Monday, September 19, 2011

Baru datang dapat IC biru

Antara orang yang datang ke rumah saya ketika saya mengadakan jamuan hari raya baru-baru ini ialah seorang pendatang Indonesia yang kami panggil sebagai Pak Amin.

Pak Amin tinggal di sebuah flat murah tidak jauh dari rumah saya dan rajin bersembahyang jemaah di surau yang berhampiran dengan rumah saya. Di surau itulah saya mengenalinya, walaupun hanya sepintas lalu sahaja.

Ketika dia datang ke rumah saya baru-baru ini, saya bertanya padanya, "Pak Amin berasal dari mana? Dari Minang atau dari Jawa?"

"Saya dari Sulawesi, bukan dari Minang atau Jawa," jawabnya.

"Bagaimana Pak Amin boleh sampai ke sini? Apa pekerjaan Pak Amin dahulu?"

Jawab Pak Amin, " Saya dahulu bekerja di Sabah dengan syarikat pembalakan.Setelah berhenti kerja, saya berpindah ke sini. Sekarang saya bekerja dengan syarikat kuari."

"Sudah berapa lama Pak Amin di Malaysia?" saya bertanya lagi.

"Sudah 10 tahun," jawabnya.

"Sudah ada IC Merah? " Saya cuba menduga sahaja.

Jawapannya memeranjatkan saya, "Saya sudah ada IC biru. Sudah pun mengundi"

"Di mana Pak Amin dapat IC biru?"

"Di Sabah, tak lama selepas saya masuk ke Malaysia. Masa Datuk X (sengaja saya padamkan namanya) jadi Ketua Menteri"

"Oh, senangnya dapat IC biru, ya," balas saya.

Cerita di atas barangkali benar, kerana tidak ada sebab Pak Amin hendak menipu atau membohongi saya.

Jadi ini satu bukti pengeluaran IC biru (Mykad) Malaysia kepada pendatang asing dengan begitu mudah memang boleh berlaku dan pernah berlaku. Kita tidak tahu berapa banyak Mykad seperti itu sudah dikeluarkan. Tapi kita tahu tujuannya tentu untuk kepentingan pihak yang berkuasa, yang mahu mengekalkan kuasanya!

No comments:

Post a Comment