Thursday, March 22, 2012

Kes murtad rupanya kecil sahaja

Mengikut jawapan Khalid Ibrahim, MB Selangor kepada pertanyaan Mohd.Shamsudin Lias, ADUN Sungai Burung dalam persidangan DUN Selangor semalam, jumlah kes murtad yang dilaporkan kepada MAIS dari tahun 2004 hingga 2011 (dalam tempoh 7 tahun) hanya 130.

Nampaknya sedikit sahaja, taklah berpuluh ribu sebagaimana yang didakwa oleh setengah-setengah pihak.

Daripada 130 kes itu dikatakan hanya 14 kes yang telah dibawa ke mahkamah syariah dan sudah diselesaikan.

Bagaimanapun, yang tidak dijelaskan ialah kes murtad itu lebih banyak melibatkan mualaf atau bukan mualaf?

Sekiranya lebih banyak melibatkan mualaf, kita mungkin tahu sebabnya, tapi tidak nampak jalan untuk mengatasinya. Ini mungkin merupakan kes yang akan terus tergantung dan tidak dapat diselesaikan.

Akan tetapi, dengan itu jelaslah juga kes murtad yang melibatkan orang Melayu yang lahir sebagai orang Islam sebenarnya sangat kecil dan mungkin tidak serius. Jadi tidak ada apa yang perlu dihebohkan dan dirisaukan sangat.

Usaha orang Kristian hendak memuradkan orang Melayu-Islam pun mungkin tidak pernah berjaya!

Thursday, February 16, 2012

Pendirian Anwar lebih realistik

Walaupun didesak oleh Nik Aziz dan Majlis Syura PAS supaya menarik balik kenyataannya yang tersiar dalam Wall Street Journal (WSJ) Anwar nampaknya tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, dalam kenyataannya yang terbaru, Anwar tidak berganjak, malah menegaskan lagi pendiriannya bahawa dia mengiktiraf kewujudan Israel, dengan syarat tentera Israel perlu berundur dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan menghormati aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin.

Dengan perkataan lain, Anwar menyetujui penyelesaian kewujudan dua negara -- Israel dan Palestin -- sebagaimana pendirian negara Arab, seperti Arab Saudi dan Jordan, Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga Malaysia.

Pendirian Anwar ini memang berbeza daripada pendirian PAS yang tidak mahu mengiktiraf, malah mengharamkan kewujudan negara Israel.

Akan tetapi, dalam konteks semasa, pendirian Anwar sebenarnya lebih realistik, lebih sesuai dengan keadaan yang wujud pada masa ini.

Sama ada kita mahu mengiktiraf atau tidak, kerajaan Israel sebenarnya sudah wujud, dan tidak dapat dinafikan lagi.

Kita boleh mengambil pendirian bahawa Israel negara haram dan tidak mahu mengiktiraf kewujudannya. Tapi apakah maknanya jika Israel terus wujud sebagai kerajaan yang kuat dan berkuasa, dan diiktiraf pula oleh banyak negara, termasuk oleh Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Yang terana aneh ialah, walaupun Malaysia tidak mengiktiraf (?) kewujudan negara Israel, tetapi mengadakan hubungan perdagangan pula dengannya, mungkin kerana mahu mengejar keuntungan. Tidakkah ini hanya menggambarkan sikap orang munafik?

Sunday, February 12, 2012

PAS tidak ikut kehendak DAP

PAS sering dituduh oleh puak-puak UMNO sebagai takut kepada DAP dan sentiasa mengikut kehendak dan telunjuk DAP. Akan tetapi, dalam isu Hari Kekasih PAS nampaknya dapat menunjukkan bahawa ia ada pendirian sendiri, walaupun bertentangan dengan pendirian DAP.

Apabila Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan DAP menggesa PAS supaya menarik balik pendirian parti itu menentang Hari Kekasaih, Haji Hadi, Presiden PAS dengan tegas berkata semua pihak harus memahami pendirian PAS hanyalah untuk menjaga akhlak umat Islam di negara ini.

Menurutnya pendirian itu juga tidak melibatkan orang bukan Islam, malah PAS tidak mencampuri urusan orang bukan Islam dalam hal tersebut.

"Itu pendirian kita (PAS). Itu hak, tanggung jawab agama Islam. Pergaulan bebas di dalam Islam tidak boleh. Itu hak agama lain dan orang bukan Islam, yang kita hendak jaga orang Islam sahaja", kata Haji Hadi (Sinar Harian, 132/2012).

Malah Pemuda PAS menasihatkan Karpal Singh supaya belajar menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat menerima pandangan peribadinya.

Timbalan Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata:

" Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar hormati setiap agama di negara ini dan bukan hanya memaksa pandangan peribadinya ke atas orang lain" (Sinar Harian, 13/2/2012).

Pendirian yang diambil oleh PAS dalam isu Hari Kekasih ini dapat menunjukkan bahawa PAS tidak takut kepada DAP dan tidaklah sentiasa mengikut kehendak DAP sebagaimana yang ditohmahkan oleh puak-puak UMNO.

Thursday, February 9, 2012

Desak Anwar saman: kerja orang kurang kerja?

Biasanya orang yang kena fitnah berhak dan boleh menyaman orang yang memfitnahnya. Akan tetapi, terpulanglah kepada orang yang berkenaan sama ada mahu menyaman orang yang memfitnahnya itu atau tidak.

Bagaimanapun, dalam kes Anwar Ibrahim ada sedikit keanehan. Anwar tidak menyaman orang-orang tertentu yang telah memfitnahnya. Akan tetapi, ada pula orang lain yang mendesak Anwar supaya menyaman orang yang memfitnahnya.

Mereka bukan sekadar mendesak, malah melancarkan kempen mengutip tanda tangan pula untuk mengajak orang lain supaya sama-sama mendesak Anwar mengambil tindakan saman itu.

Saya kira tindakan orang-orang yang berkenaan bukan saja agak aneh, malah mungkin didorong oleh niat yang kurang baik, iaitu untuk melaga-lagakan Anwar dengan orang yang memfitnahnya dan sekaligus untuk "menghancurkan" Anwar.

Tindakan mereka itu sebenarnya bukan sesuatu yang perlu. Anwar sendiri tentu boleh mengambil tindakan yang bijaksana sama ada dia mahu menyaman orang yang memfitnahnya atau tidak.

Jadi saya anggap tindakan orang yang mendesak Anwar supaya mengambil tindakan saman itu hanyalah kerja orang-orang yang mungkin kurang kerja dan bukan didorong oleh niat yang baik.

Friday, January 27, 2012

Azizan tidak perlu disalahkan

Agaknya banyak orang yang menyalahkan Azizan, MB Kedah kerana tidak mahu mengubah hukuman yang telah dijatuhkan ke atas lima orang pelajar KUIN.

Pelajar itu didapati bersalah berasaskan AUKU. Ketika hukuman itu dijalankan AUKU masih berkuatkuasa dan hukuman yang dijatuhkan pun saya kira bukanlah berat sangat.

Mereka mungkin boleh dimaafkan kalau mereka merayu dan meminta maaf. Akan tetapi, kalau tidak salah, mereka tidak pun meminta maaf.

Sekarang sudah lebih 7 bulan berlalu.Hukuman ke atas kebanyakan mereka mungkin sudah berakhir atau hampir berakhir. Jadi mereka boleh belajar semula. Dan Azizan memang tidak perlu mengubah hukuman itu.

Tuesday, January 24, 2012

Anwar lebih budiman

Saya tidak tahu berapa ramai kawan dan sahabat yang telah meninggalkan Anwar Ibrahim.

Sebahagian kawan dan sahabatnya itu bukan saja telah meninggalkannya, tetapi juga telah mengkhianatinya. Mereka telah menikam Anwar bukan saja dari belakang, tapi juga dari hadapan!

Baharu-baharu ini apabila Anwar menyaman Utusan Melayu kerana dituduh telah memfitnahnya berhubung isu moral, beberapa orang bekas kawan dan sahabatnya itu secara tiba-tiba menyatakan kehairanan mengapa Anwar tidak menyaman mereka.

Malah mereka mencabar Anwar supaya menyaman mereka dan bukannya pihak lain kerana telah mendedahkan isu moral ketua pembangkang itu.

Mereka dengan bangga menyatakan bahawa merekalah antara yang terawal mendedahkan persoalan moral dan akhlak Anwar secara terang-terangan kepada umum.

Saya tentu tidak tahu mengapa Anwar tidak menyaman mereka. Akan tetapi, saya kira Anwar lebih budiman kerana tidak mengkhianati bekas kawan dan sahabatnya.

Sebaliknya bekas kawan dan sahabatnya itu, yang kini telah masuk UMNO atau berbaik-baik dengan UMNO, dan mungkin telah mendapat manfaat dari penglibatan mereka dengan UMNO, ialah bekas kawan dan sahabat yang tidak setia dan tidak wajar dihormati.

Wednesday, January 18, 2012

EXCO PAS hanya layak jaga arak dan judi?



Nampaknya banyak juga komen negatif daripada orang yang telah meninggalkan PAS, seperti Nakhae Hj.Ahmad, dan orang yang telah terbuang daripada PAS, seperti Zulkifli Nordin, apabila Dr.Ahmad Yunus, EXCO baru Selangor daripada PAS tidak dilantik memegang portfolio agama.


Kononnya hal itu merupakan satu penghinaan kepada PAS.


Betulkah demikian? Adakah mereka menganggap jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam itu merupakan hak mutlak PAS dan tidak boleh dipegang oleh tokoh Islam dari parti lain?Adakah orang PAS hanya layak memegang jawatan itu dan tidak layak memegang jawatan lain?


Saya kira pandangan mereka itu hanyalah merupakan pandangan sempit yang bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS dan kerajaan Selangor.


Oleh kerana sebelum ini Dr.Ahmad Yunus telah berpengalaman memegang jawatan sebagai pembantu EXCO belia dan sukan, saya kira memang wajar sekali jika dia dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, di samping Adat Resam Melayu.


Lagipun Dr.Ahmad Yunus adalah seorang doktor perubatan, bukan doktor dalam bidang pengajian Islam. Dengan itu, dia tidak mempunyai apa-apa keistimewaan untuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam.