Sunday, September 4, 2011

Menolak pendapat Prof. Khoo Kay Kim

Prof.Khoo Kay Kim sudah lama mengemukakan teori bahawa negeri-negeri Melayu, kecuali negeri-negeri Selat dahulunya adalah negeri naungan British, bukan koloni British.
Kesimpulannya, raja-raja Melayu dikatakan masih berdaulat, dan pegawai British hanya menolong mentadbir negeri ini.

Betulkah demikian? Mungkin betul jika dilihat dari segi undang-undang.Tapi bagaimana dari segi politik dan ekonomi?

Dari segi politik, yang jelas berkuasa dari segi eksekutif ialah pegawai British, kerana merekalah yang berkuasa ke atas polis dan tentera dan ke atas pentadbiran awam. Kita masih ingat pada masa itu semua DO dan semua OCPD semua orang putih. Semua ketua jabatan di peringkat negeri dan persekutuan adalah orang putih. Jadi bukankah kita diperintah dan dijajah oleh orang putih?

Dari segi ekonomi pula, hampir semua ladang dan lombong, bank dan syarikat import eksport di kuasai oleh syarikat British. Semua keuntungan ekonomi diangkut balik ke London.

Kalau sudah demikian, bukankah bermakna negeri ini telah dijajah dan diperintah oleh British?Sama ada kita hanya dinaungi atau bukan, kita tetap diperintah dan dijajah. Status negeri Melayu, dari segi politik dan ekonomi, sama sahaja seperti sebuah "tanah jajahan" atau koloni.

Raja-raja Melayu memang masih dikekalkan, tapi sebenarnya hanya sebagai lambang, atau paling lebih, sebagai elit simbolis. Kuasa mereka sebenarnya sudah diambilalih oleh pegawai British.

Dan jangan lupa, dahulu Tunku Abdul Rahman pergi ke London, berjumpa dengan Setiausaha Tanah Jajajahan, untuk menuntut kemerdekaan. Kalau Malaya bukan berstatus sebagai tanah jajahan, buat apa Tunku ke London untuk menuntut kemerdekaan?

No comments:

Post a Comment