Friday, August 27, 2010

Masalah yang bukan masalah

Seorang wakil rakyat bukan Islam datang ke sebuah surau di Kajang untuk memberi bantuan dan memberi sedikit ucapan yang dianggap sebagai "tazkirah" (Betulkah "tazkirah" ?)

Apakah masalahnya? Sepatutnya tiada masalah dan tidak menjadi isu.

Ia menjadi masalah dan isu apabila ada pihak yang mempolitikkannya (orang UMNO tentunya) dan melihatnya dengan pandangan yang sempit dan tidak rasional sama sekali.

Mula-mula dikatakan orang bukan Islam tidak boleh masuk ke tempat orang Islam beribadat (masjid dan surau). Maka dikatakanlah wakil rakyat itu telah menghina Islam.

Akan tetapi, oleh kerana selama ini orang bukan Islam (khasnya pelancong) telah dibenarkan memasuki Masjid Negara dan Masjid Putra, maka dikatakanlah wakil rakyat itu telah menghina Islam kerana dia telah berada "di ruang shalat".

Sebenarnya bagi sebuah surau yang kecil, seluruh surau itu memang merupakan ruangan shalat, walau di manapun wakil rakyat itu berada. Jadi ruang shalat ini sepatutnya tidak menjadi isu, jika orang bukan Islam memang boleh masuk ke surau atau masjid.

Dikatakan juga wakil rakyat itu telah menghina Islam, kerana dia tidak memakai tudung. Anggapan ini agak aneh. Orang bukan Islam memang tidak memakai tudung. Mengapa dia perlu memakai tudung apabila memasuki surau atau masjid?

Kononnya sebagai tanda menghormati tempat ibadat orang Islam. Betulkah begitu? Ataupun ini hanya pendapat dan tanggapan yang sempit dan jumud tentang Islam?

1 comment:

  1. Semua kita mengakui kesucian Islam. Tapi mengapa kesucian itu harus kita nodai dengan politik kotor? Tidakkah tindakan mempolitikkan Islam itu sebenarnya bukan saja menghina Islam, tetapi menodai kesucian Islam itu sendiri?

    ReplyDelete