Monday, September 19, 2011

Baru datang dapat IC biru

Antara orang yang datang ke rumah saya ketika saya mengadakan jamuan hari raya baru-baru ini ialah seorang pendatang Indonesia yang kami panggil sebagai Pak Amin.

Pak Amin tinggal di sebuah flat murah tidak jauh dari rumah saya dan rajin bersembahyang jemaah di surau yang berhampiran dengan rumah saya. Di surau itulah saya mengenalinya, walaupun hanya sepintas lalu sahaja.

Ketika dia datang ke rumah saya baru-baru ini, saya bertanya padanya, "Pak Amin berasal dari mana? Dari Minang atau dari Jawa?"

"Saya dari Sulawesi, bukan dari Minang atau Jawa," jawabnya.

"Bagaimana Pak Amin boleh sampai ke sini? Apa pekerjaan Pak Amin dahulu?"

Jawab Pak Amin, " Saya dahulu bekerja di Sabah dengan syarikat pembalakan.Setelah berhenti kerja, saya berpindah ke sini. Sekarang saya bekerja dengan syarikat kuari."

"Sudah berapa lama Pak Amin di Malaysia?" saya bertanya lagi.

"Sudah 10 tahun," jawabnya.

"Sudah ada IC Merah? " Saya cuba menduga sahaja.

Jawapannya memeranjatkan saya, "Saya sudah ada IC biru. Sudah pun mengundi"

"Di mana Pak Amin dapat IC biru?"

"Di Sabah, tak lama selepas saya masuk ke Malaysia. Masa Datuk X (sengaja saya padamkan namanya) jadi Ketua Menteri"

"Oh, senangnya dapat IC biru, ya," balas saya.

Cerita di atas barangkali benar, kerana tidak ada sebab Pak Amin hendak menipu atau membohongi saya.

Jadi ini satu bukti pengeluaran IC biru (Mykad) Malaysia kepada pendatang asing dengan begitu mudah memang boleh berlaku dan pernah berlaku. Kita tidak tahu berapa banyak Mykad seperti itu sudah dikeluarkan. Tapi kita tahu tujuannya tentu untuk kepentingan pihak yang berkuasa, yang mahu mengekalkan kuasanya!

Friday, September 16, 2011

Penghapusan ISA: hanya permainan politik?

Barangkali banyak orang yang gembira dan teruja dengan pengumuman Najib hendak "menghapuskan" ISA.

Ini barangkali ada kesannya sebagai taktik Najib untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya yang akan datang.

Bagaimanapun, ISA bukanlah dihapuskan begitu saja, kerana ada akta baru yang akan menjadi penggantinya.

Kita tidak tahu bagaimanakah bentuk akta baru itu. Tapi sebagai akta, ia tetap mengikat dan mengongkong. Lainlah jika ISA dihapuskan dan tidak ada akta baru sebagai penggantinya.

Jika demikian, orang yang berfikiran kritis, tentu perlu berhati-hati dan tidak terlalu gembira dan teruja dengan pengumuman Najib.

Tidakkah mungkin pengumuman Najib itu sebenarnya hanya "permainan politik" kerana ISA akan "bersalin kulit" dengan akta baru yang tetap mengikat dan mengongkong dan tidak memberi kebebasan yang sebenarnya kepada rakyat.

Sunday, September 4, 2011

Menolak pendapat Prof. Khoo Kay Kim

Prof.Khoo Kay Kim sudah lama mengemukakan teori bahawa negeri-negeri Melayu, kecuali negeri-negeri Selat dahulunya adalah negeri naungan British, bukan koloni British.
Kesimpulannya, raja-raja Melayu dikatakan masih berdaulat, dan pegawai British hanya menolong mentadbir negeri ini.

Betulkah demikian? Mungkin betul jika dilihat dari segi undang-undang.Tapi bagaimana dari segi politik dan ekonomi?

Dari segi politik, yang jelas berkuasa dari segi eksekutif ialah pegawai British, kerana merekalah yang berkuasa ke atas polis dan tentera dan ke atas pentadbiran awam. Kita masih ingat pada masa itu semua DO dan semua OCPD semua orang putih. Semua ketua jabatan di peringkat negeri dan persekutuan adalah orang putih. Jadi bukankah kita diperintah dan dijajah oleh orang putih?

Dari segi ekonomi pula, hampir semua ladang dan lombong, bank dan syarikat import eksport di kuasai oleh syarikat British. Semua keuntungan ekonomi diangkut balik ke London.

Kalau sudah demikian, bukankah bermakna negeri ini telah dijajah dan diperintah oleh British?Sama ada kita hanya dinaungi atau bukan, kita tetap diperintah dan dijajah. Status negeri Melayu, dari segi politik dan ekonomi, sama sahaja seperti sebuah "tanah jajahan" atau koloni.

Raja-raja Melayu memang masih dikekalkan, tapi sebenarnya hanya sebagai lambang, atau paling lebih, sebagai elit simbolis. Kuasa mereka sebenarnya sudah diambilalih oleh pegawai British.

Dan jangan lupa, dahulu Tunku Abdul Rahman pergi ke London, berjumpa dengan Setiausaha Tanah Jajajahan, untuk menuntut kemerdekaan. Kalau Malaya bukan berstatus sebagai tanah jajahan, buat apa Tunku ke London untuk menuntut kemerdekaan?