Thursday, November 3, 2011

Sindrom bisu di kalangan ahli akademik

Sejak suara ahli akademik kita dibisukan oleh Mahathir selama kira-kira 20 tahun, ketika beliau berkuasa sebagai PM dahulu, sindrom bisu di kalangan mereka saya kira masih berterusan sehingga kini.

Walaupun kini barangkali ada sedikit kebebasan untuk bersuara, tetapi yang berani mengambil peluang untuk bersuara secara kritis sangatlah sedikit. Kebanyakannya barangkali lebih selesa terus mengambil sikap membisu dan tidak mempedulikan masalah rakyat.

Memang dari masa ke masa ada suara beberapa kerat para profesor yang mengulas isu-isu semasa, yang dapat kita baca di akhbar-akhbar arus perdana. Akan tetapi, mereka umumnya adalah orang-orang yang selalu mengambil sikap yang sejalan dengan kerajaan, dan kadang-kadang lebih bersifat pengampu.

Demikianlah, apabila satu forum tentang kebebasan akademik di adakan di Universiti Malaya baru-baru ini, jumlah kehadiran sangatlah kecil -- hanya kira-kira 30 orang, padahal jumlah ahli akademik di universiti itu sahaja lebih 2,000 orang.

Dari laporan beberapa portal berita, saya perhatikan beberapa orang yang tampil berucap dan memberi pendapat yang agak kritis ialah orang-orang tua yang sudah berada dalam umur persaraan. Mungkin ada dari golongan muda, tapi hanya seorang dua.

Satu perkara yang sangat menarik yang didedahkan dalam forum itu ialah apabila dinyatakan bahawa daripada kira-kira 2000 orang ahli akademik di UIAM, yang menandatangani surat protes terhadap penggantungan jawatan Prof. Aziz Bari hanyalah 60 orang!

Ini membayangkan majoriti ahli akademik kita memang masih suka mengambil sikap membisu, tidak berani bersuara dan tidak mempedulikan rakan mereka yang ditindas oleh pihak yang berkuasa!

No comments:

Post a Comment