Monday, July 19, 2010

Kerjasama UMNO dan PAS: pemimpin UMNO perlu tunjukkan sikap muhibah

Saya tidak begitu optimis UMNO dan PAS boleh bekerjasama dalam waktu terdekat, walaupun dikatakan kerjasama antara dua parti Melayu itu sangat penting untuk mengekalkan kuasa politik di tangan orang Melayu.

Akan tetapi, kerjasama antara dua parti Melayu itu mungkin boleh diwujudkan dan dipertingkatkan, jika sebagai kerajaan pemimpin UMNO/BN memperlihatkan sikap muhibah yang ikhlas terhadap kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS, seperti memberi royalti minyak kepada Kelantan, dan menyalurkan peruntukan pembangunan terus kepada kerajaan negeri dan bukan melalui Jabatan Persekutuan.

Kerajaan UMNO/BN juga boleh memperlihatkan sikap muhibah itu dengan memberi kebebasan kepada PAS untuk menerbitkan lidah rasminya, Harakah, dan bukan selalu mengganggu penerbitan itu seperti yang dilakukan oleh KDN selama ini.

Jika sebagai kerajaan, pemimpin UMNO/BN tidak mempunyai sedikit kebijksanaan untuk mengambil langkah yang demikian, janganlah kita berharap kerjasama antara PAS dan UMNO boleh berlaku.

Pemimpim agama seperti Harussani atau akhbar arus perdana yang kononnya begitu prihatin dan bimbang tentang kehilangan kuasa politik orang Melayu boleh menjerit dan berteriak sekuat-kuatnya. Akan tetapi, jeritan dan teriakan mereka akan sia-sia saja, sekiranya pemimpin UMNO/BN tidak mempunyai sedikit kebijaksanaan dan tidak mampu menunjukkan sikap muhibahnya yang ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS.

No comments:

Post a Comment