dan imej beliau tentu tidak sebanding dengan kepakaran dan imej Haji Hadi, Nik Aziz, Haron Din dan pemimpin PAS yang lain.

Dengan itu, saya tidak tahu jika ada orang yang mahu percaya bahawa UMNO ialah sebuah parti Islam, jika pemimpin utamanya ialah Najib, yang barangkali hanya satu kesilapan, jika ia secara tiba-tiba dianggap seorang "pemimpin Islam".

Wednesday, September 9, 2009

Perundingan PAS-UMNO: Hanya untuk memerangkap PAS?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, satu perundingan sulit telah berlaku antara pemimpin UMNO dengan pemimpin PAS yang tertentu selepas PRU 12, iaitu setelah kerajaan BN tumbang di Perak dan Selangor.


Perundingan sulit itu diprakasai oleh pemimpin UMNO dan tujuan utamanya tidak lain untuk mengelakkan pemerintahan kedua-dua negeri itu diambil-alih oleh Pakatan Rakyat (PR).


Dalam perundingan sulit itu dikatakan pemimpin UMNO telah menawarkan jawatan MB kepada pemimpin PAS, sekiranya PAS bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan UMNO (dan tentunya dengan BN).


Bagaimanapun, di bawah pengaruh Anwar Ibrahim, PAS yang sudah membuat pakatan dengan PKR dan DAP dalam PRU 12 menolak tawaran UMNO.


Jadi setelah BN tumbang, PR-lah yang mengambil-alih pemerintahan di Perak dan Selangor. Di Selangor jawapan MB dipegang oleh PKR, sementara di Perak pula jawatan MB dipegang oleh PAS.


Walaupun tidak berjaya memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan UMNO/BN, UMNO terus memujuk PAS supaya mengadakan perundingan. Tujuannya konon untuk kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam.


Dengan disokong oleh akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia, isu perundingan itu (yang pada mulanya diistilahkan sebagai "muzakarah UMNO-PAS") hampir tiap-tiap hari digembar-gemburkan oleh akhbar tersebut. Pendapat pelbagai tokoh diminta dan disiarkan untuk menyokong perundingan itu.


Isu perundingan itu (yang kemudiannya diistilahkan oleh Nik Aziz sebagai "mukabalah" - bukan "muzakarah") tenggelam begitu saja, kerana tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan pemimpin dan ahli PAS.

Kemudian, entah bagaimana, tidak lama dahulu, ketika ditemuramah oleh sebuah akhbar tempatan, Haji Hadi, Presiden PAS telah menyebut tentag konsep "kerajaan perpaduan"

Sebenarnya Haji Hadi tidak menerangkan atau menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan konsep tersebut. Dan kita pun tidak pasti sama ada Haji memang serius dengan konsep tersebut ataupun beliau telah tersalah cakap!

Akan tetapi, akhbar Utusan Malaysia yang mempunyai agenda tertentu telah membesar-besarkan dan mensensasikan konsep kerajaan perpaduan itu dengan mendapatkan komen daripada tokoh-tokoh UMNO, termasuk Najib, serta tokoh-tokoh NGO dan ahli akademik pro-UMNO dan pengampu UMNO.

Maka lahirlah pelbagai komen dan pelbagai rencana dalam akhbar tersebut yang cuba mempengaruhi dan meyakinkan pembaca dan orang Melayu bahawa konsep kerajaan perpaduan itu kononnya ialah perpaduan antara UMNO dengan PAS.

Tokoh-tokoh UMNO yang agaknya mengharapkan PAS akan meninggalkan PR apabila menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO begitu bergembira dan bersemangat menyokong konsep tersebut.

Akan tetapi, kegembiraan tokoh-tokoh UMNO tidak lama, apabila tokoh karismatik PAS, Nik Aziz membuat beberapa kenyataan yang menolak konsep perpaduan antara UMNO dan PAS, dan apabila Haji Hadi juga mengeluarkan kenyataan bahawa yang beliau maksudkan dengan konsep kerajaan perpaduan itu bukanlah perpaduan antara UMNO dengan PAS.

Dan isu kerajaan perpaduan ini tenggelam atau hilang begitu saja.

Bagaimanapun, UMNO agaknya belum berputus asa untuk menarik PAS daripada PR dan memecahkan PR.

Oleh itu, dalam lawatannya ke Kelantan baru-baru ini Najib menimbulkan semula isu perundingan antara UMNO dengan PAS "untuk kepentingan Islam".

Akan tetapi, PAS yang sudah pernah dipermainkan oleh UMNO pada masa yang lalu tentu masih melihat ucapan Najib itu sebagai perangkap yang perlu dielakkan.

Oleh itu, tidaklah menghairankan jika Nik Aziz tampil dengan kenyataannya yang tegas, bahawa pintu perundingan antara UMNO dengan PAS sudah tertutup rapat, kerana tidak ada apa-apa perkara yang hendak dirundingkan.

Kecuali mengikut kata Nik Aziz ," Kalau runding beri royalti, saya setujulah".

Sehari kemudian, Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS pula membuat kenyataan (Utusan Malaysia 10 September 2009, bahawa PAS tidak akan berunding dengan UMNO dalam soal kerjasama politik, kerana PAS mahu terus bersama Pakatan Rakyat. Akan tetapi, PAS terbuka untuk berbincang dalam mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri serta yang melibatkan kepentingan negara dan ummah.

Saya kira kenyataan Nik AZiz dan Mustafa Ali wajar sekali.

Sunday, September 6, 2009

Anwar takut?

Saya tidak tahu sebab sebenar Anwar mengambil pelbagai langkah untuk menangguhkan perbicaraan ke atasnya, sama ada kerana takut (sebagaimana yang dibayangkan oleh Chandra Muzaffar, Utusan Malaysia 7 September 2009) atau kerana sebab-sebab lain.

Akan tetapi, banyak juga orang yang berpendapat bahawa tuduhan liwat yang dihadapkan ke atas Anwar adalah sesuatu yang diada-adakan, dan mungkin merupakan konspirasi politik kedua untuk mematikan hayat politik beliau.

Golongan ini berpendapat tuduhan liwat ke atas Anwar adalah tidak munasabah, kerana Saiful yang berusia 23 tahun adalah seorang muda yang kuat dan gagah. Bagaimana mungkin seorang muda yang masih kuat dan gagah seperti itu boleh membiarkan dirinya diliwat oleh orang tua seperti Anwar?

Tuduhan liwat ke atas Anwar mungkin tidak dipercayai oleh banyak orang Melayu dan bukan Melayu. Sebab itulah Anwar masih disanjung sebagai pemimpin yang berwibawa.

Dan sebab itulah dalam pilihan kecil Permatang Pasir baru-baru ini, calon PR (dari PAS) terus menang, walaupun tidak lama sebelum itu Muhyiddin mengecap Anwar sebagai "pengkhianat bangsa Melayu."

Tuduhan Muhyiddin agaknya hanya "diaminkan" oleh para pengampu UMNO, tapi tidak oleh kebanyakan orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu di negara ini.

Oleh itu sebagai orang yang teraniaya, tidak ada salahnya Anwar mencari jalan untuk melepaskan diri dari penganiayaan itu.

Wednesday, September 2, 2009

Isu kuil: hormatilah hak minoriti

Nampaknya di kalangan orang yang tidak bersetuju kuil Hindu dibina di Seksyen 23, Shah Alam, dari orang biasa hingga menteri, alasan mereka tidak bersetuju hanya satu: majoriti penduduk kawasan itu terdiri daripada orang Melayu/Islam.

Implikasi dari pendirian mereka ini ialah orang India/Hindu sebagai golongan minoriti tidaklah berhak mendirikan dan mempunyai rumah ibadat mereka sendiri di kawasan itu.

Kalau hanya itu alasan mereka, saya tidak melihat kewajarannya orang-orang Melayu/Islam yang berkenaan bermati-matian mempertahankan pendirian mereka.

Dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, saya kira tidaklah wajar golongan majoriti menafikan hak golongan minoriti.

Pendirian mereka jelas tidak selaras dengan semangat perlembagaan yang melindungi hak dan kepentingan golongan minoriti, dan yang lebih penting lagi tidak selaras dengan ajaran Islam yang mengajar kita supaya bertolerensi kepada orang bukan Islam.

Sekiranya anggapan bahawa golongan minoriti tidak berhak mempunyai rumah ibadat sendiri di kawasan majoriti itu menjadi satu prinsip dan amalan, apa yang akan berlaku pada masa hadapan jika orang Melayu pula menjadi golongan minoriti di sesuatu kawasan perumahan?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kebanyakan kawasan perumahan di kawasan bandar adalah kawasan campuran Melayu dan bukan Melayu, dan di kebanyakan kawasan orang Melayu bukanlah golongan majoriti.

Akan tetapi, oleh kerana sebelum ini soal majoriti-minoriti ini tidak dipermasalahkan, banyak juga kawasan perumahan yang mempunyai rumah ibadat untuk orang Islam (surau atau masjid), walaupn orang Islam di kawasan itu merupakan golongan minoriti.

Pembinaan rumah ibadat Islam di kawasan majoriti bukan Islam itu mungkin dapat dipertahankan kerana agama Islam ialah agama rasmi negara ini.

Akan tetapi, berdasarkan prinsip keadilan, orang bukan Islam pula sepatutnya dibenarkan mendirikan rumah ibadat mereka sendiri di kawasan yang mereka bukan golongan majoriti.

Kewujudan rumah ibadat bukan Islam (kuil dalam konteks ini) di kawasan majoriti Islam tentu tidak menghalang orang Islam di kawasan itu mengamalkan agama mereka. Jadi mengapakah ada orang Islam yang anti sangat golongan minoriti bukan Islam mendirikan rumah ibadat di tempat itu?

Dalam hal ini saya tidak melihat kewajarannya orang Melayu/Islam dan orang-orang yang mendalangi tindakan mereka itu menyeret Sultan supaya campur tangan dalam isu pembinaan kuil ini.

Sekiranya campur tangan Sultan itu akan menyebabkan kuil itu tidak jadi didirikan di kawasan yang telah dirancangkan, tidaklah nanti Sultan di lihat sebagai berpihak dan tidak lagi menjadi payung bagi semua rakyat?

Jika hal yang demikian berlaku, tidakkah nanti peranan raja dan institusi raja akan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, khasnya oleh golongan minoriti yang tidak berpuas hati?

Dalam keadaan yang demikian, jika hal itu berlaku, adalah jelas bahawa institusi raja tidak lagi dihormati, kerana tindak tanduk orang Melayu/Islam sendiri, yang kononnya mahu mempertahankan kewujudan institusi raja!