Friday, July 23, 2010

Muslihat UMNO untuk memecahkan Pakatan Rakyat

Saya tidak bermaksud untuk bersangka buruk terhadap UMNO. Akan tetapi, dalam isu kerjasama antara UMNO dengan PAS, saya masih belum yakin tentang keikhlasan UMNO.

Bagi saya minat yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin UMNO untuk bekerjasama dengan PAS hanyalah satu muslihat untuk merenggangkan dan memutuskan hubungan PAS dengan DAP dan memecahkan Pakatan Rakyat.

Saya tidak fikir yang jadi perhatian pemimpin UMNO ialah kuasa politik orang Melayu yang kononnya akan hilang jika orang Melayu terus berpecah belah dan tidak bersatu.

Sekarang kuasa politik orang Melayu memang telah lemah, tetapi sebahagiannya ialah kerana kelemahan pemimpin UMNO sendiri yang tidak mampu mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, walaupun ada tercatat dalam Perlembagaan.

Sekiranya hubungan PAS dengan DAP dapat diputuskan dan Pakatan Rakyat dapat dipecahkan, bererti PAS akan berada dalam keadaan "keseorangan" dan akan lemah. Pada masa itu tentulah akan mudah untuk UMNO "menendang" PAS, seperti yang pernah dilakukan oleh UMNO/BN pada satu masa dahulu.

Oleh yang demikian, kita mungkin boleh bersimpati dan merasa kasihan terhadap sesetengah tokoh agama yang begitu beria-ia hendak mencari jalan "menyatukan" UMNO dengan PAS.

Mereka mungkin ikhlas hendak mempertahankan kuasa politik orang Melayu dan kepentingan agama Islam, tapi caranya tidaklah semestinya dengan menyarankan supaya PAS bekerjasama dengan UMNO.

Mereka mungkin pandai dalam hal agama, tapi masih agak naif dalam hal politik. Jadi sama ada mereka sedar atau tidak, mereka akhirnya hanya akan menjadi alat UMNO untuk mempertahankan kuasa yang telah pun goyah kerana kesalahan pemimpin UMNO sendiri.

Usaha mereka mungkin sia-sia saja, kerana pemimpin UMNO bukan ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS.

No comments:

Post a Comment