Friday, August 26, 2011

Siapakah pejuang kemerdekaan?

Rasanya tidaklah terlalu sulit untuk kita menentukan siapakah orang atau orang-orang yang boleh dianggap sebagai pejuang kemerdekaan.

Bagi saya siapa saja yang menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan daripada penjajah adalah pejuang kemerdekaan.

Sebelum ini kita sudah mengiktiraf orang-orang seperti Dato' Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor di Perak dan Tok Janggut di Kelantan sebagai pejuang kemerdekaan, walaupun mereka berjuang dengan "keris dan lembing".

Jadi mengapa pula kita tidak boleh mengiktiraf orang-orang seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan?

Memang orang-orang yang terakhir ini berjuang dengan menggunakan senjata -- bom dan senapang. Ini sama dengan pejuang-pejuang yang terdahulu ; cuma senjata mereka
lebih moden.

Soal mereka berjuang bersama komunis saya kira tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menafikan peranan mereka sebagai pejuang kemerdekaan, kerana yang penting di sini ialah mereka berjuang menentang penjajah dan bukan menjadi tali barut penjajah.

Sebaliknya orang-orang yang bekerja dengan penjajah dan menjadi tali barut penjajah tentunya bukan pejuang kemerdekaan, kerana mereka berada di pihak penjajah dan turut mengekalkan kuasa penjajah, walaupun ada yang menganggap mereka sebagai hero, kerana membantu penjajah mengalahkan komunis.

Dengan membantu penjajah mengalahkan komunis, mereka sebenarnya adalah hero penjajah, bukan hero rakyat, kerana yang mereka tentang ialah orang-orang yang berjuang untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.