Thursday, September 10, 2009

UMNO parti Islam?

Satu masa dulu, beberapa tahun yang lalu, ketika Sanusi Joned menjadi Setiausaha Agung UMNO, UMNO pernah mendakwa sebagai parti Islam yang terbesar di dunia.

Akan tetapi, dakwaan itu hilang begitu saja, kerana tidak ada sesiapa yang percaya, termasuklah agaknya ahli-ahli UMNO sendiri. Tidak ada sesiapa yang mengiktiraf UMNO sebagai parti Islam.

UMNO dilahirkan sebagai parti kebangsaan, bukan parti Islam, dan saya rasa itulah imej yang terpaksa dipikulnya sejak dulu hingga sekarang.

Baru-baru ini, entah bermimpi agaknya, Najib pula mendakwa UMNO ialah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Ini kerana katanya, perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan...(Utusan Malaysia, 11 September 2009).

Dakwaan Najib ini pun saya rasa tidak akan meyakinkan sesiapa, kecuali agaknya para pengampu beliau, jika ada.

Sebenarnya untuk layak dianggap sebagai parti Islam, sesebuah parti itu perlu memenuhi beberapa syarat yang fundamental, dan tidak cukup jika sekadar perjuangannya dikatakan untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam, termasuk membasmi kemiskinan.

Parti Golkar di Indonesia, yang ideologinya agak mirip dengan ideologi UMNO pun dahulu berjuang untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam di Indonesia, tapi ia tidak pernah dianggap sebagai parti Islam.

Golkar dilabelkan sebagai parti nasionalis-sekular, bukan parti Islam.

Untuk diterima dan dianggap sebagai parti Islam tidak cukup juga jika semata-mata pemimpinnya dan anggotanya terdiri daripada orang Islam.

Biasanya yang jadi faktor penentu ialah sama ada ia berpegang kepada "ideologi Islam" atau tidak, dan sama ada ia memperjuangkan "ideologi Islam" atau tidak.

Secara mudah, sebuah parti politik biasanya dianggap sebagai parti Islam, jika asas perjuangannya adalah untuk mendaulatkan undang-undang syariah (Islam), dan malah undang-udang syariahlah yang memandu atau memimpin parti itu.

Pada masa yang sama, sebuah parti Islam juga berjuang untuk menegakkan negara Islam, kerana banyak pihak yang mempercayai bahawa undang-undang syariah itu hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam konteks sebuah negara Islam.

Di negara ini masyarakat kita secara umumnya sudah mengiktiraf PAS adalah sebuah parti Islam, kerana PAS mendakwa perjuangannya adalah berlandaskan Islam, dan PAS mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam.

Walaupun saya pernah menyatakan perjuangan PAS mungkin boleh dianggap tidak realistik dalam konteks sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, dan mungkin tidak akan sampai ke mana-mana, tapi ideologi PAS agak mantap dan arah perjuangannya pun agak jelas.

Yang tidak kurang pentingnya, sebagaimana yang dapat dilihat di mana-mana, sebuah parti Islam juga tentulah memerlukan seorang atau beberapa orang "tokoh Islam" sebagai pemimpinnya. Ini hampir merupakan satu syarat dan kemestian.

Adalah sesuatu yang tidak terfikirkan, jika Najib, yang pengetahuan Islamnya mungkin tidak setinggi mana, hendak diberi pengiktirafan sebagai pemimpin parti Islam.

Kadang-kadang, malah selalu juga, pada masa yang akhir-akhir ini, Najib cuba memasukkan beberapa ayat Quran yang dihafalnya dalam ucapannya. Akan tetapi, itu tentunya sekadar hiasan saja, dan tentunya tidak akan mengubah imej beliau menjadi seorang pemimpin Islam.

Kepakaran dan imej beliau tentu tidak sebanding dengan kepakaran dan imej Haji Hadi, Nik Aziz, Haron Din dan pemimpin PAS yang lain.

Dengan itu, saya tidak tahu jika ada orang yang mahu percaya bahawa UMNO ialah sebuah parti Islam, jika pemimpin utamanya ialah Najib, yang barangkali hanya satu kesilapan, jika ia secara tiba-tiba dianggap seorang "pemimpin Islam".

5 comments:

  1. pas juga bukanlah sebuah parti islam..kalau penyokong hanya berpakaian mengikut sunnah, dan hanya berkata retorik semata mata, pas juga tidak layak mengaku ianya sebuah parti islam tulin.

    tingkah laku pemimpin pas juga meragukan. matlamat mereka juga hanya mengejar populariti seperti yang sering dilemparkan kepada umno..

    najib dianggap pemimpin islam?

    semua orang lelaki muslim yang baligh, boleh menjadi imam adalah pemimpin islam. malah setiap orang adalah pemimpin kepada diri sendiri.

    jadi tak salah saya turut labelkan diri saya pemimpin islam. malah saudara turut menjadi pemimpin islam buat diri, keluarga dan kariah saudara jika mampu.

    saya sebenarnya tidak berminat nak mengatakan dia islam, dia kafir hanya kerana perbedaan fahaman politik..semua ini hanya sia sia..kerana Allah s.w.t sudah berfirman bahawa Dia hanya melihat iman dan amal..bukan berdasarkan paras rupa, pangkat dan kedudukan..

    Malah Nabi Muhammad s.a.w juga tidak mengadili sesiapa yang berhak masuk syurga atau tidak kerana yang berhak mengadili cuma Allah s.w.t jua.

    ReplyDelete
  2. Salam Sdr. Basuh Baju,

    "Dunia" mungkin mengakui Malaysia ialah negara Islam, kerana pemimpin utamanya orang Islam dan majoriti penduduknya pun orang Islam. Akan tetapi, banyak juga orang yang tidak bersetuju Malaysia dianggap negara Islam, kerana Malaysia tidak melaksanakan syariah Islam.

    ReplyDelete
  3. Salam dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin
    buat Saudara Al Yassar dan pembaca blog ini

    Yang Ikhlas
    Mat Amin

    ReplyDelete
  4. kenape perlu mempertikaikan?
    kenapa tidak membantu menjadikan ia menjadi parti islam yg sebenar..

    inikah yg selalu mengatakan melayu hentam melayu? mengapa tidak kita membantu sesama islam..bukan menghentam sesama sendiri..

    ReplyDelete